CSOIAM Separuh Akhir: 115,000 Undian Tertinggi, Siapa Akan Menjadi Juara?

Episod separuh akhir Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) pada Ahad lalu membuktikan kenapa program ini terus menjadi fenomena luar biasa di kalangan peminat muzik tanah air! Suasana di studio begitu mendebarkan dengan drama dan kejutan yang menyelubungi persaingan antara lima peserta terbaik yang ingin merebut tempat ke pentas akhir pada 9 Februari 2025.

Dimulakan dengan kemunculan semula kumpulan legenda Search bersama Amy, pentas separuh akhir diserikan dengan penampilan luar biasa mereka yang membangkitkan aura nostalgia. Persembahan mereka yang memukau ini menyaksikan penonton bersorak gemuruh, menjadikan pengalaman itu begitu bersejarah dalam CSOIAM.

Persembahan dimulakan dengan Mariam yang membawakan lagu “Di Pintu Syurga”, penuh dengan emosi dan penghormatan terhadap arwah bapanya. Ketika dia melangkah ke pentas dengan membawa foto arwah bapanya, suasana menjadi begitu sentimental. Dato’ Yusry dan Ziana Zain tidak dapat menahan rasa sebak, memuji keberanian Mariam yang telah menemui keasliannya.

Jimi juga memberikan persembahan yang hebat menerusi lagu “Sedetik Lebih”. Ia adalah cabaran besar buat Jimi, tetapi dia berjaya memukau juri, dengan Cakra Khan memuji kehebatan teknikal vokalnya.

Marygrace, dengan lagu “Satu Harapan”, terus menunjukkan peningkatan pesat dalam persembahannya. Walaupun Ziana Zain memberikan teguran tentang tenaga yang kurang dalam persembahan Marygrace, ia tetap menjadi satu persembahan yang dinikmati oleh penonton dan juri.

Kai Deva, yang dikenali dengan kemampuannya dalam genre keroncong, membawakan “Srikandi Cintaku” dengan begitu mengagumkan. Keberanian dan kuasa vokalnya meletakkan Kai Deva dalam kedudukan yang kukuh untuk melangkah ke finale.

Zazleen, dengan lagu “Sehati Sejiwa”, memberikan persembahan yang penuh cabaran dari segi vokal. Walaupun mendapat komen tentang dinamik yang kurang, Zazleen berjaya memberikan persembahan yang stabil, walaupun tekanan semakin meningkat.

Setelah beberapa jam yang penuh debaran, tiga finalis pertama diumumkan: Kai Deva, Marygrace, dan Zazleen. Namun, yang lebih mendebarkan adalah keputusan yang melibatkan Jimi dan Mariam, yang berada dalam Bottom 2. Mereka masing-masing memikul harapan yang besar untuk merebut tempat terakhir ke finale.

Jimi mempersembahkan “Rahsia Tuhan” manakala Mariam memilih “Jagalah Diri”. Setelah perbincangan sengit, akhirnya juri memutuskan untuk memilih Jimi sebagai finalis keempat. Mariam terpaksa mengucapkan selamat tinggal, namun dia menerima penghargaan berupa RM10,000 atas usaha dan perjalanan luar biasa sepanjang pertandingan.

CSOIAM akan berakhir pada 9 Februari 2025 dengan tema ‘Malam Paling Fizz’. Keempat-empat finalis iaitu Kai Deva, Marygrace, Zazleen, dan Jimi akan mempersembahkan lagu-lagu terbaharu mereka, serta berkolaborasi dalam lagu terbaru yang berjudul “Sejuta Kenangan”.

Peluang kepada 50 penonton bertuah untuk memenangi hadiah menarik! Jangan lupa untuk terus mengundi finalis kegemaran anda untuk memberi mereka peluang menjadi juara Calpis Soda One In A Million!

Untuk mendapatkan sorotan eksklusif mengenai perjalanan peserta, saksikan Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal, setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam. Teruskan ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk bersama-sama mencipta fenomena luar biasa ini!