CINTA DUA RASA, SATU LAGU PENUH MAKNA – FIAN ALI HADIR DENGAN “SETIA”

Menyusuli kejayaan demi kejayaan dalam kerjaya seninya, penyanyi berbakat Fian Ali kini kembali dengan single terbaharu berjudul Setia, ciptaan juara Anugerah Juara Lagu ke-38, Amir Jahari, bersama lirik nukilan Datuk Ayu Puteh. Lebih menarik, Setia hadir dalam dua versi berbeza satu perlahan menyentuh jiwa, dan satu lagi lebih rancak tetapi masih sarat emosi tersendiri.

Setia membawa tema pengorbanan dan kesetiaan yang kekal utuh walaupun dihimpit dugaan. Bagi Fian, lagu ini bukan sekadar menggambarkan kesedihan, tetapi kekuatan dalam mempertahankan cinta yang tulus. “Tak semua kesedihan perlu diiringi air mata. Lagu ini lebih realistik dan matang,” ujar Fian penuh makna.

Proses rakaman Setia juga tidak semudah disangka. Fian terpaksa menangguhkan sesi rakaman pertama kerana masalah kesihatan, namun mendapat sokongan kuat daripada Amir. “Amir selalu kata suara tak perlu sempurna, asalkan rasa itu sampai. Itulah yang buat lagu ni hidup,” katanya. Bagi Fian, kolaborasi ini sangat istimewa dan penuh nilai pembelajaran.

Amir Jahari turut menyifatkan lagu ini sebagai karya yang direka khusus untuk Fian Ali. “Saya lihat Fian sebagai figura yang bersopan, matang dan punya prinsip. Sebab itu saya percaya lagu ini perlu ada dua versi, supaya dua sisi emosinya dapat disampaikan,” kongsi Amir, yang mendapat inspirasi lagu ini ketika berada di Yogyakarta.

Setia turut dipilih sebagai lagu rasmi untuk drama bersiri popular Bukan Sekadar Lafaz 2 di TV3, sekaligus memperluaskan capaian dan impaknya dalam kalangan penonton arus perdana. Kemunculan dua versi lagu ini menjadikan ia lebih dekat di hati pendengar sama ada yang sedang terluka, atau yang masih setia berharap.

Sebagai wajah baharu yang semakin menyerlah, Setia memperkukuh lagi identiti muzik Fian Ali dan menandakan satu lagi langkah besar dalam perjalanannya di persada seni. Kedua-dua versi lagu kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Ikuti perkembangan terkini dari Alternate Records & Talents di laman sosial rasmi mereka: Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok untuk kandungan eksklusif dan berita terbaharu mengenai artis naungan mereka.