Hype Republic Gegar Bukit Jalil 13 Disember Ini, Pelbagai Genre Muzik Bersatu di Satu Pentas

Sebuah konsert berskala mega bakal menjadi tumpuan peminat muzik tempatan menjelang hujung tahun ini menerusi penganjuran Hype Republic, yang akan berlangsung pada 13 Disember 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Konsert ini merupakan acara sulung anjuran DM Diamond Sdn. Bhd. dan dijangka mencipta impak besar dalam kalendar hiburan Malaysia tahun ini. Menampilkan gabungan pelbagai genre muzik seperti EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop, Alt-Indie dan banyak lagi, Hype Republic menjadi pentas yang menyatukan pelbagai citarasa muzik dalam satu malam yang penuh warna.

Lebih daripada sekadar konsert biasa, Hype Republic adalah sebuah acara muzik yang berperanan sebagai platform ‘one-stop center’ untuk para peminat muzik dari pelbagai latar belakang. Penonton bukan sahaja dapat menikmati persembahan artis kegemaran mereka, malah turut berpeluang menerokai genre muzik baharu yang mungkin belum pernah dialami secara langsung sebelum ini. Kepelbagaian ini dijangka mencetuskan suasana yang unik dan penuh keterujaan buat pengunjung yang hadir.

Antara barisan artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk nama-nama popular dalam arena muzik tempatan seperti Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan dan K.O.I, selain seorang lagi artis kejutan yang akan diumumkan kelak. Kehadiran artis-artis dari pelbagai genre ini dijangka menyumbang kepada sebuah persembahan yang penuh bertenaga, sekaligus mencipta pengalaman konsert yang luar biasa dan tidak mudah dilupakan.

Konsert Hype Republic dijadual berlangsung pada hari Sabtu, 13 Disember 2025, bermula jam 8.30 malam bertempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Para peminat boleh mendapatkan perkembangan terkini dan maklumat lanjut melalui laman sosial rasmi @dmdiamond.official di Instagram dan TikTok. Penganjur turut mengalu-alukan semua golongan peminat untuk hadir dan memeriahkan acara yang bakal menjadi penutup tahun 2025 yang penuh bermakna.

DM Diamond Sdn. Bhd., selaku penganjur konsert ini, merupakan syarikat pengurusan acara yang khusus dalam penganjuran konsert berskala besar serta acara hiburan premium di Malaysia. Walaupun baharu dalam industri, syarikat ini diterajui oleh pasukan profesional yang berpengalaman luas dan mempunyai rekod penganjuran beberapa acara hiburan sebelum ini. Keyakinan tinggi terhadap kemampuan pasukan ini turut mendorong penganjuran Hype Republic dalam usaha membawa pengalaman konsert tempatan ke tahap lebih tinggi.

Hype Republic turut menjadi simbol kepada langkah berani DM Diamond untuk mencorak landskap hiburan negara dengan lebih segar dan progresif. Gabungan genre muzik yang pelbagai, barisan artis yang mantap serta penganjuran yang terancang dijangka mengangkat nama acara ini sebagai antara konsert paling ikonik menjelang penutup tirai 2025.