Ejen Ali, watak animasi ikonik tanah air, terus mencipta detik bersejarah apabila terpilih untuk mewakili Malaysia di World Expo 2025 yang sedang berlangsung di Osaka, Jepun. Sebagai lambang aspirasi generasi muda Malaysia dalam dunia digital dan teknologi masa depan, penglibatan Ejen Ali di pentas global ini bukan sekadar membanggakan industri animasi negara, malah memperlihatkan keupayaan kandungan tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Kehadiran Ejen Ali dan Ejen Alicia di Pavilion Malaysia mencuri perhatian ramai apabila pengunjung dari pelbagai negara sanggup menunggu lama hanya untuk bersua muka dan bergambar bersama kedua-dua watak kesayangan ini. Sambutan hangat ini menjadi bukti jelas bahawa IP tempatan seperti Ejen Ali memiliki daya tarikan sejagat yang mampu menembusi sempadan budaya dan bahasa.

Mengangkat mesej keberanian, kesetiaan dan integriti yang mudah difahami oleh masyarakat global, Ejen Ali mewakili suara industri kreatif Malaysia yang kian menyerlah. Walaupun ramai pengunjung baru pertama kali diperkenalkan kepada watak ini, persembahan visual yang bertenaga serta jalan cerita yang penuh inspirasi berjaya mencetuskan minat serta-merta. Ramai juga yang mula mencari maklumat mengenai siri ini secara dalam talian, membuktikan daya tarikan spontan dan impak mendalam yang dibawanya.
Salah satu momen yang mencuri perhatian berlaku apabila seorang kanak-kanak Jepun kembali ke ruang pameran selepas menonton treler dan menunjukkan keterujaannya terhadap watak tersebut. Momen kecil ini menggambarkan bagaimana Ejen Ali mampu menyentuh hati dan menyampaikan semangat Malaysia dalam cara yang lembut tetapi berkesan.

Encik Usamah Zaid Yasin, selaku Pengarah Ejen Ali The Movie 2 dan Ketua Pegawai Kandungan WAU Animation turut hadir ke Pavilion Malaysia pada 21 dan 22 Julai. Beliau berkongsi pengalaman di sebalik tabir pembikinan francais ini serta hala tuju WAU Animation dalam membina kandungan animasi bertaraf antarabangsa. Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai termasuk pemain industri kreatif dari Jepun yang menunjukkan minat terhadap potensi kerjasama masa depan.
World Expo 2025 yang berlangsung dari April hingga Oktober dijangka menarik lebih 28 juta pengunjung dari seluruh dunia. Sebagai platform pameran teknologi, budaya dan inovasi global, penyertaan Ejen Ali bukan sahaja memperkukuh kehadiran Malaysia di arena kreatif antarabangsa, malah menyumbang kepada usaha memartabatkan diplomasi budaya dan pendidikan digital negara. Selepas meninggalkan jejak di Indonesia dan kini mencetus fenomena di Osaka, dunia menanti ke mana arah seterusnya buat Ejen Ali dan pasukannya.