GLENN FREDLY: HOLOGRAPHIC PERFORMANCE LIVE IN MALAYSIA: MERAIKAN CINTA & WARISAN YANG ABADI

Suaranya pernah menyentuh jutaan hati. Karyanya terus hidup meskipun jasadnya telah pergi. Kini, rindu itu bakal disatukan kembali menerusi konsert istimewa “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia” yang akan berlangsung pada 18 Julai 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Premier Live Productions, konsert ini merupakan satu penghormatan penuh cinta dan nostalgia buat legasi muzik Glenn Fredly yang tidak pernah pudar. Teknologi hologram akan menghidupkan kembali sosok Glenn di atas pentas, memberi peluang peminat menyaksikan persembahan beliau dengan cara yang belum pernah terjadi sebelum ini di Malaysia.

Sebelum ini, persembahan holografik Glenn Fredly di Jakarta telah menyentuh hati ribuan penonton. Kini, giliran peminat Malaysia pula untuk merasai getaran magis lagu-lagu ikonik seperti “Kasih Putih”, “Januari”, “Akhir Cerita Cinta”, “Terserah” dan banyak lagi yang telah menjadi runut emosi kehidupan ramai.

Lebih bermakna, konsert ini turut disertai barisan artis terpilih termasuk Mutia Ayu (isteri Glenn), Ryan D’Masiv, serta artis tanah air Noh Salleh dan Nadira Adnan, bersama band pengiring asal Glenn iaitu The Bakuucakar. Mereka akan bersama-sama membawakan tribute yang penuh penghayatan bukan sekadar persembahan, tetapi satu momen untuk merenung dan meraikan nilai-nilai yang diperjuangkan Glenn seperti cinta, damai dan kemanusiaan.

“Ini lebih daripada konsert. Ia adalah ruang untuk kita mengenang dan menyambung warisan seni Glenn yang penuh jiwa dan keindahan,” kata Ibram Putra, wakil penganjur utama.

Menurut Anuar Osman daripada Matahari Sdn. Bhd., rakan promotor tempatan, “Kami percaya peminat Glenn di Malaysia sudah lama menantikan momen ini. Ini bukan sekadar konsert holografik, ia adalah detik untuk mengubat rindu dan merasai semula keajaiban muzik Glenn secara langsung.”

Tiket konsert bermula pada harga RM188 dan boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com. Untuk perkembangan terkini, ikuti @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords dan @glennfredlymusik di Instagram.

Jangan lepaskan peluang menyertai malam penuh kenangan ini. Ayuh kita raikan cinta, muzik, dan legasi Glenn Fredly yang akan terus hidup dalam jiwa kita semua.