Category: ATTRACTION

  • Signatur versatil, sisi ‘seksi’ AfiqM

    Signatur versatil, sisi ‘seksi’ AfiqM

    SEKSI dan kemas. Itu signatur yang sering ditonjolkan Afiq Mohamed yang terbukti berjaya menempah nama besar dalam barisan persada industri fesyen tempatan.

    Amat mementingkan potongan reka bentuk fesyen yang ‘terletak’ dan versatil, anak jati Negeri Sembilan itu sentiasa menjadikan ikon fesyen sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.

    Meskipun dalam usia masih muda, pemilik jenama AfiqM berusia 30 tahun itu mula menonjol dengan skala dorongan minatnya yang cukup mendalam dalam bidang rekaan fesyen.

    “Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengambil kursus setahun dalam bidang jahitan di Giat Mara sebelum menyambung pengajian di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU) selama tiga tahun.

    “Peluang untuk menyertai satu pertunjukan fesyen semasa di universiti dulu memang tidak dilepaskan. Itulah pengalaman pertama saya terdedah dengan dunia pertunjukan fesyen yang cukup gah,” bicaranya kepada e-Trend baru-baru ini.

    KOLEKSI baharu jenama AfiqM dengan #afiqmss20 yang dikongsikan dalam akaun media sosial.

    KOLEKSI baharu jenama AfiqM dengan #afiqmss20 yang dikongsikan dalam akaun media sosial.

    Anak tunggal daripada tiga beradik itu tampaknya memang sentiasa tidak ‘lari’ jauh daripada konsepnya yang gemar menampilkan rekaan yang praktikal dan versatil. Fabrik, warna dan siluet pilihannya unik dan tersendiri.

    Jika diperhatikan pada pemilihan baju yang melekap cantik pada tubuh badan si pemakai, hasil sentuhan Afiq sememangnya tidak pernah mengecewakan.

    Sudah tentu pemilik busana rekaannya mendapat satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan pemilihan fabrik yang selesa dan moden hasil buah tangan si pereka.

    Mewah, glamor

    Ternyata Afiq lebih menggemari rona gelap yang menawan. Hasilnya, lihat sahaja setiap sentuhannya yang terpancar karakter mewah dan glamor. Bijak jejaka itu bermain dengan palet warna disesuaikan dengan fabrik pilihan.

    SHERRY antara selebriti terkenal memperagakan busana AfiqM yang menyerlah dengan rekaan gaun petang berona hijau zamrud.

    SHERRY antara selebriti terkenal memperagakan busana AfiqM yang menyerlah dengan rekaan gaun petang berona hijau zamrud.

    Terkini, rekaannya menjadi tumpuan apabila diperagakan selebriti televisyen terkenal, Sherry Alhadad dalam beberapa program yang menampakkan sisi berbeza dalam ciptaan kali ini.

    “Saya rasa tidak sulit menghasilkan baju untuk mereka yang bersaiz besar. Bagi saya, secara peribadi, kita boleh pakai apa sahaja asalkan selesa dan mendatangkan keyakinan dalam diri.

    “Orang bertubuh besar pula harus sedar hakikat ini. Lihat sahaja Sherry, beliau boleh pakai apa sahaja,” katanya yang selesa mereka cipta fesyen mengikut keselesaan si pemakai.

    Meskipun masih hijau dalam industri fesyen, Afiq tidak terkecuali berdepan cabaran dan halangan untuk terus mencipta karier dan jenama lebih kukuh.

    REKAAN glamour yang ditonjolkan AfiqM menghiasi karpet merah.

    REKAAN glamour yang ditonjolkan AfiqM menghiasi karpet merah.

    Pun begitu, baginya, setiap lapangan karier ada cabarannya yang tersendiri. Pendekatan optimis diambilnya kerana setiap tantangan merupakan satu pengajaran.

    “Kita harus melaluinya dengan tenang. Ia mungkin lebih mudah untuk dihadapi jika mempunyai minat yang mendalam dalam karier diceburi. Seteruk mana pun dugaan, kita boleh bangkit lagi.

    “Alhamdulillah, saya banyak mendapat sokongan teman-teman industri. Nasihat saya buat pereka fesyen muda, teruskan usaha dan fokus pada produk anda. Beri yang terbaik setiap waktu,” ungkapnya.

