MELUAHKAN ketidakpuasan hati dalam rumahtangga dan menceritakan masalah peribadi pasangan secara terbuka di media sosial adalah haram kerana boleh menyebabkan salah faham dan fitnah serta mengeruhkan lagi keadaan.
Pendakwah, Noraini Mat Din atau dikenali Ustazah Nony berkata, tindakan meluahkan perasaan dan memohon pandangan berkenaan rumah tangga di media sosial bukanlah jalan terbaik untuk suami mahupun isteri.
“Ini kerana kemudaratan yang lebih besar bakal berlaku daripada tindakan itu. Misalnya, keaiban pasangan dan ahli keluarga menjadi perbualan ramai. Salah faham dan sangka buruk turut boleh berlaku menyebabkan ramai yang menghukum tanpa mengetahui hal sebenar.
“Bimbang juga jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini sekali gus menjadi punca kepada keretakan yang lebih besar, termasuklah boleh menyebabkan kecaman netizen dan menjadi sebab kepada mengumpat serta mencela beramai-ramai,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Urus konflik
Menurutnya, kesan daripada perbuatan itu, ia bukan sahaja memberi persepsi buruk kepada pasangan bahkan ia juga mengundang kepada reaksi negatif pelbagai pihak dan boleh membarah dalam masyarakat.
Justeru katanya, tindakan berkongsi masalah di media sosial berkenaan hal rumah tangga amatlah ditegah.
“Oleh itu, carilah jalan penyelesaian dan perdamaian dengan cara bersemuka antara satu sama lain dan bukannya melalui atas talian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang digariskan Islam kepada suami isteri sebagai persediaan menempuhi gerbang perkahwinan, antaranya ialah kematangan dalam kerangka berfikir pasangan berkenaan.
Menurutnya, ia merangkumi cara berfikir, membuat keputusan, perbuatan dan tindakan, komunikasi serta pergaulan.
“Suami dan isteri mestilah matang dalam berbincang, membuat keputusan, menjalankan tanggungjawab dan hak, menguruskan konflik dan menguruskan rumah tangga.
“Kematangan suami dan isteri ternilai daripada cara mereka menguruskan konflik,” katanya.Kekalkan keharmonian rumah tangga
Menurutnya, Islam mengajar umatnya beberapa cara untuk kekal harmoni dan mengatasi masalah dalam rumah tangga.
“Pertamanya, berkomunikasilah. Suami dan isteri mesti memahami pasangan masing-masing.
“Contohnya, apabila suami tidak gemar tindakan isteri maka ajaklah berbincang dan mohon isteri membuat semakan dan tegurlah secara berhemah,” katanya.
Menurutnya, suami dan isteri juga perlu meningkatkan amal ibadat dan sentiasa saling menasihati berkenaan agama.
“Ibadah sempurna akan memandu rumah tangga sekali gus menjadikan hubungan sentiasa terjaga,” katanya.
TIP BAGI MEREKA YANG BERHADAPAN KONFLIK RUMAH TANGGA
* Suami dan isteri yang mempunyai masalah ataupun tidak, mesti saling berkomunikasi secara berhadapan.
* Komunikasi melalui atas talian tidak mempunyai nada, mimik muka dan sukar untuk dibuat penjelasan maka elakkan meregangkan kekusutan antara pasangan melalui atas talian.
* Suami dan isteri mestilah duduk berbincang terutamanya apabila berhadapan konflik rumah tangga.Melarikan diri, atau mewakilkan orang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah sebenarnya tidak membantu meregangkan konflik bahkan boleh menyebabkan ia lebih buruk.
* Sekiranya perlukan orang tengah untuk membantu komunikasi dan perbincangan antara suami isteri maka ajaklah saudara. Sama ada daripada sebelah suami atau sebelah isteri atau kedua-duanya untuk memurnikan dan memberi pendapat, atau suami isteri boleh membawa hal ini berjumpa bahagian kaunseling rumah tangga.