Fenomena Hip Hop 90-an Kembali, Ribuan Peminat Bersatu bersama 4U2C

Selepas hampir tiga puluh tahun tidak tampil di pentas besar, kumpulan rap legenda 4U2C akhirnya mengubat kerinduan peminat melalui konsert We 4U2C yang berlangsung meriah di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada malam Isnin.

Mengangkat tema “Bringin’ Back Da 90’s Flava”, lebih 3,000 penonton hadir untuk menyaksikan semula fenomena hip hop Malaysia yang pernah mencetuskan gelombang besar pada era 90-an.

Selama lebih dua jam, 4U2C menghiburkan peminat dengan deretan lagu popular yang diberi nafas baharu melalui susunan muzik segar, lengkap dengan visual moden dan penceritaan perjalanan seni yang penuh emosi.

Datuk AC Mizal selaku ketua kumpulan menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa itu. Katanya, kehadiran ribuan peminat membuktikan karya dan muzik 4U2C masih segar dalam ingatan serta kekal dekat di hati walaupun zaman sudah berubah.

Konsert ini turut menyaksikan gabungan semula enam ahli asal iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam yang bersama-sama menghidupkan kembali aura kehebatan 4U2C di pentas.

Malam istimewa itu diperkukuhkan dengan sentuhan magis komposer Aubrey Suwito selaku Pengarah Muzik, yang berjaya mengadun elemen nostalgia dengan kontemporari menjadi sebuah persembahan mantap dan berkelas tinggi.

Lebih menarik, pentas turut dimeriahkan oleh artis jemputan seperti Res2, M’Steen dan A to Z yang menghangatkan suasana dengan lagu popular mereka, sekaligus menambah warna pada malam penuh nostalgia.

Konsert We 4U2C dianjurkan oleh Juss Events Sdn Bhd dengan sokongan penuh Millennium Group selaku penaja utama, manakala Era, Sinar, Gegar dan Mix tampil sebagai rakan radio rasmi. Astro Gempak pula bertindak sebagai rakan media digital.

Sorakan dan laungan peminat sepanjang malam membuktikan legasi 4U2C kekal utuh. Malah, konsert ini menjadi detik bersejarah buat kumpulan tersebut setelah sekian lama tidak berkumpul di pentas besar.