    POTONGAN kemas dengan siluet tersendiri menjadi signature rekaan Afiq.

    POTONGAN kemas dengan siluet tersendiri menjadi signature rekaan Afiq.

    Untuk kekal dalam industri bukannya mudah. Pun demikian, bagi Afiq, beliau percaya keunikan setiap rekaan yang lain daripada lain menjadi kelebihan kepada seseorang pereka.

    “Tidak dinafikan persaingan terlalu banyak, bahkan fesyen terlalu pantas untuk dikejar. Bagaimanapun, saya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan kelangsungan jenama terus menjadi sebutan.

    “Apa yang penting, rekaan unik, segar dan siluet tersendiri menjadi signature buat jenama AfiqM supaya nampak lebih menonjol daripada pereka yang lain. Identiti rekaan itulah yang menjadikan kami terus keterhadapan,” ujarnya.

    Sumber

  • Haneffa pereka gitar premium – Sinar Harian

    Haneffa pereka gitar premium – Sinar Harian

    KESUKARAN mencari sebuah gitar elektrik yang memenuhi spesifikasi diinginkan untuk menghasilkan petikan merdu mendorongnya nekad membuat instrumen itu sendiri.

    Bunyinya seperti kerja gila, namun itulah yang dilakukan Mohd Haneffa Abu Hassan. Bapa kepada dua anak itu sanggup berhenti kerja pada tahun 2010 lalu semata-mata untuk menghasilkan gitar elektrik buatan tangan berkualiti premium.

    Melepaskan karier dalam industri minyak dan gas selepas lebih 13 tahun berkhidmat bukannya mudah. Pun begitu, bekas pelajar SMK Batu 14 Puchong, Selangor itu gigih berusaha bermula daripada sifar untuk mempelajari cara pembuatan gitar.

    “Saya memang sangat sukakan gitar dan selalu pergi ke kedai alat itu setiap hujung minggu untuk cuci mata. Suka belek-belek rekaan gitar terbaharu dan part yang digunapakai.

    “Selalunya, kalau mahu beli sebuah gitar memang saya cerewet, terutama dari segi reka bentuk, warna dan kualiti bunyiannya. Bukan senang mencari yang betul-betul penuhi kehendak,” ujarnya.

    Mendapatkan ilmu melalui penyertaan dalam forum antarabangsa dan media sosial, bekas gitaris sebuah kumpulan muzik itu mula menunjukkan minat dalam bidang pembuatan gitar pada tahun 2006 lagi.

    Menariknya, bermula dengan hanya suka-suka membuat gitar sebagai hobi masa lapang, Mohd Haneffa belajar sendiri cara pembuatan tangan dan potensi pasaran sebelum mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian sepenuh masa.

    “Tak boleh hendak gambarkan perasaan kepuasan itu apabila berjaya siapkan satu gitar yang 100 peratus buatan tangan. Hanya orang yang minat pada gitar sahaja yang memahaminya,” ungkap pemuda berusia 36 tahun tersebut.

    PEMILIHAN kayu yang sesuai amat penting untuk menghasilkan gitar sempurna.

    PEMILIHAN kayu yang sesuai amat penting untuk menghasilkan gitar sempurna.

    Acuan tersendiri

    Bagi pemilik bengkel gitar terletak di Bukit Changgang, Banting Selangor itu, pemilihan kayu amat penting untuk menghasilkan sebuah gitar yang berkualiti.

    Mengulas lanjut mengenai pemilihannya, pemilik jenama Hanif Illustrated Luthier itu amat mementingkan kualiti kayu yang digunapakai sama ada keluaran negara atau antarabangsa.

    “Bukan sebarang kayu boleh digunakan untuk membuat gitar kerana kebanyakan yang ada di Malaysia jenis berat. Selalunya, saya akan guna jenis ‘rengas’ dan ‘malam’ untuk leher gitar.

    “Bahagian badan pula, saya selalu guna kayu mahogani atau orang kampung panggil tunjuk langit. Tapi bergantung juga kepada kehendak pelanggan kerana masing-masing mempunyai minat berbeza,” katanya.

    Tidak menafikan perusahaan diusahakannya turut berdepan cabaran antaranya untuk memohon dana pembiayaan, bagaimanapun Mohd Haneffa optimis ia dek bidang pembuatan gitar masih baharu di Malaysia.

