Category: ATTRACTION

  • ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    ‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

    SEORANG budak lelaki seringkali menjadi ‘mangsa’ ejekan rakan-rakannya. Tidak kiralah di sekolah atau kawasan kejiranannya, hampir semua kanak-kanak seusia dengannya enggan berkawan dengan budak lelaki berkenaan.

    Dari segi peribadinya, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu begitu tertib tatkala menyusun bicara. Apatah lagi jika berbual dengan orang yang lebih tua daripadanya. Beliau begitu menghormati orang tua. Perilakunya juga baik, cuma ada satu ‘cela’ yang dirasakan menjadi kekurangan pada kanak-kanak polos itu. Hanya kerana beliau berkulit gelap!

    Boleh dikatakan, saban hari, ada sahaja orang yang memanggilnya dengan gelaran ‘legam’. Tidak kurang yang menggelarnya ‘bontot kuali’. Bayangkan budak sekecil itu sudah menjadi mangsa cercaan rakan-rakannya.

    Jika diikutkan logik akal, mana mungkin budak seusianya mampu bertindak mendiskriminasikan sebegitu? Sudah tentu mereka ‘mempelajari’ sikap berkenaan daripada orang lain.

    Apa jua panggilan yang digunakan, jelas sekali ia mempersenda fizikal manusia lain.

    Ya, situasi itu kerap berlaku dalam dunia realiti. Ramai kini yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda fizikal orang lain. Medium digunakan lazimnya di media sosial, seterusnya disebarkan dan menjadi tular.

    Dalam kes terbaharu, gambar seorang lelaki menunggang motosikal membawa seorang kanak-kanak dengan kapsyen ‘Nak kesian dekat motor ke atau budak itu’, dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.

    Itu pun jelas ada unsur-unsur mempersendakan fizikal orang.

    Benarkah mempersendakan fizikal orang lain itu sama seperti menghina ciptaan ALLAH SWT? Bagaimana pula jika kata-kata bernada ‘ejekan’ tadi hanyalah sekadar gurauan?

    Larangan mencela

    Pendakwah Ustaz Haslin Baharim menjelaskan, fizikal atau tubuh badan manusia merupakan ciptaan ALLAH SWT.

    USTAZ HASLIN

    USTAZ HASLIN

    Apa sahaja cacat cela melibatkan tubuh badan manusia tersebut umpamanya masalah suara, sumbing, telinga dan sebagainya yang ditakdirkan oleh Sang Pencipta kepada seseorang, kita dilarang sama sekali untuk menghinanya.

    “Jika badan seseorang itu gemuk, lantas kita menyebutnya; ‘Badan apa besar begini. Kerbau dengan awak sama saja’. Ini merupakan satu bentuk penghinaan.

    Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian.

    “Apatah lagi, jika penghinaan itu dilontarkan dalam laman sosial hingga menjadi tular. Sekurang-kurangnya fikirkan perasaan keluarga seseorang yang ada cacat celanya daripada segi fizikal,” katanya ketika ditemui Sinar Islam pada Majlis Pelancaraan Butik Haqqi 2020 di Bangi, Selangor baru-baru ini.

    Kepada satu soalan, Ustaz Haslin yang terkenal dengan panggilan Ustaz Bollywood itu berkata, seandainya apa yang diungkapkan tadi hanya sebagai gurauan, ada ‘keringanan’ jika seseorang itu akrab dengan individu berkenaan.

    Memberikan contoh, seandainya seseorang itu mempunyai hubungan rapat dengan rakannya yang bergigi jongang dan tidak kisah digelar sedemikian, itu bukanlah masalah kerana membabitkan mereka berdua, jelas beliau.

    “Bagaimanapun, andai kata di hadapan orang ramai, kita berkata demikian sehingga menyebabkan orang ketawa dan menyakitkan hatinya, ia sama sekali tidak dibenarkan.

    “Jika kita tidak mengenali individu tersebut atau mungkin kenal, tetapi ‘jauh’ dengannya, kemudian kita kata pula ‘badannya dengan gajah lebih kurang sahaja’ dan tulis (di media sosial) ‘ini akibatnya jika makan kuat sangat’, ia tidak patut. Tidak perlulah kita memalukan orang tersebut,” jelas beliau.

    Bersyukur kepada ALLAH

    Tiada insan yang mahu dirinya dilahirkan dalam keadaan cela. Justeru, Ustaz Haslin mengingatkan kita agar tidak mempersenda atau mempermainkan fizikal seseorang.

