KUALA LUMPUR – Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022 daripada 4.4 peratus pada Julai, selaras dengan jangkaan pasaran, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata, inflasi teras meningkat kepada 3.8 peratus pada bulan tersebut berbanding 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.
“Peningkatan ini sebahagian besarnya mencerminkan harga yang lebih tinggi untuk sewaan dan makanan di luar rumah. Walaupun inflasi tahunan lebih tinggi, 10 daripada 12 kategori Indeks Harga Pengguna (IHP) utama mencatatkan peningkatan bulan ke bulan yang sederhana,” menurut BNM dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut bank pusat, pembiayaan bersih meningkat sebanyak 6.1 peratus pada akhir Ogos berbanding 5.3 peratus pada Julai, didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (6.8 peratus; Julai: 5.9 peratus) dan bon korporat (4.3 peratus; Julai: 3.7 peratus).
Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 6.5 peratus (Julai: 6.1 peratus) dalam keadaan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan.
“Yang penting, pertumbuhan pengeluaran pinjaman mencerminkan pertumbuhan permohonan pinjaman yang mampan, terutamanya untuk pembelian rumah dan kereta,” katanya.
Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 6.7 peratus (Julai: 5.9 peratus), didorong terutamanya oleh sektor perdagangan borong, perkilangan dan utiliti.
Mengikut segmen, aliran kredit khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana terus tersedia, dengan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada 7.5 peratus (Julai: 6.6 peratus).
Bank pusat berkata, keadaan kewangan global menjadi ketat apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menegaskan komitmennya untuk menurunkan inflasi AS meskipun jangkaan pertumbuhan AS lebih rendah.
“Bagaimanapun, pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan volatiliti pertukaran asing yang rendah dan jumlah dagangan yang mencukupi.
“Kadar hasil Bon Kerajaan Malaysia 10 tahun meningkat 10 mata asas (bps) seiring dengan kadar hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun yang lebih tinggi (45.4 bps),” katanya.
Mengenai ringgit, BNM berkata, mata wang tempatan itu menurun nilai sebanyak 0.8 peratus berikutan nilai dolar AS yang terus kukuh, manakala FBM KLCI meningkat sebanyak 1.3 peratus, disokong oleh aliran masuk asing dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi.
“Keadaan ini membolehkan beberapa bank mengekalkan pembayaran dividen pada bulan tersebut. Pada akhir Ogos, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM126.7 bilion,” katanya.
Menurut BNM, daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh dan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.84 peratus (Julai: 1.85 peratus) dan 1.1 peratus (Julai: 1.2 peratus).
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 113.7 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman.
Setakat akhir Ogos, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM41.5 bilion, kata BNM. – Bernama