    Pun demikian, anak jati kelahiran Puchong, Selangor itu tidak menafikan promosi mulut ke mulut dan media sosial membantu memperkenalkan produknya lebih meluas.

    SEBAHAGIAN instrumen yang dihasilkan Mohd Haneffa yang memakan masa hampir setahun.

    SEBAHAGIAN instrumen yang dihasilkan Mohd Haneffa yang memakan masa hampir setahun.

    “Terbaharu, saya menerima tempahan menyiapkan sebuah gitar berkualiti premium dengan anggaran RM12,000. Tempahan itu antara yang paling mahal pernah saya buat sebab menggunakan part luar negara yang berjenama. Selain itu, saya juga berkolaboratif dengan sebuah perusahaan kilang pembuatan gitar tempatan.

    “Selain mengembangkan lagi bakat, usahasama itu bertujuan untuk menghasilkan 100 gitar pertama dengan harga mampu milik iaitu dianggarkan bawah RM1,000,” katanya yang menjual seunit gitar buatan tangan pada harga RM2,500 sehingga RM6,000.

    Seperkara saranannya buat anak muda muda berminat mengikut jejak langkahnya supaya sentiasa mencari ilmu dan mempelajari teknologi terkini.

    Beliau percaya peluang masih terbuka luas dalam bidang itu memandangkan merasakan masih terlalu kurang bengkel membuat gitar buatan tangan di Malaysia.

    “Kualiti buatan tangan juga sukar dicari di mana-mana demi memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai.

    “Tetapi saya percaya, keunikan hasil buatan tangan lain daripada lain akan menjadi kelebihan pereka,” jelasnya yang memiliki pelanggan seluruh negara.

    KAYU pemuka gitar yang berwajah baharu menjadi antara pilihan pelanggan yang mendapatkan khidmat Mohd Haneffa.

    KAYU pemuka gitar yang berwajah baharu menjadi antara pilihan pelanggan yang mendapatkan khidmat Mohd Haneffa.

    Profil

    Nama: Mohd Haneffa Abu Hassan

    Umur: 36 Tahun

    Asal: Puchong, Selangor

    Kerjaya: Pembuat gitar buatan tangan

    Tahap pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

    Facebook: Hanif Illustrated LuthierInstagram: @hilcs_guitar

    Sumber

  • Rona tuah hiasi koleksi Off-White

    Rona tuah hiasi koleksi Off-White

    TOPI bucket hat daripada koleksi sama yang dihiasi logo bercetak di bahagian depan manakala klip di belakang menjadikan kekemasan lebih fleksibel.

    TOPI bucket hat daripada koleksi sama yang dihiasi logo bercetak di bahagian depan manakala klip di belakang menjadikan kekemasan lebih fleksibel.

    RONA merah cukup signifikan dalam budaya masyarakat Tionghua di negara ini kerana dikatakan membawa tuah sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

    Barangkali disebabkan itulah warna tersebut menjadi daya tarikan buat enam koleksi Off-White. Sempena sambutan musim perayaan ini, kaum adam khususnya tidak mengira usia boleh menggayakannya.

    Merujuk kepada farfetch.com, koleksi jenama pakaian jalanan yang diilhamkan Virgil Abloh itu mempunyai volum tersendiri dengan lambang grafik dan struktur ikonik negara matahari terbit.

    Seperti rekaan baju berpenutup kepala (hud) berwarna hitam putih yang diperbuat daripada kapas, slogan Good Luck berona merah dengan motif tikus seolah-olah meraikan Tahun Baharu Cina dengan gaya tersendiri.

    KOLEKSI Off-White yang dipadankan dengan seluar jean merah dan hitam.

    KOLEKSI Off-White yang dipadankan dengan seluar jean merah dan hitam.

    Signatur logo bercetak di bahagian depan dengan lengan panjang dikemaskan jalur tanda pepenjuru. Hasilnya tampak stail moden buat si jejaka yang mahukan penampilan sisi maskulin.

    Menariknya, hud yang dipadankan dengan seluar jean merah dan hitam itu menjadi satu gabungan warna menarik bersama logo poket bercetak di bahagian belakang.