    “Bagi mereka yang dijadikan ALLAH dengan kekurangan fizikal, maka terimalah dengan hati yang penuh pasrah dan reda. Semoga suatu masa nanti, ada kebaikan, manfaat atau ganjaran yang ALLAH berikan kepada kita.

    “Mungkin dengan cara orang buat begitu (mempersendakan fizikal kita), dosa kita diampunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

    Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk penghinaan termasuklah tentang perihal rumah tangga atau keadaan seseorang itu.

    “Kadangkala ada orang mengata ‘isteri cantik, tetapi suami pula sebaliknya’. Begitu juga dengan hinaan kepada seseorang apabila menyatakan ‘sudah tahu hidup di dalam rumah usang, tapi beranak ramai’.

    “Tidak perlulah kita berasa seronok dengan kekurangan dan kelemahan orang. Sama ada seseorang itu gemuk, cacat, sumbing, sengau, pekak, bisu dan sebagainya, itu dah memang ditentukan oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

    Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

    Bagi mereka yang terlanjur mempersendakan fizikal orang lain, kata Ustaz Haslin, mohon maaflah secara peribadi kepada individu berkenaan atau keluarga tersebut.

    “Jika penghinaan itu pernah tular di laman sosial Facebook atau Instagram contohnya, buatlah juga permohonan maaf melalui platform berkenaan,” nasihat beliau.

    Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz turut menggulungkan hujahnya buat ‘si penghina’.

    HASSAN MAHMUD

    HASSAN MAHMUD

    Apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia, ujar beliau, seseorang itu seharusnya memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana tidak dijadikan sebegitu rupa.

    “Sama ada kurang sihat, gemuk, kurus, berkulit gelap atau wajah tidak cantik sekalipun, bersyukurlah. Kita kena ingat bahawa apa yang berlaku itu adalah kehendak ALLAH.

    “Jangan kita mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita, bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk ALLAH,” ungkapnya.

    Seperkara beliau mengingatkan, sekiranya menghina orang lain, bermakna seseorang itu menghina makhluk yang sama dengannya juga.

    “Kalaulah yang dihina itu ayah, ibu atau anak kita, adakah kita sanggup berbuat demikian? Sebenarnya, menjadi tugas kita untuk membantunya. Sebab itu kita ada pakar perubatan dan rawatan Islam kerana hendak tolong-menolong dan bukannya caci-mencaci,” kata beliau.

    Berdosa

    Jelas tokoh pendakwah itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk mengelakkan diri daripada kebinasaan. Seandainya ditakdirkan dengan kekurangan itu, sebaiknya lakukan ikhtiar seperti mendapatkan rawatan.

    USAH sebarkan 'kecacatan' orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    USAH sebarkan ‘kecacatan’ orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

    “Kita kena jaga diri kita sendiri daripada bahaya dan elakkan diri daripada mencemuh orang lain kerana kita sendiri pun ada kekurangan.

    “Walaupun ada orang tidak boleh bercakap atau tempang sekalipun, percayalah setiap yang ALLAH ciptakan itu ada kelebihannya. Terimalah (kekurangan itu) sebab masa depan kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita,” katanya.

    Beliau mengajak kita ‘mendekati’ tentang hukum manusia yang menghina dan mengeluarkan perkataan tidak sopan sehingga menyakiti orang lain tentang fizikal mereka.

    Agamawan itu menegaskan, barang siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, al-Quran menyebut, ia ibarat seperti memakan bangkai saudaranya yang sudah mati.

    “Maka, jauhilah sikap-sikap itu. Jika tidak, boleh jadi berdosa. Ini bukan dosa kecil. Kita mengejek ciptaan ALLAH dan bukan dosa biasa yang memerlukan kita tunaikan solat sunat taubat sahaja (untuk bertaubat).

    “Ini kerana ia sebenarnya meninggalkan kesan yang mendalam. Orang yang menghina itu, (sebenarnya) penghinaan tersebut akan berbalik kepada dirinya sendiri. Ia akan mengganggu fikiran, kehidupan dan emosinya. Semua itu akan datang balik kepada kita kerana berbuat sesuatu yang tidak baik. Jadi, jangan sampai ALLAH jatuhkan hukuman istidraj kepada kita,” katanya.

    Tegas nasihat beliau. ALLAH akan memberikan hukuman secara berperingkat sama ada di dunia ataupun akhirat. Individu yang melakukan perbuatan itu akan merasainya sebelum dia meninggal dunia.

    Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah riwayat hadis, jelas beliau.

