Fizza kek lapis kini terbang ke Cyprus

KUALA LUMPUR – Penat lelah bersengkang mata saban malam menyiapkan tempahan pelanggan akhirnya terbalas apabila jenama Fizza Kek Lapis Sarawak & Bakery semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan itu.

Perusahaan menjual kek lapis tersebut diusahakan oleh anak jati kelahiran Sarawak, Hafizawati Ahmad, 41, sejak 2009 dengan bermula secara sambilan di rumah.

Ketika itu, ibu kepada lima anak ini hanya menyiapkan kek lapis mengikut tempahan dengan menggunakan peralatan sedia ada di rumah.

Hafizawati berkata, ketika itu dia tidak berani mengambil tempahan terlalu banyak kerana khuatir tidak mampu menyiapkan tempahan mengikut masa ditetapkan memandangkan menjalankan perniagaan secara sambilan, tanpa pembantu dan peralatan yang lengkap.

Hafizawati turut menjadi tenaga pengajar bagi berkongsi ilmu pembuatan kek kepada mereka yang berminat mengikuti kelas.

Hafizawati turut menjadi tenaga pengajar bagi berkongsi ilmu pembuatan kek kepada mereka yang berminat mengikuti kelas.

Pada 2010, dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) ia menerima bantuan RM500 sebagai suntikan modal untuk mengembangkan perniagaan.

Menurutnya, wang itu digunakan untuk membeli bahan mentah serta ketuhar dan usahanya semakin dipermudahkan apabila pada tahun sama, dia menerima bantuan peralatan seperti mesin pengadun, ‘chiller’ serta ketuhar bernilai RM10, 000 daripada Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) dan kemudian SME Bank pula memberi pembiayaan sebanyak RM12,000 di bawah program keusahawanan asnaf.

“Bermula dari situlah saya mula tingkatkan pengeluaran daripada 50 kepada 100 tempahan seminggu.

“Bukan hanya kek lapis, saya juga terima tempahan kek hari jadi dan pelbagai jenis roti untuk dihantar ke beberapa premis secara tetap,” katanya kepada Sinar Harian.

Setelah 11 tahun berniaga, dia akhirnya berjaya membuka kedai di Kampung Sri Aman Puchong pada Jun lalu.

Kek lapis keluaran Fizza Bakery.

Kek lapis keluaran Fizza Bakery.

Namun dia diuji dengan musibah banjir dan kerugian hampir RM20,000, sebaliknya tidak mahu bersedih dan terus bangkit menyambung perniagaan.

Hafizawati kini sibuk untuk memenuhi 60 pek tempahan dari Cyprus.

Sumber