    Jangan lupa padankan dengan bucket hat daripada koleksi sama yang dihiasi logo bercetak di bahagian depan, manakala klip di belakang menjadikan kekemasan lebih fleksibel.

    Bagi si jejaka yang menyambut perayaan itu sempena tahun tikus kali ini, mungkin pilihan fesyen daripada koleksi Off-White tersebut boleh menjadi panduan untuk gaya baharu.

    LOGO bercetak di bahagian depan hud dengan lengan panjang dikemaskan jalur tanda pepenjuru.

    LOGO bercetak di bahagian depan hud dengan lengan panjang dikemaskan jalur tanda pepenjuru.

    Sumber

  • Jenama Fossil dan Withings tersenarai 10 peranti canggih

    Jenama Fossil dan Withings tersenarai 10 peranti canggih

    REKA bentuk Withings Move yang lebih klasik seperti kebanyakan jam analog tradisional lain dengan sentuhan pintar dan bateri mampu bertahan lebih 18 bulan.

    REKA bentuk Withings Move yang lebih klasik seperti kebanyakan jam analog tradisional lain dengan sentuhan pintar dan bateri mampu bertahan lebih 18 bulan.

    TIDAK dinafikan Fossil antara nama besar sebaris jam pintar OS Wear Google. Sudah tentunya Fossil Gen 5 meniti di bibir para jejaka yang mengagumi prestasi luar jangkauannya.

    Spesifikasinya canggih apabila mampu mengesan rentak tidur si pengguna. Itu menjadikan ciri yang ada pada Gen 5 tersebut lebih keterhadapan berbanding jam pintar Apple.

    Mungkin sebab itu, Gen 5 tersenarai antara jam terbaik bagi tahun 2019 seperti yang dikongsikan newatlas.com.

    Menurut laman web berkenaan, jenama peranti pintar itu menduduki carta kedua selepas jenama gergasi, Apple Watch Series 5.

    Selain dapat mengesan degupan jantung dan paparan sistem kedudukan sejagat (GPS), peranti pintar itu mampu menjadi pembantu maya dalam mengakses Google dengan mudah.

    Kepakaran pembuatan jam keluaran pereka fesyen Amerika Syarikat sejak 1984 itu menjadikan reka bentuknya lebih bergaya dan bateri tahan lama dengan pelbagai pilihan tali dan bekas aksesori.

    BUKAN sahaja dapat mengesan degupan jantung dan paparan sistem kedudukan sejagat (GPS), Fossil GEN 5 mampu menjadi pembantu maya dalam mengakses Google dengan mudah.

    BUKAN sahaja dapat mengesan degupan jantung dan paparan sistem kedudukan sejagat (GPS), Fossil GEN 5 mampu menjadi pembantu maya dalam mengakses Google dengan mudah.

    newatlas.com juga memaparkan Withings Move tiada tandingan apabila tersenarai 10 jam pintar terbaik tahun lepas dengan rekaan lebih berbeza berbanding varian sebelum ini.

    Reka bentuknya lebih klasik seperti kebanyakan jam analog tradisional lain dengan sentuhan pintar. Baterinya juga dikatakan mampu bertahan lebih 18 bulan berbanding perlu mengecasnya setiap hari.

    Jika hanya memerlukan ciri pengesan aktiviti dan tidur, peranti pintar ala konvensional itu mampu memenuhi keperluan pengguna yang ingin keluar daripada kepompong reka bentuk futuristik.

    Sebagai bonus tambahan, Withings juga didatangkan dengan ciri kalis air sehingga 50 meter dan pelbagai rekaan menarik pada harga bermula AS$69 (RM284) sahaja.

    Sumber

  • Konsul UFO curi tumpuan kaki game

    Konsul UFO curi tumpuan kaki game

    PERANTI PC Concept UFO yang berjaya menancap mata peminat teknologi sempena pameran CES 2020 baru-baru ini.

    PERANTI PC Concept UFO yang berjaya menancap mata peminat teknologi sempena pameran CES 2020 baru-baru ini.

    BARANGKALI satu berita gembira buat kaki game apabila konsul futuristik berkonsepkan objek terbang tidak dikenali (UFO) diperkenalkan Alienware dengan rekaan lebih unik.

