CHOU TIEN CHEN PERKUAT AMPANG JAYA BC

CHOU TIEN CHEN PERKUAT AMPANG JAYA BC

KUALA LUMPUR (29 September): Hanya tinggal beberapa hari lagi SENHENG redONE Purple League Professional (SRPLP) bermula pada hari Sabtu di Stadium Malawati di Shah Alam, Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) mungkin dijenamakan sebagai pasukan pilihan selepas menambah pemain perseorangan ranking keempat dunia, Chou Tien Chen, dari Chinese Taipei.

Selain Tien Chen, antara nama besar yang membarisi AJBC ialah gandingan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai, jaguh perseorangan wanita Goh Jin Wei serta pasangan beregu lelaki dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Muhammad Reza Pahlevi yang menghuni ranking ke-53 dunia.

Menurut pengurus pasukan AJBC, Voon Siaw Yie, biarpun pasukannya tidak dibarisi nama besar seperti Kento Momota dan Lee Zii Jia seperti pada musim 2019, mereka tetap mempunyai misi yang tersendiri iaitu untuk memburu kejuaraan sulung SRPLP pada musim ini.

“Dengan barisan pemain berkelas dunia ini, kami yakin mampu mencipta kejutan pada edisi kali ini. Kami telah melalui persediaan yang rapi, dan saya harap momentum ini akan diteruskan dalam SRPLP.

Memasuki musim yang keenam, acara utama anjuran Malaysia Purple League (MPL) ini terus kekal relevan bagi memberi ruang buat para pemain profesional berkelas dunia untuk beraksi secara kompetitif di dalam format liga selain menerima sokongan padu daripada penyokong, mendapat tajaan daripada pelbagai syarikat.

Bagi musim baharu ini, lapan pasukan terdiri dari pasukan tempatan dan antarabangsa bakal bersaing untuk merebut takhta kejuaraan Senheng RedOne Purple League yang akan membuka tirainya pada Sabtu.

Ampang Jaya BC yang muncul juara pada edisi 2017/2018 diletakkan di dalam kumpulan A bersama wakil Indonesia, Kelab Badminton Chandra Wijaya, pasukan badminton Singapura dan seteru mereka Kelab Badminton Petaling.

Sementara itu, juara bertahan Kelab Badminton Puchong United bakal berdepan laluan getir di dalam kumpulan B bersama-sama Kelab Badminton Serdang, Kelab Badminton Sena Bangkok dari Thailand dan wakil Vietnam, Kelab Badminton Ho Chi Minh.

Musim keenam SENHENG redONE Purple League Profesional akan bermula pada 1 hingga 6 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam manakala pusingan akhir pada 8 hingga 9 Oktober akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket sudah mula boleh dibeli di laman sesawang https://go.wbqr.my/plp/ dan https://www.rwgenting.com/en/entertainment/senheng-redone-purple-league-professional-
2022.html