Dunia hiburan Malaysia melakar sejarah baharu dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies yang menghimpunkan tiga cabang utama industri seni di bawah satu bumbung. RPM Group terdiri daripada Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. yang mengetuai penerbitan drama, filem dan kandungan berimpak tinggi; RPM Events Sdn. Bhd. yang mengendalikan konsert, festival muzik dan acara mega; serta RPM Labels Sdn. Bhd., label rakaman yang memberi fokus kepada pembangunan artis serta bakat baharu tempatan.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group, gabungan ini bukan sekadar sinergi tiga syarikat, malah satu gerakan yang membawa pendekatan profesional, tersusun dan berimpak kepada industri. “Kami ingin menghasilkan karya yang bukan hanya menghiburkan, tetapi juga memberi nilai kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam ucapan pelancaran.
Antara pengumuman penting dalam majlis ini ialah pelancaran Jelajah Rockology Concert Tour 2025, yang dianjurkan sepenuhnya oleh RPM Events. Siri konsert berskala nasional ini menampilkan legenda rock tanah air Dato’ Awie dan Search (Kid Din) dalam satu pentas penuh tenaga dan nostalgia yang pasti menghidupkan kembali semangat rock Malaysia.
Bagi Dato’ Awie, penglibatannya adalah kerana keyakinan terhadap misi Rockology. “Ini bukan konsert biasa. Ini gerakan mengembalikan jiwa rock yang telah lama terpendam,” katanya. Menariknya, sebahagian keuntungan dari jelajah ini akan disalurkan kepada projek tanggungjawab sosial mereka iaitu Konsert Wings Dalam Penjara inisiatif untuk menyantuni komuniti terpinggir.
Dato’ Eddy turut menegaskan komitmen RPM Group dalam menjadikan Rockology lebih dari sekadar konsert. “Kami mahu jadikan ia platform budaya dan sosial, sambil membuka ruang kepada penaja dan rakan strategik yang mahu bersama-sama menjayakan misi ini,” ujarnya.
Jelajah Rockology akan bermula di Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 (North Chapter) dan diteruskan di EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 (South Chapter). Sekitar 15,000 peminat dari Malaysia dan Singapura dijangka hadir.
Tiket untuk konsert pertama kini dijual di https://rpm.ubertickets.asia dengan harga bermula RM98, membuktikan konsert ini mampu diakses oleh semua lapisan peminat. Pengumuman tiket untuk lokasi Johor akan dibuat tidak lama lagi.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran artis-artis terlibat, barisan pengurusan kanan RPM Group serta rakan-rakan strategik yang bakal memainkan peranan penting dalam menjayakan jelajah ini.