    Anak syarikat perkakasan komputer dan permainan Amerika Syarikat itu dilihat sentiasa keterhadapan. Terkini, ciptaan permainan komputer peribadi Dell sekali gus melengkapkan keterujaan.

    Merujuk perkongsian Dale Altavilla dalam forbes.com, Alienware mempertaruhkan, peranti PC Concept UFO yang berjaya mencuri tumpuan peminat teknologi sempena Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2020 baru-baru ini.

    “Meskipun masih prototaip dan belum diputuskan soal tarikh penghantaran dan harga, namun ramai menyakini peranti tersebut berpotensi untuk dipasarkan sekali gus menyaingi produk sedia ada.

    “Memetik kata Naib Presiden Kanan Kumpulan Reka Bentuk Pengalaman Dell, Ed Boyd, beliau menyatakan konsep UFO adalah kemuncak usahanya selepas pelbagai revolusi teknologi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut katanya, rekaan itu menggabungkan persamaan ergonomik persis Nintendo Switch. Dengan ciri paling mudah, kedudukan papan kekunci dan butang pada pengawal sisinya boleh dipisahkan.

    Ia dikatakan lebih tahan lasak dan paparan peranti bersaiz lapan inci mampu menyokong PC Windows 10 selain mempunyai sambungan Bluetooth dan ciri snap-in memuaskan.

    “Pemegang konsul yang memiliki slot kickstand di bahagian belakang peranti membolehkan pemain meletakkannya di atas meja dengan mudah,” jelasnya mengenai rekaan terbabit.

    Apa yang pasti, keluaran anak syarikat Dell itu antara rekaan luar kotak. Adakah mampu menyaingi jenama popular seperti Xbox Series X atau Sony PlayStation 5? Sama-sama kita saksikan!

    Sumber

  • Tip kenali jam mewah palsu

    Tip kenali jam mewah palsu

    PERNIAGAAN jam tiruan menjadi satu perusahaan replika aksesori mewah yang menguntungkan kerana permintaannya sangat tinggi sejak sekian lama.

    Sama ada analog atau digital, boleh dikatakan lambakan jam ‘mewah’ yang dijual dalam talian belum tentu tulen di samping harga yang tidak boleh diterima akal.

    Dalam segelintir kes, kepakaran si pembuat jam tiruan juga semakin sofistikated sehingga pembeli tidak dapat membezakan mana satu yang asli dan palsu. Cukup mengelirukan!

    Barangkali pembeli terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk meneliti kemasan jam tangan palsu bagi mengelakkan diri tertipu. Bagaimanapun, e-Trend ingin kongsikan beberapa tip untuk si pemburu jam agar tidak tertipu dengan produk tiruan.

    Tip yang dikongsikan pakar jam tangan terkemuka United Kingdom, Frankenwatches yang dipetik fashionbean.com ini sangat bermanfaat untuk dikongsikan.

    SEMAK kredibiliti outlet atau stokis berlesen sebelum meneruskan urusan jual beli.

    SEMAK kredibiliti outlet atau stokis berlesen sebelum meneruskan urusan jual beli.

    1. Lokasi

    Tidak semestinya jam yang dipaparkan di sebalik kaca kedai itu adalah tulen. Jika tidak keberatan, bertanyalah kepada penjual sama ada mereka mempunyai lesen jualan jenama itu.

    Barangkali dengan cara itu, memudahkan pembeli menyemak di laman web jenama. Sama ada kedai tersebut antara outlet atau stokis yang sah, periksalah sebelum meneruskan urusan jual beli.

    Tidak salah berbelanja lebih untuk membeli dengan penjual berlesen berbanding ‘jimat’ 20 peratus untuk material yang dibeli dalam dalam talian yang belum tentu asli pembuatannya.

    SEBELUM membeli, pengguna perlu bijak meneliti produk yang diinginkan kerana biasanya si pemalsu licik menggunakan bahan murah untuk menjimatkan kos.

    SEBELUM membeli, pengguna perlu bijak meneliti produk yang diinginkan kerana biasanya si pemalsu licik menggunakan bahan murah untuk menjimatkan kos.

    2. Jangan tamak

    Aksesori jam mahal memiliki nilai pelaburan tersendiri. Berhati-hatilah jika ada yang menawarkan harga murah dengan promosi potongan sehingga 25 peratus untuk jenama seumpama itu.

