FSR UiTM Perkenal Flag Football dan Frisbee di Kuala Terengganu

Dalam usaha memperluas cakupan sukan rekreasi kepada pelajar sekolah, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tampil menganjurkan program pengenalan dua sukan moden Flag Football dan Frisbee di dua buah sekolah menengah terpilih di Kuala Terengganu.

Program yang berlangsung dari 12 hingga 19 Jun 2025 ini akan melibatkan penyertaan seramai 146 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman. Ia memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk mengenali dan merasai sendiri pengalaman bermain sukan yang masih asing namun kian mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Penganjuran ini digerakkan oleh pelajar semester enam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (SR2416NA, SR241NB dan SR241NC), dengan kerjasama strategik bersama komuniti Rentap (Flag Football) dan All Ultimate Roar (Frisbee). Pendekatan hands-on dan bimbingan langsung daripada kedua-dua komuniti ini dijangka meningkatkan kefahaman dan minat peserta terhadap kedua-dua sukan ini.

“Flag Football dan Frisbee bukan hanya mengenai sukan semata-mata, tetapi juga pendidikan karakter – membentuk disiplin, kepimpinan dan kerja berpasukan,” jelas wakil pelajar FSR selaku penganjur utama.

Majlis pelancaran rasmi bagi program yang dinamakan “Terengganu Takeoff: United Under One Flag dan Frisbee Throwlogy D’Ganu” bakal dirasmikan oleh Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad bin Raja Azidin, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada usaha holistik universiti dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berperanan aktif menyumbang kepada pembangunan sosial dan komuniti. Program ini turut dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama jangka panjang antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di Terengganu.