Program nyanyian paling dinanti setiap tahun, Gegar Vaganza (GV12) kini kembali menghangatkan malam minggu para peminat dengan penganjuran musim ke-12 yang menjanjikan dimensi baharu hiburan. Menampilkan konsep eksklusif bertemakan “GV-Verse”, edisi kali ini diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang yang memiliki keistimewaan tersendiri sejak awal kemunculan mereka dalam dunia muzik. GV12 bakal menemui penonton bermula 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104), membawa semula kemeriahan dan nostalgia ke kaca televisyen.
Menjadi platform penyatuan suara-suara legenda, GV12 meraikan kebangkitan semula era gemilang muzik tempatan dan serantau. Daripada ikon era 80-an hingga ke suara emas 2000-an, musim ini menjanjikan perjalanan muzik yang tidak lekang dek zaman. Astro mempersembahkan 13 peserta solo dan berkumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, yang akan mempamerkan kehebatan seni dan persembahan memukau dalam setiap episod, sekaligus menghidupkan kembali semangat dan magis pentas GV.
Barisan peserta kali ini cukup mantap dengan kehadiran nama-nama besar seperti Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam, dan Nubhan. Turut menyertai ialah duo pop Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal mengimbau kehangatan irama tempatan. Dari Indonesia, Shae, Ruri Repvblik dan trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) menambah warna tersendiri dengan gaya muzik yang segar dan berbeza. Sementara itu, Singapura diwakili oleh Iskandar Ismail yang dikenali dengan vokal bertenaga dan karismatik. Menambah elemen misteri, SHY8 tampil sebagai peserta wildcard, menjanjikan kejutan dan sentuhan seni unik dalam GV-Verse.

Mengemudi pentas GV12 sekali lagi ialah pasangan pengacara serasi dan berkarisma, Nabil Ahmad serta Sherry Alhadad, yang sentiasa menghidupkan suasana dengan jenaka dan kecekapan mereka. Barisan juri pula mengekalkan tiga figura tersohor dalam industri muzik iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan memberikan penilaian profesional berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas mereka.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, Gegar Vaganza kekal menjadi pertandingan nyanyian realiti nombor satu di Malaysia yang memberi peluang kepada penyanyi legenda dan artis lama untuk menghidupkan semula perjalanan muzik mereka. Beliau menjelaskan bahawa kekuatan GV terletak pada keseimbangan antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen yang menyentuh hati penonton serta menghubungkan semula artis dengan peminat melalui lagu-lagu abadi.
“Tahun ini, kami membawa legasi tersebut ke tahap baharu melalui GV-Verse yang meraikan kepelbagaian bakat serantau. Dari nama evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap peserta membawa kisah dan semangat tersendiri. Musim ini juga memperkenalkan kumpulan dinamik seperti Freshies dan Mendua yang menampilkan keindahan harmoni dan kolaborasi sejati dalam dunia GV,” jelasnya.

Tambah Raqim lagi, GV12 bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi penghargaan terhadap perjalanan seni para peserta dan sejauh mana mereka mampu melangkah selepas ini. Beliau turut mengajak semua peminat untuk menyertai “universe” GV12 bagi mengimbau kenangan, menikmati alunan baharu dan menyaksikan transformasi dunia muzik dalam skala lebih besar daripada sebelumnya.
GV12 juga boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One pada harga RM49.99 sebulan untuk akses hiburan tanpa henti seisi keluarga, atau tingkatkan pengalaman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Untuk maklumat lanjut dan langganan, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 hari ini.