    Jangan bersikap tamak semata-mata ingin berjimat. Jika berhabis duit untuk jam premium yang lebih murah 20 peratus daripada nilai pasaran, tidak mustahil ia antara material palsu.

    Menurut pakar The Watch Gallery, Tim Pavy, jika terlalu bagus promosi yang diberikan sehingga menjadi tidak realistik, ia tidak mungkin produk tulen.

    “Ini kerana aksesori jam seperti Rolex dan Omega cukup bernilai bagi setiap sen yang dibelanjakan. Sebab itu, jika ada promosi meragukan harus berwaspada,” kongsinya.

    SETIAP pembelian perlu bersemuka dan jangan mudah terpedaya dengan gambar ‘indah khabar daripada rupa’ yang dipaparkan dalam talian.

    SETIAP pembelian perlu bersemuka dan jangan mudah terpedaya dengan gambar ‘indah khabar daripada rupa’ yang dipaparkan dalam talian.

    3. Bersemuka

    Setiap pembelian perlu bersemuka. Jangan mudah terpedaya dengan gambar ‘indah khabar daripada rupa’ yang dipaparkan untuk jualan jam ketika berurus niaga dalam talian.

    Menurut Pavy, jika membeli melalui lelongan dalam talian atau barangan terpakai, kekurangan perincian gambar boleh menjadi petunjuk si penjual cuba menyembunyikan sesuatu.

    Jika imej kabur, berhati-hatilah sebelum membeli. Lebih ideal jika ada penerangan mendalam mengenai butiran produk termasuk kecacatan atau sebaliknya supaya memperlihat si penjual jujur.

    Jika masih mahu membeli dalam talian, carilah laman web yang dipercayai dalam menjual jenama terbaik dunia.

    PEMBELI harus menerima hakikat bahawa setiap jam mewah dijual dengan kemasan sempurna.

    PEMBELI harus menerima hakikat bahawa setiap jam mewah dijual dengan kemasan sempurna.

    4. Teliti

    Sebelum membeli, harus tekun meneliti produk yang diinginkan. Ini kerana, biasanya si pemalsu bijak menggunakan bahan murah untuk menjimatkan kos. Jadi, kebanyakan jam yang dijual lebih ringan berbanding jenama sebenar.

    “Salah satu bahagian yang paling sukar adalah kemasan buatan tangan. Ia proses yang tidak boleh digantikan dengan alatan mesin,” kata pengasas bersama Watchfinder, Lloyd Amsdon.

    Jam palsu boleh dinilai melalui bentuk tajam di setiap penjuru kerana tiada kemasan sempurna. Tidak dinafikan reka bentuk boleh ditiru, namun pembeli boleh lihat perbezaannya.

    AKSESORI jam mahal memiliki nilai pelaburan tersendiri seperti Rolex dan Omega yang sangat bernilai bagi setiap sen dibelanjakan.

    AKSESORI jam mahal memiliki nilai pelaburan tersendiri seperti Rolex dan Omega yang sangat bernilai bagi setiap sen dibelanjakan.

    5. Terima hakikat

    Jika logo jam berjenama tidak sempurna atau ‘lari’ dari tempatnya, itu bukannya kesilapan tetapi aksesori palsu.

    Pembeli perlu menerima hakikat bahawa setiap jam mewah dijual dengan kemasan sempurna. Perlu alah membeli, menang memakai.

    Menurut Amsdon, pembuatan jenama jam palsu kebanyakannya tidak konsisten terutamanya pada paparan dial dan tidak semuanya sempurna jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan.

    Sebelum berbelanja, perlu rajin mencari imej sebenar di laman web rasmi dan buatlah perbandingan setiap material.

    Sumber

  • ‘Kapal terbang’ pesara TLDM – Sinar Harian

    ‘Kapal terbang’ pesara TLDM – Sinar Harian

    IMPIAN sejak kecil untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh bukan sahaja berjaya direalisasikan, malah daripada hobi, kini menjadi sumber pendapatan.

    Sebaik bersara pada 18 Jun 2012, Anuar Nordin mula mencungkil semula hasrat lebih 20 tahun dipendamkannya dengan menempah satu set kapal terbang kawalan jauh berharga RM950.

