Slot Akasia TV3 bakal menampilkan sebuah drama bersiri baharu, “Wanita Milik Kaiden”, adaptasi daripada novel popular karya Nuriffa. Sarat dengan konflik emosi dan dilema cinta, drama ini akan mula disiarkan pada 26 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam, dan boleh distrim di iQIYI pada jam 8.00 malam secara percuma.
Disutradarai oleh Jamal Khan, pengarah terkenal menerusi “7 Hari Mencintaiku”, dan diterbitkan oleh Cinema Stage Production, “Wanita Milik Kaiden” membariskan pelakon hebat seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Emma Maembong, Shahz Jaszle, Liza Abdullah, Dayang Areeda, dan Datin Sri Maria Farida. Jalan cerita yang penuh dengan konflik cinta dan emosi dijangka mampu menyentuh hati penonton setia TV3.
Drama ini memaparkan kisah Haila (Emma Maembong) dan Erman (Shahz Jaszle) yang bertemu secara tidak sengaja. Namun, tanpa diketahui Haila, Erman sebenarnya telah bertunang dengan Sarah atas pilihan ibunya. Dalam usaha memikat hati Haila, Erman menyembunyikan status pertunangannya, sementara Kaiden (Iedil Dzuhrie Alaudin), sahabat Erman, kembali muncul dalam kehidupan Haila. Kaiden dan Haila mempunyai sejarah bersama yang terputus akibat peristiwa hitam dalam hidup Haila.
Erman, yang gemar mempermainkan hati wanita, membawa perubahan besar dalam hidup Haila, namun kelakuannya menimbulkan keraguan Kaiden. Keadaan menjadi lebih tegang apabila Sarah, yang hamil, mendesak Erman bertanggungjawab, sementara ibunya, Puan Kamariah (Liza Abdullah), berusaha menyatukan mereka demi membalas jasa keluarga Sarah. Dalam masa yang sama, Kaiden berdepan dilema, sama ada untuk melindungi Haila atau menerima takdir cintanya yang tidak berbalas.
Bagi Iedil Dzuhrie, ini adalah kemunculan pertamanya di slot Akasia. Beliau meluahkan rasa teruja untuk memegang watak Kaiden dan berharap dapat menyentuh hati penonton dengan lakonannya. “Ini adalah peluang luar biasa untuk berkembang sebagai pelakon dan membawa cerita yang bermakna kepada penonton,” katanya.
Episod baharu “Wanita Milik Kaiden” boleh ditonton secara ekspres oleh pengguna VIP iQIYI tepat jam 8.00 malam pada hari siaran, manakala pengguna biasa dapat menikmatinya secara percuma selepas 48 jam. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store untuk akses mudah.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2020, iQIYI mencatatkan peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda dan menjadi platform penstriman Asia nombor satu di Malaysia pada 2021.
Saksikan konflik cinta dan pengorbanan dalam “Wanita Milik Kaiden”, bermula 26 Disember 2024, hanya di TV3 dan iQIYI. Untuk perkembangan lanjut, ikuti media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram!