Hidup biarlah memberi manfaat kepada semua

KITA hidup di dunia ini hanya sementara sahaja dan yang kekal adalah di alam akhirat nanti.

Dalam hidup kita yang singkat ini, cuba renungkan kembali, apakah hidup kita selama ini banyak memberi manfaat atau menyusahkan orang lain?

Sebenarnya, ALLAH SWT mencipta semua makhluk dengan taraf yang sama di sisi-Nya.

Tidak kiralah apa pun bangsa atau warna kulit kita.

Yang membezakannya hanyalah sama ada kita dimuliakan atau dihina oleh-Nya.

Siapakah yang terbaik dalam kalangan manusia?

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, manusia yang dimuliakan ALLAH SWT ialah yang sentiasa berbuat kebaikan dan perkara itu memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW ditanya, ‘Siapakah orang terbaik?’ Baginda menjawab, ‘Yang paling bermanfaat bagi sesama manusia’.”

Apa yang dimaksudkan dengan perkataan manfaat itu tidak terhad kepada memberi sesuatu seperti harta, barangan atau pertolongan sahaja.

Malah, ia mempunyai maksud yang begitu luas.

Contohnya, memberi tunjuk ajar dengan ilmu dan dipraktikkan pula di dalam kehidupan kita. Ia juga sesuatu yang bermanfaat.

Kita perlu ingat bahawa keperluan setiap orang adalah tidak sama.

Mungkin seseorang tidak memerlukan ilmu kerana sudah memiliki ilmu dan ada pula yang tidak memerlukan harta kerana dia sudah berharta.

Namun, dari segi aspek lain barangkali, individu itu berasa terasing walaupun sudah memiliki segalanya kerana dia tiada keluarga atau saudara-mara.

Dalam hal ini, individu itu sebenarnya memerlukan kasih sayang daripada kita iaitu orang yang berada di sekelilingnya.

Oleh itu, manfaatkanlah hidup kita dengan sebaik-baiknya. Biarlah apa yang kita lakukan turut memberi manfaat kepada orang lain.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *