Mengisahkan kehidupan Aman, seorang pemuda yang menetap di sebuah kampung di Kedah bersama ibunya, Nor, serta adik angkatnya, Daniel yang suatu ketika dahulu pernah hidup sebagai gelandangan. Kehidupan mereka yang sederhana mula bergolak apabila perniagaan kecil yang diusahakan berdepan konflik, seterusnya mendorong Aman terjebak secara tidak sengaja dalam sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh seorang lelaki licik bernama Edy.
Edy bijak menyembunyikan kegiatan jenayahnya dengan berselindung di sebalik perniagaan jual beli ikan secara borong, menyebabkan aktivitinya gagal dikesan oleh pihak berkuasa. Aman yang terperangkap dalam sindiket tersebut berdepan dilema besar apabila menyedari salah seorang mangsa pemerdagangan manusia itu ialah Fara, seorang remaja yatim piatu yang juga merupakan penduduk kampungnya sendiri.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila pihak polis melancarkan serbuan di kawasan hutan berhampiran sempadan negara, sekali gus menjadikan Aman buruan pihak berkuasa. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk hidup sebagai pelarian, namun Aman tekad membersihkan namanya demi mempertahankan maruah dirinya di mata ibunya, walaupun bukan dengan jalan menyerah diri kepada polis.
Berita penglibatan Aman dalam kegiatan jenayah akhirnya tersebar dan sampai ke pengetahuan Nor, Daniel serta penduduk kampung. Walaupun dilanda kejutan dan tekanan, Nor dan Daniel enggan mempercayai dakwaan tersebut. Daniel nekad menyiasat kebenaran di sebalik kejadian, namun tindakannya membawa padah apabila dia dibunuh oleh Edy bagi menutup segala rahsia.

Aman terpaksa bersembunyi dan bertahan hidup di dalam hutan selama berminggu-minggu, dengan kelaparan dan keletihan bukan lagi keutamaan berbanding hasratnya untuk pulang bertemu ibunya dan menjelaskan perkara sebenar. Dengan kekuatan semangat serta doa yang tidak pernah putus, Aman akhirnya berjaya menemui semula Nor, namun niatnya untuk menyerah diri berubah apabila mengetahui Daniel telah terkorban akibat kekejaman Edy.
Didorong rasa kehilangan dan keinginan melindungi ibunya daripada menjadi mangsa seterusnya, Aman mengambil keputusan membalas dendam terhadap Edy. Pertemuan itu berakhir dengan kematian Edy, disaksikan sendiri oleh Nor. Aman akhirnya ditahan pihak polis dan berdepan hukuman berat, namun dia menerimanya dengan hati yang tenang kerana percaya selepas ini, keluarganya akan hidup tanpa ancaman, terutama ibunya yang paling dikasihinya.
Kisah sarat emosi dan konflik ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026, menjanjikan sebuah naskhah yang menyentuh isu kemanusiaan, keadilan dan pengorbanan dalam sebuah perjalanan hidup yang penuh ranjau.