Malaysia bakal menyaksikan sebuah detik bersejarah apabila Ratu Rock negara, Ella, kembali menggegarkan pentas dengan pengumuman konsert mega terbaharunya yang diberi judul “Majlis Tertinggi Rockqueen”. Konsert berskala besar ini akan berlangsung pada tarikh istimewa 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebuah lokasi penuh kenangan yang pernah merakam detik-detik penting dalam perjalanan seni Ella. Dianjurkan oleh penganjur acara terkemuka, Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert ini dijangka menjadi antara projek terbesar mereka sebagai penghormatan terhadap legasi Ella serta simbol penyatuan antara peminat, penggiat seni dan masyarakat Malaysia.
Konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen” mengetengahkan tema kemanusiaan “Peace, Love & Rindu”, tiga nilai yang dekat di hati Ella dan dijadikan sebagai inti pati persembahan serta mesej utama kepada masyarakat. Menurut Ella, pemilihan nama konsert ini bukan hanya merujuk kepada gelarannya sebagai Ratu Rock, tetapi juga sebagai satu ruang untuk meninggalkan impak yang bermakna. Beliau menyatakan bahawa menjelang ulang tahun ke-60 pada tahun 2026, hasratnya adalah untuk mencipta legasi berterusan melalui usaha kemanusiaan. “Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahu membawa mesej ‘Peace, Love & Rindu’,” kata Ella.

Dalam naratif konsert ini, “Peace” melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, manakala “Love” merujuk kepada isu buli yang semakin meruncing di institusi pendidikan Malaysia. Seterusnya, “Rindu” didedikasikan kepada para penggiat seni tanah air yang tidak pernah berhenti berkarya demi kemajuan industri. Tiga teras ini dijadikan landasan kukuh untuk mengangkat konsert ini sebagai sebuah acara hiburan yang sarat makna dan bernilai tinggi.
Sebagai kelainan berbanding konsert berskala besar lain, penganjur memilih menjadikan konsert ini sebagai “majlis” buat rakyat dengan menawarkan harga tiket mampu milik agar semua lapisan peminat dapat hadir. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, matlamat utama mereka adalah memberikan sesuatu kembali kepada masyarakat. Beliau menegaskan bahawa pemilihan lokasi besar dan harga tiket yang rendah tidak akan menjejaskan pengalaman luar biasa serta persembahan audio visual yang dirancang untuk semua penonton. Setiap pembelian tiket turut disertakan dengan proses undian untuk memilih tabung sumbangan pilihan sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair). Bagi setiap undian yang dibuat, organisasi berkaitan akan menerima sumbangan RM2 daripada tiket tersebut.

Ella secara terbuka mengakui bahawa sudah lama beliau tidak berdiri di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil, namun melihat cabaran ini sebagai sumber kekuatan dan pembakar semangat baharu. Beliau turut berkongsi bagaimana semangat seni yang mendalam telah membolehkannya bertahan selama hampir empat dekad dalam industri, sebuah ketabahan yang hanya dimiliki oleh seorang ratu yang benar-benar kasih akan seni dan para pendengarnya.
Bagi peminatnya, baik yang lama mahupun yang baharu, Ella menyimpulkan harapannya melalui dua misi utama. Beliau berharap konsert ini dapat memberi sumbangan bermakna kepada pertubuhan amal yang terlibat, di samping menyemarakkan semangat generasi muda untuk terus maju. Ella juga mahu para seniman tanah air terus berkarya dengan lebih terjamin dan dihargai seperti yang diimpikannya sejak dahulu. “Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’, dan jumpa di Majlis Tertinggi Rockqueen nanti!” pesan Ella dengan penuh mesra.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan rasmi seperti Perbadanan Stadium Malaysia sebagai Lokasi Rasmi; Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM sebagai Radio Rasmi: Astro Gempak, Meletop dan Hlive! sebagai Media Rasmi: serta Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor sebagai Rakan Outdoor Media. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian +6012-2655783 atau menghantar emel ke concerts@hitman.group.