Gabungan Dua Label Muzik Alternate Records dan Universal Music Malaysia

Dua label muzik bergabung menjadi rakan strategik dalam memasarkan muzik tempatan! Kolaborasi antara syarikat rakaman tempatan, Alternate Records, dan syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Malaysia, dijangka membawa perubahan besar dalam industri muzik tempatan serta membuka peluang baharu bagi artis-artis tempatan untuk memperluas pengaruh muzik mereka di peringkat domestik, serantau, dan global.

Kerjasama antara Alternate Records, yang terkenal dengan pendekatan inovatif dan kreatif dalam penerbitan muzik, dan Universal Music Malaysia, yang memiliki rangkaian artis ternama, akan memperkenalkan perubahan baharu dalam industri muzik tempatan. Ini bertujuan memenuhi selera penggemar muzik melalui gabungan kepakaran dari kedua-dua syarikat rakaman tersebut.

Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, mereka perlu bekerjasama dengan syarikat rakaman tempatan yang berjaya untuk mencungkil bakat baharu. “Sebagai syarikat rakaman antarabangsa, kami percaya bahawa kerjasama dengan syarikat rakaman tempatan seperti Alternate Records penting untuk menghasilkan kepelbagaian genre muzik. Ini juga merupakan langkah penting dalam mengembangkan industri muzik tanah air. Dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua pihak, kami percaya kerjasama ini akan meningkatkan keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan menggalakkan inovasi serta kepelbagaian dalam industri muzik,” katanya.

Tambah Kim Lim lagi, “Bagi kami, asal-usul artis tidak penting. Yang lebih penting adalah muzik yang mampu berhubung dengan pendengar dan sesuai dengan visi yang kami bina bersama.”

Kim Lim juga menyatakan bahawa kerjasama antara kedua-dua pihak adalah tepat, dan memuji kejayaan Alternate Records & Talents dalam pasaran muzik masa kini. “Alternate Records & Talents telah berjaya mencungkil bakat dan menghasilkan beberapa artis, lagu, dan runut bunyi yang menonjol. Pengumuman kerjasama ini hanyalah langkah pertama untuk kedua-dua syarikat berganding bahu dalam mengembangkan lebih ramai bakat hebat dalam industri muzik Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, antara artis yang telah dan bakal memulakan projek kerjasama ini termasuk Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah, dan Ezra Kairo. “Ini adalah sebahagian daripada senarai artis yang telah dan akan bekerja rapat dengan Alternate Records. Kami sangat teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka dalam lebih banyak projek yang akan datang,” tambah Kim Lim.

Puan Shahila Shah Harun, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik, dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, turut berkongsi keterujaannya mengenai kerjasama ini. “Kerjasama antara Alternate Records dan Universal Music adalah langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran muzik.”

Tambah Puan Shahila Shah lagi, ”Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis yang berbakat dan seharusnya kami akan memberi sokongan penuh dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia. Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada artis sedia ada tetapi juga membuka pintu kepada bakat-bakat baru yang mencari platform untuk menonjolkan potensi mereka. Selain itu, usaha sama ini akan memfokuskan kepada pengeluaran muzik yang lebih berani, segar, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.”

Dengan pengumuman ini, industri muzik Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk membawa muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Semangat kolaborasi dan pertukaran idea ini memberikan sinergi yang unik, menjana keharmonian yang membolehkan kepelbagaian budaya dalam muzik Malaysia terus berkembang dan menjadi terkenal di peringkat domestik, serantau dan global.

Dalam erti kata lain, industri muzik Malaysia semakin diminati dan dihormati di persada serantau dan antarabangsa, membuka lembaran baru untuk insan kreatif Malaysia melalui platform yang lebih berdaya maju serta lebih berprestij.