    Bekas pegawai waran pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu terpaksa melupakan impian untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh ketika zaman kanak-kanak, ekoran tuntutan kerja setelah menyertai TLDM pada 19 Jun 1987.

    “Kapal terbang yang saya beli (selepas bersara) kerap jatuh dan akhirnya hancur kerana saya tidak pernah belajar atau mempunyai pengalaman mengendalikannya,” kata anak kelahiran Johol, Negeri Sembilan itu kepada Bernama baru-baru ini.

    Meskipun pada awalnya berdepan kesukaran menerbangkan kapal terbang kawalan jauh, lelaki yang berusia 52 tahun itu berkata, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya.

    “Dari situ, saya mula bertanya rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dan belajar cara-cara mengendalikannya. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat,” kata bapa tunggal kepada enam orang anak ini.

    Mengimbau impian zaman kanak-kanaknya, Anuar berkata, sejak kecil beliau hanya mampu melihat di kaca televisyen dan menyimpan hasrat untuk mempelajari fungsi dan kelebihan kapal terbang kawalan jauh.

    “Agak mustahil bagi budak kampung untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh. Ketika itu, lastik adalah permainan kami. Tambahan pula kos memiliki kapal terbang kawalan jauh agak mahal sehingga mencecah ribuan ringgit seunit,” katanya.

    SETIAP unit kapal terbang kawalan jauh Anuar boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam.

    SETIAP unit kapal terbang kawalan jauh Anuar boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam.

    Belajar teknik, rekaan

    Selain rakan, sedikit demi sedikit Anuar mula mempelajari teknik mengendalikan kapal terbang kawalan jauh di internet termasuk laman YouTube dan blog.

    “Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mahir menerbangkannya,” katanya yang menambah pada masa sama, beliau mula menghasilkan sendiri beberapa rekaan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik.

    Kapal terbang yang berjaya dihasilkan Anuar diperbuat daripada papan busa dan busa mampat.

    Anuar menjelaskan, proses permulaan menghasilkan kapal terbang kawalan jauh agak renyah, namun menjadi semakin mudah apabila mengetahui selok-belok pembikinannya.

    “Ia memerlukan kesenian, kreativiti dan kesabaran untuk menghasilkan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik yang menarik dan berkualiti,” katanya.

    Bahan-bahan yang diperlukan dalam pembikinannya ialah gam panas, pisau, pembaris, enjin elektrik berkuasa 2,400kw, alat kawalan kelajuan elektrik, bateri, pita pelekat, batang fiber, dawai dan kertas pelekat.

    “Kos menghasilkan struktur badan kapal terbang sahaja dalam anggaran RM300 sehingga RM500, manakala kos lengkap termasuk alat kawalan jauh dan bateri sebanyak RM1,000,” ceritanya.

    Setiap unit kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar, boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam jam dengan spesifikasi panjang 1.21 meter. Beratnya dianggarkan antara 700 hingga 800 gram.

    Menurut Anuar, kesemua model kapal terbang terbang kawalan jauh yang direka beliau adalah mengikut model pesawat pejuang dan model pertama dicipta ialah Sukhoi Su-35 yang menelan kos sebanyak RM950.

    SEBUAH kapal terbang kawalan jauh yang diterbangkan oleh Anuar.

    SEBUAH kapal terbang kawalan jauh yang diterbangkan oleh Anuar.

    Model lain seperti Jet Mitsubishi F-22, Jet Nova, Eurofighter Typhoon, MiG, Polaris serta beberapa model lain. Kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar itu dijual di laman media sosial Facebook.

    Dari segi kuantiti yang mampu dibuat Anuar, beliau boleh menghasilkan sebanyak 20 hingga 30 unit kapal terbang mainan itu dalam tempoh sebulan, namun Anuar lebih gemar melakukannya secara santai.

    “Dalam masa sehari, jika betul-betul fokus, saya boleh hasilkan dua unit kapal terbang kawalan jauh yang mempunyai corak,” katanya menambah model pesawat Sukhoi Su-35 dan Mitsubishi F-22, antara model yang sering mendapat sambutan.

    Disebabkan keistimewaannya, Anuar yang juga anggota sebuah badan bukan kerajaan, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Negeri, Negeri Sembilan sering dijemput ke sekolah untuk berkongsi tentang inovasi dan membuat demonstrasi penerbangan kapal terbang kawalan jauh.