    Apa yang dapat Sinar Islam simpulkan, hakikatnya, gemuk, kurus, hitam, putih, cantik atau tidak fizikal seseorang itu, semuanya adalah ciptaan ALLAH SWT.

    Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi didikan sempurna kepada anak masing-masing sejak kecil agar tidak merendah-rendahkan orang lain.

    Ketahuilah bahawa Islam melarang keras umatnya mempersendakan fizikal orang. Perbuatan itu mendatangkan natijah yang tidak baik bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan orang yang dipersendakan itu.

    Boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil

    Gelaran fizikal yang diberikan kepada anak seperti putih, lebar atau debab sejak kecil perlu dielakkan. Ia tidak boleh dipandang enteng kerana ia dikhuatiri memberi impak kepada pembentukan karakter anak-anak.

    Menurut perunding motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah, didikan awal bermula dengan pemberian nama. Justeru, nama panggilan begitu penting kerana ia merupakan penanda kepada sahsiah seseorang.

    ROBIAH

    ROBIAH

    Ketahuilah bahawa memberi nama yang baik dan memanggil anak dengan nama yang baik itu satu doa, terangnya.

    “Ibu bapa jangan gelarkan anak dengan panggilan yang buruk. Usah ambil mudah perkara ini. Gelaran seperti itu boleh jadi ia menghina orang tersebut jika maknanya buruk.

    “Sebaiknya, berilah nama anak yang berkah, berkaitan agama, (ada kaitan dengan nama) Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Begitu juga dengan gelaran panggilan harian. Ia mestilah difahami maknanya dan digunakan secara baik,” katanya ketika ditemui Sinar Islam di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Ujar Robiah, sesiapa yang mempersendakan ciptaan ALLAH, maka dia sebenarnya sedang mempersendakan ALLAH yang boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil.

    “Gurauan yang disebut di media sosial (tentang mempersendakan fizikal manusia) dianggap sebagai tidak sesuai. Ia lebih banyak terarah kepada penghinaan, mencaci, merendahkan dan memalukan orang lain.

    “Hakikatnya, nilai cantik itu datang daripada sahsiah, iman, ibadah, komitmen, sumbangan yang kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,” jelas beliau.

    Siapa pun kita, beliau menitipkan pesan agar segala kekurangan atau kecelakaan ciptaan ALLAH SWT, kita tidak berhak untuk menghina, mencaci atau merendah-rendahkan orang lain.

    “Ya, kadangkala kita punyai anggota (badan) yang sempurna, tetapi iman, perangai, kelakuan, akal dan agama tidak sempurna. Jangan sesekali melihat orang lain yang serba kekurangan jika dia kurang cantik atau putih. Sebenarnya, orang itu tidak terkurang apa-apa kalau imannya baik.

    “Apa pun, kita dinasihatkan supaya tidak payah cari buruk atau cacat orang lain. Ini kerana cacat itu boleh jadi dalam bentuk fizikal, mental, amal ibadah, harta benda dan ilmu,” nasihat beliau.

    Menurutnya, setiap yang ALLAH beri termasuklah kekurangan dari segi fizikal, DIA sebenarnya memberikan kelebihan lain. Justeru, jangan menghina atau mencaci sesiapa pun.

    Sumber

  • Baja buatan suburkan landskap hotel

    Baja buatan suburkan landskap hotel

    SISA buangan makanan yang dikompos digunakan sebagai baja untuk memperindahkan landskap di sekitar bandar Sunway yang terkenal dengan infrastruktur memukau.

    SISA buangan makanan yang dikompos digunakan sebagai baja untuk memperindahkan landskap di sekitar bandar Sunway yang terkenal dengan infrastruktur memukau.

    SEJAJAR matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sunway Resort Hotel & Spa memiliki mesin kompos sendiri bagi mengurangkan sisa makanan di tapak pelupusan sampah.

    Kemudahan mesin kompos dengan kapasiti 300 liter itu berupaya menampung keperluan sisa makanan melibatkan Hotel Sunway Pyramid Hotel dan Sunway Clio.

    Apa yang menakjubkan, sisa buangan makanan yang dikompos digunakan sebagai baja untuk memperindahkan landskap di sekitar bandar Sunway yang terkenal dengan infrastruktur memukau.

    Pengurus Besar Kanan, Alex Castaldi menjelaskan, kelestarian adalah komponen penting dalam rangka kerja perniagaan pihak hotel dan bertanggungjawab untuk membendung pembaziran.

