Ibnu Tufail, ilmuan Islam dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang

MENYINGKAP semula lembaran sejarah peradaban Islam, nama Ibnu Tufail tercatat antara cendekiawan Muslim yang masyhur. Tokoh itu dikenali sebagai seorang penulis, novelis, ahli agama dan doktor oleh seantero dunia.

Masakan tidak, beliau terkenal dengan kepakarannya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dimilikinya memang diperakui oleh sarjana Islam dan Barat. Namanya begitu gah sekitar abad ke-12 Masihi.

Pemilik nama sebenar Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi itu dilahirkan di Asya, Granada sekitar 1106 Masihi.

Pun demikian, ilmuwan berketurunan Arab Qais itu tidak dapat dipastikan keseluruhan latar belakangnya. Ia disebabkan keterbatasan maklumat mengenainya.

Bagaimanapun, Ibnu Tufail merupakan tokoh yang disegani dan berpengaruh ketika hayatnya berdasarkan catatan sejarah. Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila beliau turut dikenali di dunia Barat sebagai Abubacer.

Menelusuri kehebatannya dalam bidang perubatan, Ibnu Tufail pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf Al-Manshur yang merupakan khalifah Maghribi kedua daripada Dinasti Muwahhidun (1163-1184 Masihi). Kepakaran yang dimiliki dengan berkat kesungguhan yang ditunjukkan Ibnu Tufail telah mengangkatnya menjadi doktor peribadi kepada gabenor dan dua wilayah iaitu Sabtah dan Thaniah.

Beliau juga bukan calang-calang orang. Ilmuwan hebat itu pernah dilantik sebagai menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati.

Kepakaran yang dimiliki Ibnu Tufail tidak terhenti di situ. Beliau dikurniakan bakat untuk menulis. Namun sayangnya, karya-karya yang dihasilkannya banyak yang telah hilang. Ia ekoran kejadian kekacauan dan peperangan yang berlaku di Maghribi suatu masa dulu.

Gaya penulisan luar biasa

Jika diselak kembali lembaran historiografi, Ibnu Tufail sebenarnya begitu gemar dan cenderung untuk menulis. Menurut Abdul Wahid Al-Marakasy, Ibnu Tufail telah meriwayatkan banyak buku yang telah dibaris dengan tangannya sendiri dalam bidang falsafah, ilmu jiwa dan pelbagai syair.

Meskipun banyak menulis buku, ada satu kitab tulisan Ibnu Tufail yang begitu popular iaitu Hay Ibn Yaqzan. Apa tidaknya, tokoh hebat itu memuatkan pandangannya dengan gaya bahasa yang menarik dan imaginasi yang indah.

Tidak keterlaluan jika dikatakan buku itu dianggap sebagai warisan paling unik tinggalan seorang ahli falsafah Islam yang tersohor.

Hasil nukilannya dalam buku berkenaan, Ibnu Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia berpotensi mengenal ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan di sekelilingnya.

Beliau tidak menyatakan secara terus berhubung perkara itu. Sebaliknya, ia disampaikan menerusi watak Hay Ibn Yaqzan yang hidup di sebuah tempat terpencil dan bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.

Ya, gaya penulisan Ibnu Tufail dalam bentuk novel dan falsafah menerbitkan aura yang luar biasa. Buku ilmuwan tersohor itu banyak diterjemahkan dan dialih bahasa antaranya bahasa Latin dan Inggeris.

Buku itu turut menukilkan pengamatan Ibnu Tufail mengenai ilmu metafizik, fizik dan sebagainya. Tokoh itu melihat alam semesta sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa, manakala dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi asas kepada kehidupan mereka di muka bumi ini.

Meskipun ada yang menganggap pandangan dikemukakan merupakan perkara biasa pada hari ini, namun ketahuilah bahawa ia sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian dan fenomena yang berkaitan dengannya.

Pada 1185 Masihi, Ibnu Tufail dilaporkan meninggal dunia di Maghribi. Sesungguhnya kelahiran Ibnu Tufail memberikan 1,001 rahmat buat manusia sejagat. Kecintaan beliau kepada buku-buku dan ilmu pengetahuan mengangkatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dalam pelbagai bidang. PROFIL

Nama: Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi

Gelaran: Ibnu Tufail dan Abubacer

Tahun kelahiran: 1106 Masihi

Tahun kematian: 1185 Masihi

Kepakaran: Falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan

Sumbangan: Pemikir yang banyak menghasilkan karya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan.

Karya agung: Hay Ibn Yaqzan yang menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Sumber