Dalam kesibukan menjelang hari kemerdekaan Malaysia, HYPE GLOBAL VENTURES tidak mensia-siakan peluang untuk memperingati tanggal 31 Ogos bersama seluruh rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak.
HYPE GLOBAL VENTURES dulunya terkenal sebagai penganjur yang banyak terlibat dalam acara uptown dan pengurusan jualan. Namun, mereka melakar sejarah baru pada tahun ini apabila memulakan langkah pertama untuk melebarkan empayar mereka melalui acara hiburan seperti konsert berunsur nasionalisme.
Dua acara yang akan diadakan di Tawau, Sabah, dan The Mines Sri Kembangan, Selangor menjadi sebahagian daripada acara hiburan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh HYPE GLOBAL VENTURES berbekalkan semangat nasionalisme yang tinggi untuk diterapkan dalam diri masyarakat Malaysia.
Konsert Malam Merdeka Bah Kita 2022 bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau pada 30 Ogos 2022 seperti yang telah dijadualkan. Ia akan membuka tirai pada jam 6 petang dengan harga tiket bermula RM45, RM80 dan RM120 mengikut kategori.
Selain itu, barisan selebriti yang dijemput oleh pihak penganjur juga dikatakan mempunyai peminat yang agak ramai. Untuk menarik perhatian bangsa serumpun, HYPE GLOBAL VENTURES menjemput penyanyi-penyanyi terkenal dari Indonesia bagi merancakkan lagi suasana malam kemerdekaan negara sebagai simbol keharmonian antara dua buah negara.
Antara selebriti yang akan tampil menghiburkan para pengunjung adalah Isnin Umbrella, Hazama, Shidi Data, Azan, Hafiz Umbrella Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka dan Valdy Nyonk.
“Semua barisan penyanyi yang kami bawakan pada Malam Merdeka Bah Kita 2022 mempunyai pengikut dan digemari kelompok peminat pada masa kini.
“Malah ada dalam kalangan artis Indonesia yang kita bawa mempunyai jumlah tontonan lebih 100 juta di YouTube.
“Sengaja kami gabungkan barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia sebagai lambang serumpun pada malam bersejarah itu nanti,” ujar Pengarah Pengurusan Hype Global Ventures, Johari Mohd Yusof.
Malah, karnival yang bertempat di Tawau ini akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula dari 28 sehingga 30 Ogos 2022 sebagai simbol kemuncak menyambut kemerdekaan Malaysia kali ke-65.
Selain konsert yang menjadi tumpuan utama acara karnival di Tawau, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti yang menarik yang dianjurkan. Antaranya ialah pertandingan karaoke, battle of the band, jualan karnival makanan serta pelbagai barangan dan pakaian.
Bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan, pengunjung yang bertuah mungkin akan membawa pulang hadiah utama atau ‘lucky draw’ yang merupakan sebuah motorsikal 250cc sebagai penghargaan buat mereka yang hadir pada malam 30 Ogos.
“Kami sangat mengalu alukan kedatangan pengunjung bukan sahaja dari Tawau atau Sabah, tetapi juga Indonesia memandangkan lokasi karnival dan konsert iaitu Kompleks Sukan Tawau mempunyai kapasiti yang luas selain berdekatan dengan Kalimantan,” tambah Johari.
Tidak cukup setakat itu, bagi mengekalkan semangat nasionalisme dalam jiwa masyarakat Malaysia, HYPE GLOBAL VENTURES berhasrat untuk menganjurkan persembahan kedua, Malam Santai Musical pada 2 September 2022 di Hype Uptown Night, Bazar Seri Kembangan.
Persembahan yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan menampilkan jemputan khas seperti Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka, dan Valdy Nyonk untuk menghiburkan pengunjung di Uptown yang sememangnya menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama.
Dua harga tiket yang dijual adalah mengikut kategori iaitu RM65 dan RM165.
“Pemilihan melakukan persembahan di lokasi Uptown The Mines pula kerana di sinilah tapak pemula HYPE. Kita mempunyai lebih 400 kedai di sini dan secara tak langsung dengan penganjuran persembahan ini ia akan menambah nilai promosi kepada tempat ini,” kata Johari.
Sebarang keterangan lanjut boleh hubungi talian +60 12-674 8347 (Farizal) dan +60 19 560 7948 (Tado) untuk acara persembahan di Mines.