Edaran Tan Chong perkenal Nissan Leaf generasi kedua

MENERUSKAN keunggulan kereta elektrik di bawah jenama Nissan Leaf, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd kini memperkenalkan pula versi generasi kedua yang dipertingkatkan.

Leaf ialah ikon bagi Nissan Intelligent Mobility yang akan mengubah cara kereta dikuasakan, dipandu dan berintegrasi dalam masyarakat.

Model generasi kedua itu dikuasakan oleh e-powertrain yang mampu menghasilkan 150PS dan 320 meter Newton (Nm) yang memacu roda hadapan. Jentera itu mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer per jam (km/j) dalam masa kurang lapan saat (7.9 saat) dengan kelajuan dihadkan secara elektronik kepada 155km/j sahaja.

Sumber kuasa elektrik datang daripada bateri lithium-ion berkapasiti 40 kWh yang mampu memberikan jarak operasi sejauh 311km mengikut data kitaran NEDC.

Reka bentuk Nissan Leaf serba baharu yang mempunyai profil lebih rendah serta kemas memberikan penampilan dinamik dan mantap. Dengan tahap aerodinamik yang cemerlang (Cd 0.28), gayaan siluet dan teknologi canggih, kenderaan itu membangkitkan keterujaan memandu sebuah EV.

Model Nissan itu juga dianggap sebagai usaha futuristik bagi memastikan dunia automotif terus relevan di samping membantu melindungi alam sekitar dan menjamin udara bersih.

Jentera elektrik sepenuhnya itu dijual pada harga RM188,888 tanpa insurans dan ETCM memberikan jaminan selama tiga tahun dengan 100,000km jarak perbatuan, tiga tahun servis atau 60,000km penyelenggaraan percuma. Jaminan selama lapan tahun pula untuk bateri lithium-ion (atau jarak perbatuan 160,000km yang mana terdahulu).

Selain itu, ETCM turut menawarkan program langganan eksklusif Nissan Leaf merangkumi kontrak selama tiga tahun dengan harga bulanan RM3,500.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *