Filem aksi biografi yang dinanti-nantikan, GAYONG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei 2025. Karya ini mengangkat kisah perjuangan dan legasi Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), pengasas Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), dalam mempertahankan maruah bangsa dan tanah air melalui seni persilatan.
Diarahkan oleh Faisal Ishak dan diterbitkan oleh SOL Pictures Sdn. Bhd., GAYONG menampilkan pelakon berkaliber Beto Kusyairy sebagai ADMAR, bersama barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, dan penampilan istimewa pelakon aksi antarabangsa Yayan Ruhian dari Indonesia. Filem ini menjalani penggambaran di pelbagai lokasi termasuk Kuala Lumpur, Sepang, Tanjung Sedeli, dan beberapa kawasan di Lembah Klang.
Menurut pengarah Faisal Ishak, GAYONG bukan sekadar filem aksi, tetapi sebuah karya yang mengangkat warisan seni silat Melayu ke layar perak. “Saya mahu penonton bukan sahaja menikmati aksi mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerakan dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan,” katanya.
Bagi memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan ADMAR, setiap pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih Silat Gayong berpengalaman. Latihan ini bukan sekadar mengajar pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong.(SuaraTV)
Penerbit Eksekutif GAYONG, Khairul Anuar Latip, menyatakan bahawa pihaknya telah mendapat persetujuan dan sokongan daripada ahli keluarga ADMAR, khususnya anak perempuan dan cucu arwah. “Kami juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang sentiasa berhubung dengan kami dalam segala urusan produksi termasuklah memberikan khidmat nasihat dengan menghantar beberapa ahli pertubuhan silat gayong sendiri ke lokasi untuk memastikan aksi persilatan yang dilakukan tidak tersasar dari gerak seni silat gayong itu sendiri,” jelasnya.
GAYONG turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Ebby Saiful, Nasir Jani, Shannon Wiratchai, Takeda Hiromitsu, Eric Chen, Wan Raja, Anas Ridzuan, Shahrul Hakimi, Vincent Kellsey, Daniel Gan, dan Peter Davis. Karya ini diharapkan dapat membangkitkan semangat patriotisme serta kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan budaya Melayu.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan GAYONG di pawagam bermula 8 Mei 2025 dan hayati kisah perjuangan seorang legenda silat yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga kepada generasi akan datang.