Hijrah demi masa depan generasi muda

PADA hari Ahad lalu, umat Islam menyambut awal Muharam. Setiap kali 1 Muharam, ia digazetkan sebagai cuti umum. Jadi, umat Islam di seluruh pelosok negara menyambutnya dengan pelbagai acara tradisi.

Antara acara yang sering dilakukan seperti perarakan beramai-ramai, ceramah umum dan pelbagai aktiviti lagi. Namun, terdapat persoalan yang seharusnya direnungkan bersama oleh semua umat Islam. Sejauh manakah penghayatan mereka terhadap peristiwa agung iaitu hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda dari Makkah ke Madinah?

Para sahabat yang bersama-sama dengan baginda sanggup berkorban harta, bahkan menggadaikan nyawa demi mempertahankan akidah yang mulai mekar dan subur dalam jiwa mereka. Bagaimana pula dengan kita? Sejauh manakah pengorbanan kita?

Adakah sekadar menunaikan rutin asas yang dilakukan setiap hari seperti pergi bekerja, menghantar anak ke sekolah dan menunaikan solat Jumaat seminggu sekali di masjid telah melayakkan kita untuk dinobatkan sebagai umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati persitiwa hijrah yang agung itu?

Sekurang-kurangnya umat Islam wajib menghargai nikmat sebuah akidah murni yang dikecapi hasil pengorbanan dan penat lelah generasi terdahulu dengan tindakan dan perlakuan, bukan hanya slogan dan ungkapan lisan.

Umat wajib bersikap peka dan prihatin dengan isu-isu persekitaran yang semakin berpotensi menghakis akidah dan akhlak.

Ancaman akidah

Kebelakangan ini, isu-isu ancaman akidah dilihat begitu ganas menyelinap masuk dalam pemikiran masyarakat, terutamanya dalam kotak minda generasi muda dan remaja. Kemajuan dan perkembangan teknologi komunikasi membuka ruang seluas-luasnya kepada serangan bertalu-talu terhadap anak-anak muda yang kebanyakannya menggunakan media sosial sebagai medan untuk bertukar-tukar ilmu dan maklumat.

Natijahnya, tidak sedikit anak-anak muda dan para remaja terpengaruh dengan corak pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti ideologi Islam liberal. Slogan ‘keterbukaan’ dan ‘kebebasan’ berfikir dilihat begitu lunak dan menepati cita rasa remaja dan anak muda yang pada hakikatnya ialah racun berbisa yang melumpuhkan ‘antibodi’ iman dalam diri, seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam kancah dosa dan maksiat.


Justeru, tidak hairanlah apabila saban hari media menghidangkan laporan kebobrokan akhlak generasi muda dengan pelbagai bentuk jenayah yang begitu menggerunkan.

Umpamanya akhbar Sinar Harian bertarikh 4 Mac melaporkan statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan bahawa terdapat kira-kira 18,465 remaja perempuan yang didapati hamil luar nikah sejak tahun 2014 hingga 2018. Itu bermakna, setiap hari purata remaja perempuan yang mengandung anak tidak sah taraf seramai 10 orang.

Sudah pastinya angka itu sangat membimbangkan. Tidak mustahil akan tiba suatu masa para guru di sekolah kebingungan apabila pelajar-pelajar dalam kelas kebanyakannya berbinkan dengan nama ayah yang sama iaitu ‘bin Abdullah.’ Suka atau tidak, keadaan semasa yang berlaku pada hari ini membawa kita kepada situasi itu, jika tiada tindakan proaktif dan konsisten daripada setiap Muslim.

Pada 8 Februari lalu, Sinar Harian juga melaporkan bahawa Ketua Polis Negera pada waktu itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerangkan isu pembabitan pelajar dalam aktiviti jual beli dadah, salah laku seks, membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap dan militan antara jenayah pernah dicatatkan dalam jurnal juvana.

Sudah tentunya gejala-gejala itu menuntut tindakan yang segera daripada semua lapisan masyarakat. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bertukar kepada zon perlakuan jenayah dan maksiat. Adakah umat Islam masih boleh tidur lena apabila membaca statistik sebegini? Adakah kita hanya akan tersedar betapa seriusnya gejala itu apabila salah seorang anggota keluarga kita yang terlibat?

Mendidik

Sudah jelas bahawa isu ancaman akidah dan keruntuhan akhlak menuntut tindakan yang seragam dan proaktif daripada semua pihak. Ibu bapa tidak seharusnya bersikap selesa berpeluk tubuh dengan membiarkan tugas mendidik generasi muda hanya terbeban pada bahu para guru dan pendidik.

IBU BAPA perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak supaya terhindar daripada ancaman akidah yang menggerunkan.

IBU BAPA perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak supaya terhindar daripada ancaman akidah yang menggerunkan.

Sebaliknya tugas mendidik, mentarbiah dan mengawasi anak-anak hendaklah dijadikan tugas rutin seorang ibu bapa. Hendaklah kita sedar bahawa generasi muda, terutamanya zuriat keturunan adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh ALLAH pada hari akhirat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dibawah pimpinannya.”

Oleh yang demikian, sempena kedatangan bulan Muharam yang menjadi simbol kepada kekuatan generasi terpilih para sahabat, kekuatan dan semangat yang sama juga seharusnya dicetuskan dalam diri setiap Muslim.

Ayuhlah berhijrah daripada sifat tidak peduli dan tuli kepada kesedaran serta sifat prihatin, korbankan kesenangan dan kemalasan demi generasi masa depan. Suburkanlah budaya amar makruf dan nahi mungkar, hidupkan amalan menegur ke arah kebaikan demi mencari reda Tuhan. Ingat, hijrah itu pengorbanan!



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *