“Dan Kami telah turunkan kepada mu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang ALLAH turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada mu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya ALLAH menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi ALLAH hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepada mu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada ALLAH kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepada mu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” – (Surah Al-Maidah, 48)
Al-Quran adalah sumber utama ajaran Islam. ALLAH SWT turunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, agar disampaikan kepada umat manusia. Pengertian ‘iman’ kepada kitab ALLAH adalah percaya dan yakin sepenuh hati bahawa ALLAH SWT telah menurunkan kitab-kitabnya kepada para nabi dan rasul yang berisi wahyu untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Qotmil (membaca saja), Tartil (membaca dan memahami) dan Hafidz (membaca, memahami, mengamalkan dan menghafal).
Justeru, kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa membaca, mempelajari serta memahami isi kandungan al-Quran agar lebih faham tentang setiap aturan dan rujukan di dalamnya untuk kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Terdapat pelbagai cara untuk kita mengimani kitab suci ALLAH SWT ini. Paling penting ialah meyakini kebenaran yang terkandung di dalam al-Quran, tanpa ada keraguan sedikit pun. Keimanan seseorang Muslim terhadap al-Quran mestilah solid, sepenuh hati dan tidak berpecah-pecah. Al-Quran tidak boleh diimani dengan sebahagian diimani dan diikuti, manakala sebahagian lain pula diingkari atau ditinggalkan. Mereka ini digolongkan seperti Bani Israel yang hanya mengambil kitab Taurat untuk diimani yang mana menguntungkan mereka, manakala sebahagian yang tidak menguntungkan ditinggalkan malah diubah ayat-ayat Tuhan mengikut kehendak nafsu yang mereka inginkan.
Al-Quran menunjukkan kebenaran kepada manusia secara keseluruhan, bukan sebahagian-sebahagian. Meninggalkan sebahagian yang lain sama seperti meninggalkan seluruhnya. Al-Quran membawa risalah petunjuk secara berangkai tidak kira secara jasmani atau rohani. Kedua-duanya saling berkaitan dan tidak mungkin boleh dipecahkan kerana ia saling memerlukan.
Tidak boleh kita mengatakan, kami mengambil al-Quran dalam urusan spiritual, tetapi tidak di dalam urusan ekonomi, politik atau perundangan. Tidak boleh ambil akidah sahaja tetapi meninggalkan perkara-perkara ibadat. Atau hanya mengambil bahagian akhlak tetapi meninggalkan bab muamalah. Kadangkala kita mengambil sesuatu dari al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lain tanpa kita sedari. Segolongan orang mengaku beriman kepada ALLAH, mengimani agama Islam, akan tetapi mereka meninggalkan solat atau tidak melaksanakan perintah wajib puasa pada bulan Ramadan. Sebahagian yang lain, melaksanakan solat dengan sempurna, berpuasa Ramadan, menunaikan zakat fitrah, akan tetapi mereka tidak melunaskan zakat harta yang juga wajib ke atasnya apabila sudah sampai nisab dan haulnya.
Ada juga di antara kita berjuang di medan muamalah, mempunyai visi meningkatkan ekonomi sesama Muslim untuk dimartabatkan penguasaan ekonomi umat Islam, akan tetapi pada masa sama mereka ini juga meninggalkan akhlak Islam dengan menabur kebencian dalam kalangan orang kafir serta meninggalkan hikmah dalam berdakwah. Islam menuntut untuk berlaku adil terhadap semua manusia dalam lingkungan yang digariskan oleh al-Quran dalam kita berinteraksi sesama Muslim juga kepada bukan Islam. Golongan seperti inilah yang beriman dengan sebahagian kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain tanpa mereka sedari walaupun mereka mengatakan bahawa kami mengimani al-Quran seluruhnya.
Al-Quran mengkombinasikan pelbagai dimensi yang saling berkait agar manusia mendapat petunjuk secara keseluruhan. Perintah solat contohnya adalah sebagai jalan untuk manusia memperbaiki akhlak.
ALLAH SWT berfirman: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepada mu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” – (QS. Al-’Ankabut 29: Ayat 45)
Bagaimana pula dengan perintah zakat? Zakat adalah penyucian harta dan juga memperelok akhlak.
ALLAH SWT berfirman: “Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doa mu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” – (At-Taubah 9: Ayat 103)
Inilah inti pati sebenar al-Quran, melarang manusia daripada mengimani sebahagian al-Quran dan mengingkari sebahagian yang lain kerana Tuhan mahu memberi petunjuk kepada kita secara keseluruhan, bukan sebahagian. Setiap bahagian itu saling berkait antara satu dengan yang lain, mana mungkin kita boleh meninggalkan salah satu daripada mana-mana bahagian. Tidak akan sempurna iman kita sebagai seorang Muslim jika hanya mengambil sebahagian daripada al-Quran untuk diimani.
TANGGUNGJAWAB KITA TERHADAP AL-QURAN:
• Mendengar seruan al-Quran
• Membaca al-Quran
• Bertadabbur (memerhatikan) isi al-Quran
• Mengimani keseluruhan al-Quran
• Menjadikan al-Quran kitab rujukan & panduan
• Berpegang teguh dengan al-Quran
• Mengikut & melaksanakan ajaran al-Quran
• Menyampaikan risalah ajaran al-Quran
• Tidak menyembunyikan isi al-Quran
• Memiliki hubungan hati yang sangat mendalam dengan al-Quran