Ika Mustafa Hadirkan Keindahan Persahabatan Melalui Lagu ‘Ada Kamu’

Ika Mustafa, penyanyi yang mula mencuri tumpuan selepas penyertaannya dalam rancangan Lagu Cinta Kita musim ketiga, kini kembali dengan single terbaru berjudul Ada Kamu. Lagu ini memberi penghargaan terhadap nilai persahabatan yang sejati, yang sentiasa hadir dalam hidup kita, menemani saat-saat suka dan memberi kekuatan ketika berdepan dengan cabaran. Mengangkat tema tentang keindahan hubungan persahabatan, Ada Kamu mengajak pendengar untuk menghargai setiap detik bersama sahabat sejati.

Dengan genre pop yang segar, Ada Kamu diiringi melodi ceria yang pasti akan mengundang rasa gembira dan semangat pada pendengar. Irama yang ringan dan mudah didengari ini, turut diselitkan elemen hip hop dan rap, menjadikan lagu ini lebih unik dan berbeza daripada kebanyakan lagu pop biasa. Ika berharap pendengar dapat merasakan kehangatan dan keindahan yang tercermin dalam hubungan persahabatan, yang lebih mendalam daripada sekadar percintaan.

Lagu ini turut menjadi runut bunyi (OST) untuk drama Gadis dan Angan-Angan, yang semakin mendapat perhatian ramai. Dalam berkongsi proses penciptaan lagu ini, Ika menjelaskan, “Projek ini sangat bermakna bagi saya kerana saya berpeluang bekerjasama dengan Amir Hasan dalam penulisan lirik dan Mingaling untuk susunan lagu. Kami mengambil masa dua sesi untuk menyiapkan lagu ini—sesi pertama untuk menulis dan merakam demo, serta mendapatkan kelulusan produksi, sementara sesi kedua adalah untuk rakaman versi akhir.”

Sebagai penyanyi yang baru melangkah jauh dalam industri muzik, Ika menunjukkan keupayaan dan komitmennya dalam menghasilkan karya yang berbeza. “Lagu ini bukan sekadar pop biasa. Ia mencabar kerana menampilkan sisi persahabatan, bukan romantisme seperti kebanyakan lagu lain. Saya berharap lagu ini dapat memberi pengajaran dan mengingatkan kita semua tentang pentingnya sahabat dalam hidup,” tambahnya.

Amir Hasan, yang turut menyumbang dalam penulisan lirik dan komposisi lagu, berkongsi bahawa inspirasi untuk Ada Kamu datang secara spontan semasa sesi freestyle di studio bersama rakan-rakan. “Lagu ini mempunyai bunyi dan tenaga yang jarang didengar dalam industri sekarang. Saya harap lagu ini tidak hanya menghiburkan, tetapi juga memberikan mesej positif kepada pendengar,” kata Amir.

Berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan Ika, Amir memuji sikap profesionalisme dan semangat Ika. “Ika adalah seorang yang sangat berbakat, ceria, dan penuh fokus. Vokalnya membawa tenaga yang berbeza dalam lagu ini, dan walaupun kami sedikit lama mencari melodi yang tepat, Ika memberikan kerjasama yang luar biasa, membuat proses rakaman lebih mudah dan lancar.”

Kini, Ada Kamu boleh didengar di pelbagai platform penstriman seperti iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Untuk penonton yang ingin menonton drama Gadis dan Angan-Angan, drama ini boleh didapati di aplikasi Tonton.

Untuk maklumat terkini tentang karya-karya Ika Mustafa dan projek-projek di bawah Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial melalui Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

Hayati lagu Ada Kamu hari ini, dan rasai keindahan persahabatan yang mengiringi setiap langkah kita!