Musim keempat Famili Duo, rancangan realiti nyanyian keluarga TV3, melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, mencatatkan kejayaan luar biasa apabila mencapai 4.3 juta penonton sepanjang musim ini (sumber: AC Nielsen). Dengan pencapaian tersebut, Famili Duo terus mengekalkan kedudukannya sebagai program pilihan utama rakyat Malaysia, khususnya di slot Ahad dari jam 9 hingga 11 malam. Program ini terus menjadi teman setia yang menghiburkan penonton di seluruh negara.
Musim ini turut mencatat lonjakan prestasi memberangsangkan, dengan peningkatan sebanyak 71.6% dalam rating menerusi siaran Live TV dan AVOD di platform Tonton. Kejayaan ini menegaskan keupayaan Famili Duo untuk bukan sahaja menarik penonton televisyen sedia ada, tetapi juga meraih perhatian besar daripada pengguna digital, sejajar dengan perkembangan era digital semasa.
Menurut laporan Meltwater 2024, program ini turut mencetus fenomena di media sosial, dengan jangkauan mengagumkan sebanyak 3.8 bilion. Kisah tular seperti misteri pasangan Naqiu serta kehilangan duo Didi Astillah dan Thamiera berjaya mencipta perbualan hangat dalam kalangan netizen, sekali gus menjadikan Famili Duo antara topik paling dibincangkan sepanjang musim ini.
Pentas akhir yang berlangsung pada 15 Disember 2024 memperlihatkan persembahan hebat daripada tiga pasangan finalis. Shiha Zikir dan Ieda Zikir mengukir sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo Musim 4. Persembahan penuh kreativiti mereka, termasuk gabungan lagu Dokter Cinta dengan elemen futuristik dan Mentera Semerah Padi yang mendapat markah sempurna daripada juri, berjaya memikat hati penonton dan barisan juri. Kejayaan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta trofi juara.
Ayie Elham dan Salma Asis pula muncul sebagai naib juara dengan persembahan yang memukau, termasuk gabungan lagu Kisah Ku Inginkan dan Haram berlatar belakangkan konsep Titanic. Sementara itu, Tomok dan Sharul Kamal memikat penonton dengan elemen pesta dalam persembahan mereka, membawakan lagu-lagu seperti Gadis Melayu dan Sang Saka Biru.
Carta Markah Finalis
- Shiha Zikir & Ieda Zikir – 82.9%
- Ayie Elham & Salma Asis – 79.5%
- Tomok & Sharul Kamal – 62.6%
Malam final turut diserikan dengan persembahan istimewa Mas Idayu yang membawakan single terbarunya Harum Mekar Di Hati. Kemunculan beliau memberikan penutup sempurna kepada musim ini.
Famili Duo Musim 4 dibawakan oleh Perfume Paradise selaku penaja utama, dengan Marigold HL sebagai rakan penaja. OhBulan! dan XTRA pula bertindak sebagai Famili Digital, memeriahkan lagi interaksi program ini dengan peminat di platform media sosial.
Untuk maklumat terkini tentang rancangan TV3, ikuti akaun rasmi @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, dan Twitter, serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial. Jangan ketinggalan untuk terus menyokong rancangan kegemaran anda!