JIKA anda mengikuti laman sosial Instagram (IG) Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias, 38 atau PU Azman yang mesra dengan panggilan Cik Man, pastinya anda mengetahui dia sering menjawab pertanyaan netizen dengan jawapan yang mencuit hati.
Namun mesej yang ingin disampaikan jelas dan mudah difahami semua golongan.
Antara isu yang terbaharu yang dikongsikan menarik perhatian, berhubung hukum suami memanggil isteri dengan panggilan yang biasa dipanggil dengan mahram seperti ummi, ibu. Adakah ianya jatuh hukum zihar?.
Ini penjelasan PU Azman yang boleh dijadikan rujukan.
Menurutnya, Zihar ialah menyamakan mana-mana bahagian tubuh isteri dengan mana-mana bahagian tubuh wanita yang haram dikahwini oleh suami selama-lamanya seperti ibu kandung suami.
“Zihar ialah menyamakan punggung atau mana-mana bahagian tubuh isteri dengan punggung atau mana-mana bahagian tubuh wanita yang haram dikahwini oleh suami selama-lamanya seperti ibu kandung suami. Contoh suami cakap kat isteri, ‘punggung awak sama macam punggung mak saya’.
“Maka penyamaan ini dari sudut suami anggap haram isteri itu disetubuhi sebagaimana haram dia bersetubuh dengan ibu kandungnya. Zihar pada zaman jahiliyyah dianggap sebagai bentuk talak. Hukumnya haram dan berdosa besar.
“Tapi, hari ini kalau ada suami panggil isterinya mama, ibu, ummi atau yang sewaktu dengannya, adakah panggilan ini sama dengan hukum zihar?.
“Maka kena bandingkan hakikat zihar yang ada dalam syariat dengan budaya panggilan ini. Sebahagian ulama mengatakan makruh kerana bimbang sama macam zihar.
“Tapi sebahagian ulama lain mengatakan harus dan tak ada masalah sebab panggilan suami itu tak bermaksud menziharkan isteri kerana niat para suami ialah, panggilan kasih sayang.
Panggilan untuk mendidik anak-anak supaya panggil macam itu dekat mak mereka.
Panggilan yang bermaksudkan isteri itu adalah ibu kepada anak-anak suami, bukan ibu kepada suami,” tulisnya.
Kesimpulannya, suami boleh panggil isteri dengan panggilan di atas dengan syarat dan niat di atas dan tidak jatuh hukum zihar.
Malah, isteri juga boleh memanggil suami dengan panggilan ayah atau abi.
“Cik Man tak bahaskan tentang isteri panggil suami, sebab isteri tak pegang kuasa talak,” tulisnya.
Perkongsian itu ternyata menarik perhatian netizen dan turut bersetuju dengan penjelasan itu.
“Suami panggil kita ‘Sayang’, anak pun sama panggil ‘Sayang’. Itu la kena panggil ‘Ibu’,” tulis _melatidesa.
“Dalam keluarga saya pun, kami sebagai suami isteri ibu dan ayah. Tetapi tidak bermaksud menyamai hukum Zihar. Nauzubillah, sebab sudah cuba panggil suami abang tapi macam kaku, sudah tidak diubah.
“Masa anak baharu pandai bercakap, anak-anak akan ikut apa yang ayah dia panggil, sayang. Dia pun ikut panggil sayang. Semenjak itu, dah tukar panggil ibu sampai sekarang.
“Janji niat dalam hati tidak menyamai yang ustaz cakap,” tulis sasni73.
“Wah!Terima kasih ustaz atas penjelasan. Hehe sejak-sejak ada anak ini terus automatik panggil ibu ayah. Rasa macam lagi mesra, matang dan dalam masa yang sama nak ajar si kecik itu. Sekarang pun dia sudah mula sebut ‘abu’ panggil ibu, ha ha. Bolehlah,” tulis syahsyira.