Elliza Razak, nama yang cukup dikenali dalam industri hiburan Malaysia, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbarunya berjudul URAI. Lagu bergenre balada ini adalah kerjasama pertamanya bersama Alternate Records dan hasil gandingan mantap tiga komposer tersohor, iaitu Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman. Dengan melodi yang menyentuh jiwa serta lirik puitis yang sarat emosi, URAI dijangka memikat hati peminat muzik tempatan.
Elliza, yang mula mencipta nama selepas menyertai sebuah program realiti pada 2005, telah berkembang menjadi seorang artis serba boleh. Selain bergelar penyanyi, beliau juga aktif dalam dunia lakonan, teater, dan pernah menjadi pelakon suara untuk pelbagai produksi seperti rancangan Disney, drama Korea, kartun, serta drama radio. Kini, melalui URAI, Elliza membuktikan bahawa bakatnya terus bersinar, dan beliau mampu menyampaikan emosi mendalam melalui muzik.
Menceritakan kisah cinta yang berakhir secara tidak terduga, URAI membawa tema kehilangan dan perjuangan dalam menerima kenyataan pahit. “Lagu ini penuh emosi, menggambarkan kesedihan, kekecewaan, dan akhirnya keberanian untuk melepaskan diri daripada belenggu luka. Liriknya menggunakan metafora seperti ‘daun cinta’ dan ‘bunga cinta’ untuk menyampaikan perjalanan emosi yang kompleks. Saya yakin ramai akan dapat mengaitkan lagu ini dengan pengalaman mereka sendiri,” kata Elliza.
Elliza turut berkongsi tentang cabaran menghasilkan URAI. Menurutnya, menyampaikan emosi mendalam tanpa kehilangan keaslian vokalnya adalah tugas yang sukar tetapi memuaskan. “Lagu ini benar-benar menguji kemampuan vokal saya. Ia berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini yang lebih ‘catchy’. Saya perlu mendalami lirik dan melodi untuk memastikan mesejnya sampai kepada pendengar,” jelasnya.
Kerjasama dengan Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman juga merupakan pengalaman yang berharga buat Elliza. “Saya sangat mengagumi Omar K, Iqie Hugh, dan Shazriq yang masing-masing memiliki kepakaran tersendiri. Mereka memahami visi saya dan menjadikan proses ini sangat bermakna,” katanya.
Iqie Hugh turut memuji profesionalisme Elliza sepanjang proses rakaman. “Elliza Razak adalah artis yang berbakat besar. Suaranya memberikan dimensi istimewa kepada URAI. Lagu ini wajib didengarkan kerana ia mampu menyentuh jiwa pendengar,” katanya.
Lebih menarik, URAI dipilih sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Akasia Akad Yang Terlindung, yang akan mula ditayangkan pada 14 Januari 2025 di TV3. Lagu ini juga menandakan evolusi dalam gaya muzik Elliza, menyeimbangkan identiti khasnya dengan elemen segar yang pasti memikat pendengar lama dan baharu.
Buat peminat yang ingin menikmati keindahan URAI, lagu ini kini boleh didengarkan di iTunes, Spotify, dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini tentang Elliza Razak dan Alternate Records, ikuti laman sosial rasmi mereka di Facebook (Alternate Records & Talents), Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).
Jangan lepaskan peluang untuk merasai kejujuran dan emosi yang dibawakan oleh Elliza Razak melalui lagu URAI!