    “Kami komited ke arah persekitaran, ekonomi dan masyarakat mampan selain berusaha memberikan kesedaran melalui program pendidikan yang dilaksanakan dalam komuniti masyarakat.

    ALEX CASTALDI

    ALEX CASTALDI

    “Selain itu, kami juga menjalankan program perkongsian maklumat dan lawatan tapak melibatkan belia dan pelajar sekolah mengenai amalan kompos sisa makanan hotel,” ujarnya.

    Mengulas lanjut mengenai keupayaan mesin kompos Maeko, Castaldi tidak menafikan keupayaan teknologi canggih yang mampu mengurangkan sisa makanan sehingga 80 peratus.

    “Sejak Julai 2019, lebih daripada 15,000 liter sisa makanan yang dikutip dan diubah menjadi kompos bahkan pihak hotel menjangkakan kira-kira 50,000 liter sisa makanan menjelang akhir tahun ini.

    “Mesin kompos komersial itu juga mempunyai ciri pengudaraan khas dan sistem penapisan bio enzim yang membantu menghapuskan bau yang tidak menyenangkan kepada pelanggan hotel,” terangnya.


    Sumber

  • Berkorban untuk perbaiki diri – Sinar Harian

    Berkorban untuk perbaiki diri – Sinar Harian

    SHAH ALAM- Seluruh umat Islam di semua peringkat diseru untuk melakukan pengorbanan dengan membuat perubahan besar dalam memperbaiki diri, mengambil kira semangat Hari Raya Aidiladha.

    Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, baik ketua keluarga, ketua jabatan, ketua negeri, ketua negara atau ketua penguasa, mereka perlu memulakan usaha untuk kembali kepada al-Quran demi diri sendiri, keluarga, orang-orang yang dipimpin dan ummah.

    Menurutnya, usaha mengajak umat Islam untuk terus mendalami dan memahami al-Quran perlu dibuat secara berterusan agar umat Islam keseluruhannya dapat memahami hikmah di sebalik perintah ALLAH SWT, seterusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan.

    “Sesi tadabbur kali ini benar-benar menyentuh hati saya dan ia sangat sesuai dengan objektif kita untuk mengQurankan bangsa dan mengajar kita bagaimana untuk memindahkan nilai yang baik untuk diamalkan.

    “Saya kesal, selama ini darjah ketakwaan kita sebenarnya belum sampai apa yang diinginkan. Banyak benda seperti ketaksuban kepada diri sendiri dan kepada pemimpin selain daripada ALLAH SWT itu kadang-kadang melebihi ketaksuban dan ketakwaan kita kepada ALLAH SWT. Ini yang menyebabkan apa yang banyak berlaku sekarang seperti rasuah dan salah guna kuasa.

    “Ustaz ada ceritakan semasa mengerjakan haji kita dilatih untuk tidak bergaduh. Kita boleh lihat senario di Malaysia dan seluruh dunia, kita asyik bergaduh. Pemimpin kita asyik berebut kuasa dan jawatan. Jadi, ia seolah-olah menggambarkan kita belum betul-betul menghayati al-Quran,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sesi Pesan Tokoh sempena Arafah #QuranHour 1443H: Haji Membina Umat Bertakwa yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Sabtu.

    Program tersebut adalah anjuran WUIF sempena Hari Wukuf, 9 Zulhijah 1443H bersamaan dengan 9 Julai ini.

    Pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.

    Program Arafah #QuranHour itu dikendalikan oleh hos, Hifdzi Zaim Zamri yang juga Hos TickTalk TV.

    Bacaan ayat pilihan Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari Ustaz Amirahman Abas manakala sesi tadabbur dilakukan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdulllah Bukhari Abdul Rahim dan Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr Mohd Shafiq Sahimi.

    Pada tahun ini, pihak WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji berkongsi pengisian berkaitan ibadah haji pada enam siri program Road to Arafah #QuranHour yang disiarkan di Facebook World Quran Hour dan YouTube QuranHour TV pada Selasa dan Khamis pada jam 6 petang hingga 6.45 petang, bermula 21 Jun lalu.

    Antara tetamu jemputan bagi pengisian Road To Arafah #QuranHour adalah Pengarah Urusah Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Mohd Zawawi Yusoh; Ketua Pembangunan Sahsiah Tabung Haji, Sharul Azam; MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Zuhdi Zakaria; Eksekutif Bimbingan Haji dan Umrah Felda Travel Sdn Bhd, Ahmad Nazmie Omar; Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah dan wakil Wira Saujana Travels & Tours Sdn Bhd, Syed Naqjamuddin Syed Othman Al-Khered.

    Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, semua wakil operator umrah tersebut dan Pembimbing Haji dari Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Hasnil Abu Bakar menyambut baik program Arafah #QuranHour dengan mengadakan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran bersama jemaah haji masing-masing di padang Arafah pada Hari Wukuf.

    “Arafah #QuranHour pertama kali diadakan adakan pada 2016, diikuti pada 2017 dan 2018 dengan menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal pada Hari Wukuf di padang Arafah, 9 Zulhijah. Aktiviti ini bagaimanapun tidak dapat dijalankan berikutan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

    “Program Arafah #QuranHour ini juga kali pertama diadakan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam dengan penyertaan daripada warga kerja Kumpulan Karangkraf, Ideaktiv Sdn Bhd, wakil operator haji dan tetamu jemputan,” katanya.

    Sumber

  • Bolehkah keringkan anggota wuduk? – Sinar Harian

    Bolehkah keringkan anggota wuduk? – Sinar Harian

    JIKA tiada keperluan untuk mengeringkan anggota selepas berwuduk, maka eloklah dibiarkan ia kering dengan sendirinya.

    JIKA tiada keperluan untuk mengeringkan anggota selepas berwuduk, maka eloklah dibiarkan ia kering dengan sendirinya.

    KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

    Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

    Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

    Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

    Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

    Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

    Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

    Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

    Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

    Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

    Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

    Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

    Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Epson tawar pencetak tekstil digital

    Epson tawar pencetak tekstil digital

    MODEL pencetak tekstil digital SureColor SC-F9430 dan SC-F9430H menyediakan signatur warna pilihan.

    MODEL pencetak tekstil digital SureColor SC-F9430 dan SC-F9430H menyediakan signatur warna pilihan.

    EPSON melangkah lebih keterhadapan apabila menghasilkan teknologi inovatif, pencetak tekstil digital SureColor SC-F9430 dan SC-F9430H baharu peminat jenama tersebut.

    Apa yang menarik, inovasi mesin pencetak pewarna sublimasi baharu itu hanya berukuran 64 inci. Akan tetapi, keupayaannya mampu menghasilkan cetakan berkualiti persis jentera komersial.

    Masakan tidak, koleksi warna Epson Fluorescent terkini dalam perisian Edge Print membolehkan pemprosesan warna untuk dakwat pendarfluor seterusnya memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan.

    Menurut Pengarah Urusan Epson Malaysia, Daisuke Hori, pengenalan variasi warna baharu Epson memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disediakan.

    “Mereka boleh mendapatkan lebih banyak opsyen untuk mencipta pakaian sukan, rekaan fesyen terkini, hiasan rumah dan papan tanda dengan koleksi warna terbaharu.

    “Usaha itu juga bertujuan membuka ruang kepada kreativiti dan ekspresi yang lebih besar dalam reka bentuk sesuatu produk,” katanya dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini.

    Selain itu, pihaknya optimis siri SC-F9430 akan memberi kesan positif kepada perniagaan, selain kempen Go Big menandakan satu kejayaan dalam transformasi perniagaannya.

    Sumber

  • Sujud, takwa tanda patuh kepada ALLAH SWT

    Sujud, takwa tanda patuh kepada ALLAH SWT

    SHAH ALAM – Bersujud dan bertakwa adalah tanda kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada Sang Pencipta-Nya.

    Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, melihat dari sudut ibadah haji, sujud merujuk pada kepatuhan umat Islam yang sanggup bersusah payah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

    “Sujud dan haji sangat signifikan. Umat Islam sanggup berhabis wang dan bersusah payah untuk menunaikan haji, ini secara tidak langsung menunjuk pada kepatuhan (kepada ALLAH SWT).

    “Takwa pula adalah antara bekalan penting umat Islam, sebagaimana yang ditekankan dalam ayat pertama Surah Al-Hajj yang mengarahkan umat Islam untuk bertakwa kepada ALLAH SWT.

    “Jadi, formula takwa dan sujud sangat sesuai untuk membawa kembali kita yang belum pergi haji, yang sedang menunaikan dan alumni haji supaya kembali bertakwa kepada ALLAH SWT dan sentiasa bersujud sehingga ke akhir hayat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan program Arafah #QuranHour 1443H: Haji Membina Umat Bertakwa yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Sabtu.

    Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Mohd Shafiq Sahimi berkata, haji adalah ibadah himpunan tahunan yang paling besar di dunia yang menghimpunkan seluruh umat Islam di satu tempat.

