Ikuti langkah cegah sakit jantung

PENYAKIT JANTUNG berlaku apabila saluran darah menjadi sempit akibat pengumpulan plak kolesterol yang mengakibatkan bekalan darah ke jantung tidak mencukupi.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung iaitu faktor pemakanan, amalan cara hidup tidak sihat dan faktor genetik atau keturunan.

Amalan pemakanan dan penyakit

Pengambilan makanan tanpa menghiraukan isi kandungan dan jenis makanan akan mengakibatkan kita terdedah dengan pelbagai gejala penyakit khususnya diabetes, darah tinggi dan obesiti yang menjadi penyebab kepada masalah jantung.

Oleh itu, cara amalan pemakanan sihat serta mengetahui kandungan nutrisi sesuatu makanan itu mampu mengelak dari penyakit jantung.

Kekerapan pengambilan makanan yang berlemak dan berkolestrol tinggi seperti roti canai dan makanan ringan lebih memudahkan untuk mendapat penyakit darah tinggi.

Maka kurangkan makanan bergoreng; pilihlah makanan yang dikukus, dipanggang atau dibakar dan kurangkan pengambilan garam berlebihan di dalam masakan seharian.

Selain itu, gentian serat dalam makanan juga boleh menyerap sebahagian dari lemak atau kolesterol. Serat seperti bijiran oat dapat mengurangkan jumlah kolesterol.

Serat semulajadi yang banyak terdapat dalam sayuran dan buah-buahan segar turut mampu menyerap kolesterol di dalam badan.

Pengambilan makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi seperti gula-gula dan minuman ringan menjadi penyebab kepada penyakit diabetes atau kencing manis akan mempercepat dan meningkatkan risiko serangan jantung koronari.

Mereka yang mempunyai kecenderungan mendapat penyakit jantung digalakkan makan daging putih seperti daging ayam, atau ikan dan harus mengelak dari terlalu kerap memakan daging merah “red meat” seperti daging lembu, kambing, kerbau dan lain-lain.

Pengambilan makanan secara keterlaluan akan menyebabkan seseorang itu mengalami berlebihan berat badan atau obesiti. Ini juga akan meningkatkan lagi tekanan darah tinggi dan paras lemak yang tidak normal di dalam badan.

Oleh itu sentiasalah mengawal diri dari megambil makanan secara berlebihan bagi menghindari masalah kegemukan, kerana seseorang yang memiliki lingkaran pinggang melebihi dari 80 cm, adalah dianggap berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung.

Amalan cara hidup

Bagi yang suka makan, tidur dan hanya berehat tanpa melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh juga amat terdedah kepada penyakit jantung.

Maka kita amat digalakkan mengamalkan cara hidup sihat seperti bersenam atau beriadah.

Bersenamlah secara kerap. Setiap orang dewasa yang sihat dalam lingkungan umur 18 hingga 65 tahun seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman lima hari seminggu atau kita juga digalakkan berjalan 10,000 langkah sehari.

Bersenam akan membantu merangsang pengaliran darah dengan lebih lancar di samping dapat mengeluarkan peluh dan mengimbangi berat badan.

Aktiviti seperti berjalan kaki, berlari atau jogging akan dapat menguatkan sistem jantung seterusnya melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh.

Aktiviti sihat ini juga mampu mengatasi stres yang melanda diri seseorang.

Stres atau tekanan juga adalah salah satu faktor yang akan menaikkan tekanan darah, dan menyebabkan pembuluh darah menjadi kaku dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada jantung kita.

Kita perlu mengawal tekanan perasaan supaya jangan cepat meradang atau runsing. Oleh itu menghilangkan stres dengan melakukan aktiviti sihat dan santai akan mampu meredakan setiap ketegangan atau masalah dan seterusnya akan menyelamatkan jantung kita.

Berbincanglah dengan keluarga atau kawan karib sekiranya berhadapan dengan masalah kerana ini juga adalah salah satu cara untuk mengendurkan segala tekanan yang ada.

Merokok atau minum arak bukanlah satu perkara yang baik untuk kita kerana ia akan lebih memudaratkan lagi diri kita. Merokok juga akan membolehkan kita berdepan dengan pelbagai masalah penyakit terutamanya apabila umur telah melebihi 35 tahun.

Menghisap rokok memang nyata tidak baik untuk jantung, maka segeralah cuba mengurangkan atau berhenti terus agar jantung kita terus sihat dan selamat.

Begitu juga alkohol, kerana semakin banyak kita meminum alkohol maka kemungkinan besar kita akan lebih mudah terkena serangan penyakit jantung atau penyakit lemah jantung.

Sumber: Portal MyHealth



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *