Hotel Premiera Sajikan Warisan Kuliner dalam Hi-Tea Merdeka Bersama Chef Selebriti Dr. Liza Zainol

Sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-68, Hotel Premiera Kuala Lumpur bakal meraikan detik istimewa ini dengan menganjurkan acara eksklusif Merdeka Warisan Hi-Tea bertemakan “Merdeka Mengangkat Warisan Melalui Rasa dan Budaya”.

Majlis istimewa ini akan berlangsung pada 28 Ogos 2025 bermula jam 2.00 petang di Dewan Ballroom Hotel Premiera Kuala Lumpur. Ia merupakan kolaborasi istimewa antara dua figura kulinari negara iaitu Chef Selebriti Dr. Liza Zainol bersama Chef Eksekutif Hotel Premiera, Chef Dzulkarnain. Kedua-dua chef akan mempersembahkan aneka sajian Hi-Tea yang diinspirasikan daripada resipi warisan dan cita rasa tradisional Malaysia.

Tema yang dipilih bertujuan untuk mengangkat semula nilai warisan budaya dan kulinari tempatan. Setiap hidangan yang disajikan bukan sahaja menjanjikan keenakan, malah sarat dengan identiti bangsa dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Antara menu yang bakal dihidangkan termasuk Nasi Lemuni Sambal Ikan Talang Masin, Nasi Ulam Kampung dengan Sayur Keladi, Nasi Dagang Gulai Ikan Tongkol, Nasi Ambeng Ungkap Ayam, pelbagai hidangan pencuci mulut seperti Ubi Telampung, Bubur Cha Cha Nangka, Kuih Sagu Puteri Salju, Kuih Cara Bengkang Bebawang serta pilihan dari gerai langsung seperti Cucur Jagung Kuah Kacang dan banyak lagi.

Selain itu, para tetamu juga akan dihiburkan dengan aktiviti menarik seperti demonstrasi masakan, sesi bergambar dengan suasana bertema Merdeka serta hadiah cenderamata eksklusif.

Harga istimewa Early Bird ditawarkan pada kadar RM88 seorang untuk tempahan sebelum 20 Ogos 2025, manakala harga walk-in ialah RM108 seorang. Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi pihak hotel di talian 03-2615 1000.

Bagi menyerikan lagi suasana, tetamu digalakkan hadir dengan berpakaian tradisional seperti baju kurung, baju Melayu atau busana bertema kemerdekaan. Tempat adalah terhad, maka orang ramai disarankan membuat tempahan awal bagi menikmati pengalaman istimewa ini.

Sebagai tambahan, sepanjang musim kemerdekaan Hotel Premiera turut menawarkan Merdeka Buffet Lunch dan Hi-Tea bermula 28 Ogos hingga 16 September 2025, memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati hidangan berkonsepkan warisan sepanjang sambutan Hari Malaysia.