    Bagaimanapun katanya, tidak semua insan diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki ke rumah ALLAH SWT itu.

    “Mengerjakan haji ini tidak semua orang dapat, maka setiap individu yang diberikan rezeki dan terpilih untuk hadir adalah nikmat besar daripada ALLAH SWT.

    “Mengambil contoh kejadian bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, ini bermakna tidak semestinya (orang) kaya sahaja boleh pergi haji, tetapi sebaliknya dengan pilihan ALLAH SWT.

    “Kita mesti tundukkan diri kepada ALLAH SWT supaya kita terpilih sebagai salah seorang daripada tetamu-Nya pada masa akan datang, Insya-ALLAH,” jelasnya.

    Pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.

    Turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.

    Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari, Amirahman Abas, manakala sesi tadabbur dijayakan oleh Abdulllah Bukhari dan Mohd Shafiq.

    Sumber

  • Ibnu Tufail, ilmuan Islam dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang

    Ibnu Tufail, ilmuan Islam dikurniakan bakat dalam pelbagai bidang

    MENYINGKAP semula lembaran sejarah peradaban Islam, nama Ibnu Tufail tercatat antara cendekiawan Muslim yang masyhur. Tokoh itu dikenali sebagai seorang penulis, novelis, ahli agama dan doktor oleh seantero dunia.

    Masakan tidak, beliau terkenal dengan kepakarannya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan. Bahkan, ilmu pengetahuan yang dimilikinya memang diperakui oleh sarjana Islam dan Barat. Namanya begitu gah sekitar abad ke-12 Masihi.

    Pemilik nama sebenar Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi itu dilahirkan di Asya, Granada sekitar 1106 Masihi.

    Pun demikian, ilmuwan berketurunan Arab Qais itu tidak dapat dipastikan keseluruhan latar belakangnya. Ia disebabkan keterbatasan maklumat mengenainya.

    Bagaimanapun, Ibnu Tufail merupakan tokoh yang disegani dan berpengaruh ketika hayatnya berdasarkan catatan sejarah. Darjah kemasyhurannya boleh diukur apabila beliau turut dikenali di dunia Barat sebagai Abubacer.

    Menelusuri kehebatannya dalam bidang perubatan, Ibnu Tufail pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf Al-Manshur yang merupakan khalifah Maghribi kedua daripada Dinasti Muwahhidun (1163-1184 Masihi). Kepakaran yang dimiliki dengan berkat kesungguhan yang ditunjukkan Ibnu Tufail telah mengangkatnya menjadi doktor peribadi kepada gabenor dan dua wilayah iaitu Sabtah dan Thaniah.

    Beliau juga bukan calang-calang orang. Ilmuwan hebat itu pernah dilantik sebagai menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati.

    Kepakaran yang dimiliki Ibnu Tufail tidak terhenti di situ. Beliau dikurniakan bakat untuk menulis. Namun sayangnya, karya-karya yang dihasilkannya banyak yang telah hilang. Ia ekoran kejadian kekacauan dan peperangan yang berlaku di Maghribi suatu masa dulu.

    Gaya penulisan luar biasa

    Jika diselak kembali lembaran historiografi, Ibnu Tufail sebenarnya begitu gemar dan cenderung untuk menulis. Menurut Abdul Wahid Al-Marakasy, Ibnu Tufail telah meriwayatkan banyak buku yang telah dibaris dengan tangannya sendiri dalam bidang falsafah, ilmu jiwa dan pelbagai syair.

    Meskipun banyak menulis buku, ada satu kitab tulisan Ibnu Tufail yang begitu popular iaitu Hay Ibn Yaqzan. Apa tidaknya, tokoh hebat itu memuatkan pandangannya dengan gaya bahasa yang menarik dan imaginasi yang indah.

    Tidak keterlaluan jika dikatakan buku itu dianggap sebagai warisan paling unik tinggalan seorang ahli falsafah Islam yang tersohor.

    Hasil nukilannya dalam buku berkenaan, Ibnu Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia berpotensi mengenal ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan di sekelilingnya.

    Beliau tidak menyatakan secara terus berhubung perkara itu. Sebaliknya, ia disampaikan menerusi watak Hay Ibn Yaqzan yang hidup di sebuah tempat terpencil dan bagaimana dia meneruskan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.

    Ya, gaya penulisan Ibnu Tufail dalam bentuk novel dan falsafah menerbitkan aura yang luar biasa. Buku ilmuwan tersohor itu banyak diterjemahkan dan dialih bahasa antaranya bahasa Latin dan Inggeris.

