Yayasan MR D.I.Y. Perkukuh Pendidikan Kreatif di Muzium Negara Melalui Program CERIA
Yayasan MR D.I.Y., cabang amal Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad (MR D.I.Y.), dengan penuh komitmen menyokong program pendidikan CERIA@Muzium Negara, sebuah inisiatif yang dirangka untuk memupuk minat terhadap kreativiti dan pembelanjaran dalam kalangan generasi muda.
Program ini merupakan sebahagian daripada Kalender Program 2025 Muzium Negara, yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan budaya, warisan serta sejarah negara.
Sebagai rakan penaja utama, Yayasan MR D.I.Y. telah menyalurkan sumbangan berupa bahan aktiviti bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sumbangan ini direka khas untuk memperkaya pengalaman peserta sepanjang pelaksanaan program, yang berlangsung setiap hari Sabtu dari bulan Mac hingga Disember 2025. Sesi pertama CERIA@Muzium Negara bertemakan STEM berjaya menarik lebih 200 peserta, termasuk kanak-kanak, ibu bapa dan pelawat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, berkata:
“Di Yayasan MR D.I.Y., kami percaya pendidikan harus menarik dan memberi inspirasi. Melalui program ini, kami ingin mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan serta interaktif, sekali gus menggalakkan kreativiti dan pemikiran inovatif. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Muzium Negara dalam usaha memupuk minat terhadap ilmu sambil memperkenalkan anak-anak kepada kekayaan sejarah dan budaya negara.”
Program CERIA@Muzium Negara terbuka kepada pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah, dan menawarkan pendekatan pembelajaran secara langsung melalui aktiviti DIY yang berasaskan STEM. Selain memberi manfaat pendidikan, program ini juga mendorong penglibatan ibu bapa, mewujudkan momen pembelajaran yang berkualiti dan menyeronokkan bersama anak-anak.
Kerjasama ini mengukuhkan lagi peranan Yayasan MR D.I.Y. dalam menyokong pendidikan menyeluruh serta memperkasa masyarakat melalui pembelajaran berimpak tinggi.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif terkini Yayasan MR D.I.Y., sila layari www.mrdiy.com, www.mrdiy.com.my, atau ikuti laman rasmi mereka di Facebook, Instagram, dan TikTok.