Ijmal Cinta Ramadan 2.0 Kembali dengan Barisan Artis Ternama

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Ramadan kembali membawa keberkatan, peluang meningkatkan ibadah dan ruang untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Seiring dengan semangat ini, HS Event & Ent Sdn Bhd meneruskan tradisi tahunan mereka dengan penganjuran Ijmal Cinta Ramadan 2.0, yang akan berlangsung pada 21 Mac di Saloma, Kuala Lumpur.

Berbeza dengan konsert biasa, program ini menyajikan gabungan hiburan dan spiritual dengan nilai-nilai keislaman yang mendalam. Antara artis terkenal yang bakal membuat persembahan ialah Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays, dan Zamani Slam.

Menurut penganjur, Datin Hajjah Ismariza dan Mubarak Akhtar, acara ini bukan sekadar hiburan tetapi juga memberi peluang kepada penonton untuk beramal. “Pembelian tiket bukan sahaja untuk menyaksikan persembahan tetapi juga menyumbang kepada aktiviti kebajikan,” kata mereka.

Selain itu, 10 insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan turut akan diraikan, di mana pihak penganjur akan menghulurkan bantuan kepada mereka sebagai tanda keprihatinan menjelang Aidilfitri.

Mubarak turut menambah bahawa kehadiran tujuh artis hebat ini bakal menjadikan program lebih bermakna. “Kesudian mereka untuk bersama-sama dalam acara ini amat dihargai dan pastinya menarik perhatian peminat setia mereka,” katanya.

Program ini akan bermula dengan tadarus al-Quran dan tazkirah, diikuti dengan berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, serta pemberian duit raya kepada anak yatim. Solat Isyak dan Tarawih juga akan diadakan sebelum konsert bermula.

Peminat yang ingin menyertai Ijmal Cinta Ramadan 2.0 digalakkan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.