    Buku itu turut menukilkan pengamatan Ibnu Tufail mengenai ilmu metafizik, fizik dan sebagainya. Tokoh itu melihat alam semesta sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa, manakala dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi asas kepada kehidupan mereka di muka bumi ini.

    Meskipun ada yang menganggap pandangan dikemukakan merupakan perkara biasa pada hari ini, namun ketahuilah bahawa ia sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian dan fenomena yang berkaitan dengannya.

    Pada 1185 Masihi, Ibnu Tufail dilaporkan meninggal dunia di Maghribi. Sesungguhnya kelahiran Ibnu Tufail memberikan 1,001 rahmat buat manusia sejagat. Kecintaan beliau kepada buku-buku dan ilmu pengetahuan mengangkatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dalam pelbagai bidang. PROFIL

    Nama: Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi

    Gelaran: Ibnu Tufail dan Abubacer

    Tahun kelahiran: 1106 Masihi

    Tahun kematian: 1185 Masihi

    Kepakaran: Falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan

    Sumbangan: Pemikir yang banyak menghasilkan karya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan perubatan.

    Karya agung: Hay Ibn Yaqzan yang menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali ALLAH dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

    Sumber

  • Tablet mini futuristik – Sinar Harian

    Tablet mini futuristik – Sinar Harian

    PERANTI itu dikuasakan dengan cip mudah alih, Tiger Lake selain skrin sesentuh OLED dalam mod landskap atau potrait.

    PERANTI itu dikuasakan dengan cip mudah alih, Tiger Lake selain skrin sesentuh OLED dalam mod landskap atau potrait.

    SUDAH semestinya spesifikasi skrin canggih adalah ciri penting sebelum membeli sesebuah komputer riba selain prestasi dalaman yang sentiasa keterhadapan.

    Jika itu yang diidamkan, si pemburu gajet bolehlah mengintai inovasi terbaharu Intel yang pastinya akan mengundang keterujaan dengan rekaan yang cukup sofistikated di samping nama unik.

    Prototaip komputer riba yang diberi nama Horseshoe Bend, bukan sekadar gajet minimalis biasa-biasa, tetapi berupaya menawarkan skrin lebih luas.

    Menurut perkongsian cnet.com, Intel berjaya memukau orang ramai dengan rekaan persis tablet unik. Pun begitu, ia tetap mampu memberikan paparan skrin 17.3 inci, lebih lebar berbanding MacBook Pro yang hanya bersaiz 16 inci.

    Jika mahu menaip, boleh sahaja menggunakan papan kekunci maya yang tersedia. Hebat bukan?

    Lebih menyeronokkan apabila peranti tersebut dikuasakan dengan cip mudah alih, Tiger Lake selain skrin sesentuh OLED dalam mod landskap atau potrait.

    KOMPUTER riba boleh dilipat menjadi bentuk L atau dijadikan sebagai tablet mudah alih selain paparan papan kekunci maya.

    KOMPUTER riba boleh dilipat menjadi bentuk L atau dijadikan sebagai tablet mudah alih selain paparan papan kekunci maya.

    Mungkin desain tidak ubah seperti telefon lipat lain seperti Samsung Galaxy Fold dan Huawei Mate X, tetapi lebih kepada tablet mini dengan saiz skrin lebih berbaloi.

    Bagi Niraj Bali, Horseshoe Bend adalah produk kemuncak gabungan telefon, tablet dan juga komputer riba dengan spesifikasi futuristik.

    “Dengan teknologi masa kini, ia mampu menawarkan sebuah komputer riba yang lebih canggih untuk menonton filem atau memudahkan kerja suntingan gambar dan video,” kata Pengarah Kejuruteraan Kanan Kumpulan Platform Pelanggan Intel itu.

    Secanggih mana pun komputer riba itu, namun belum boleh dipasarkan lagi kerana masih dalam peringkat reka bentuk templat rujukan Intel untuk merintis teknologi baharu.


    Sumber

  • Ambil semangat berwukuf di Arafah

    Ambil semangat berwukuf di Arafah

    SHAH ALAM – Program Arafah #QuranHour dianjurkan pada Sabtu bersamaan 9 Zulhijjah dengan mengambil semangat berwukuf di Padang Arafah melalui penyerahan jiwa seorang hamba kepada ALLAH SWT secara total.

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program tersebut mengajak seluruh umat Islam untuk menghayati al-Quran dan diperkukuhkan lagi semasa berada di Arafah.

    Menurutnya, pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.

    “Program ini mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menelusuri Surah Al-Sajdah, Surah Al-Hajj dan ayat-ayat pilihan daripada al-Quran dalam membina karakter hamba ALLAH SWT yang bersujud dan patuh.

    “Bertitik tolak dari ini, lahirnya nilai-nilai pembinaan tamadun bangsa ‘God centered’ kesan daripada haji yang mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

    Mengulas lanjut, Marhaini berkata, Arafah #QuranHour menyasarkan golongan seperti tetamu, alumni dan bakal haji dari seluruh dunia.

    “Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji dalam membina umat yang bertakwa.

    “Mereka yang ada pengalaman dan latihan dalam melaksanakan ibadah haji diharapkan menjadi ejen perubahan masyarakat selepas kembali ke tanah air,” katanya.

    Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, manakala Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari, Amirahman Abas dan sesi tadabbur dibawa oleh Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdulllah Bukhari Abdul Rahim serta Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Dr Mohd Shafiq Sahimi.

    Arafah #QuranHour yang buat pertama kalinya bersiaran dari Studio Karangkraf turut disertai oleh kira-kira 15 ahli Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS).

    Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, program itu juga bertujuan menyuntik penghayatan dan pemahaman ayat-ayat suci al-Quran terhadap jemaah haji ketika berada di Arafah.

    “Kalau boleh kita ingin jemaah haji merasakan bagaimana (ayat-ayat) al-Quran masuk ke hati mereka ketika di Arafah.

    “Selain itu, program ini diharapkan dapat menyuntik semula suasana di Arafah bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sana. Manakala bagi yang belum pernah pergi, Arafah #QuranHour akan memberi pendedahan dan kefahaman kepada mereka,” katanya.

    WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji berkongsi pengisian berkaitan ibadah haji pada enam siri program Road to Arafah #QuranHour yang disiarkan di Facebook World Quran Hour dan YouTube QuranHour TV pada Selasa dan Khamis jam 6 hingga 6.45 petang bermula 21 Jun lalu.

    Sumber

  • Buah ranum yang tumbuh di tepi jalan, bolehkah kita makan sesuka hati?

    Buah ranum yang tumbuh di tepi jalan, bolehkah kita makan sesuka hati?

    BERTANYALAH sekurang-kurangnya minimum tiga kali kepada orang di sekeliling berkenaan tuan punya pokok sebelum pergi ke langkah seterusnya jika ingin menikmati buah berkenaan.

    BERTANYALAH sekurang-kurangnya minimum tiga kali kepada orang di sekeliling berkenaan tuan punya pokok sebelum pergi ke langkah seterusnya jika ingin menikmati buah berkenaan.

    MELIHAT buah yang masak ranum di tepi jalan, membuatkan sesiapa sahaja terliur.

    Namun begitu, untuk memetik dan mengambil buah itu begitu sahaja memang tidak boleh dilakukan.

    Masakan tidak, jika pokok itu mempunyai tuan, kita ibarat ‘si pencuri’ buah berkenaan kerana mengambil apa yang bukan menjadi hak sendiri.

    Jika dibiarkan begitu sahaja, alangkah membazirnya sedangkan hasilnya boleh dimanfaatkan.

    Apakah pandangan Islam tentang hal itu? Adakah buah tersebut boleh dimakan sesuka hati jika memang tidak ditemui siapakah tuan kepada pokok tersebut?

    Segmen Soal Jawab Netizen pada hari ini akan merungkaikan tentang persoalan itu.

    Menurut pendakwah yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Fitri Haris, ada tiga langkah atau adab apabila ingin memanfaatkan buah daripada pokok yang tidak diketahui siapa tuannya.

    Apabila suatu pokok berbuah, contohnya rambutan, epal atau kurma di tepi jalan dan kita tidak tahu pemiliknya, adab yang pertama kita kena tanya sekurang-kurangnya minimum tiga kali kepada orang di sekeliling, terang beliau.

    “Jika orang tersebut kata ‘tidak tahu’, tiada jawapan dan sebagainya, kita pergi kepada langkah kedua iaitu dibolehkan untuk kita memakannya. Namun, ada syaratnya iaitu makan di situ saja dan tidak boleh dibawa balik atau dijual.

    “Yang ketiga, pokok itu mestilah tidak berada di dalam kawasan berpagar. Ya, kawasan berpagar itu merupakan simbolik atau lambang kepada ia milik seseorang,” katanya.

    Justeru, Fitri menasihatkan kita agar sentiasa berwaspada dan jangan sampai mengambil hak orang lain tanpa izin.

    Sumber