    Menurut Anuar, aktiviti itu memberi banyak manfaat kepada pelajar, bukan sahaja dapat mengelak mereka terjebak dalam aktiviti kurang sihat, malah membantu menetapkan cita-cita sama ada sebagai juruterbang atau jurutera penerbangan.

    Sumber

  • Hero pembuat gambus Hadramaut – Sinar Harian

    Hero pembuat gambus Hadramaut – Sinar Harian

    PEMBUAT gambus, Halidan Ithnin adalah insan yang paling gembira apabila Batu Pahat didaftar di bawah Petunjuk Geografi (GI) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi penghasilan alat muzik gambus.

    Berkecimpung dalam pembuatan gambus sejak 20 tahun lalu, Halidan, 54, merupakan seorang daripada dua pembuat gambus Hadramaut di daerah Batu Pahat, Johor.

    Beliau percaya dengan pengiktirafan itu, gambus yang menjadi warisan Johor akan terus dijaga sekali gus dapat merangsang industri seni kraf dan pelancongan di Johor.

    Alat muzik gambus yang begitu sinonim dengan kesenian Johor adalah daripada jenis gambus Hadramaut atau dikenali juga gambus Arab yang dibawa dari Yaman oleh pedagang Arab pada abad ke-19.

    Gambus, alat muzik Arab yang dinamakan oud, bermaksud kayu; ranting atau tangkai mudah lentur atau juga disebut sebagai sebongkah kayu.

    Bagi Halidan, keistimewaan alat muzik gambus Hadramaut Johor ialah pada proses pembuatannya menggunakan kayu-kayan tempatan seperti rengas, merawan dan kayu dari pohon buah-buahan seperti durian belanda dan ciku.

    Halidan yang juga anak saudara tokoh pembuat gambus Johor yang terkenal sekitar tahun 70-an, Allahyarham Hassan Othman atau lebih dikenali ‘Pak Hassan’ berhasrat menghasilkan gambus yang bercirikan kesenian alam Melayu dan identiti budaya Johor.

    “Sebelum ini, dekorasi gambus terikut-ikut pengaruh Arab, tetapi saya berhasrat menghasilkan gambus menggunakan motif flora dan fauna yang ada di Malaysia serta identiti Johor seperti lada hitam,” katanya kepada Bernama ketika ditemubual baru-baru ini.

    HALIDAN menunjukkan gambus yang diperbuat menggunakan kayu-kayan tempatan seperti rengas, merawan dan kayu daripada pohon buah-buahan seperti durian belanda dan ciku.

    HALIDAN menunjukkan gambus yang diperbuat menggunakan kayu-kayan tempatan seperti rengas, merawan dan kayu daripada pohon buah-buahan seperti durian belanda dan ciku.

    Anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat itu turut menjelaskan gambus di daerahnya mempunyai keunikan tersendiri dan sehingga kini proses pembuatannya masih mengekalkan ‘cara lama’.

    Menurut beliau, kayu-kayan tempatan yang diperoleh dari hutan berdekatan.

    “Selepas dikeringkan, kita asingkan kayu yang berkualiti dan elok untuk dibuat gambus. Kalau kayu baharu, kebiasaannya saya keringkan ikut suhu bilik sahaja.

    “Setelah proses layur untuk lengkungan kayu, baru kita jemur di bawah matahari untuk pastikan lengkungannya tidak berubah,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

    Beliau berkata, gambus buatan tangan boleh bertahan lama sehingga 20 tahun, namun ia bergantung kepada pemilihan kayu dan gam yang berkualiti.

    Penyediaan gambus pula bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan, paling singkat satu atau dua minggu dan paling lama antara dua hingga tiga bulan.

    Halidan turut menghasilkan alat muzik tradisional Johor ini di bengkel Industri Budaya, Batu Pahat.

    Perhati cara dihasilkan

    Halidan yang juga bekas pensyarah sambilan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjelaskan, beliau mempelajari seni pembuatan gambus dengan mengamati teknik penghasilan gambus oleh Allahyarham Pak Hassan yang dianggap sebagai bapa kandungnya sendiri.

    “Ketika ‘orang tua’ saya (Pak Hassan) buat gambus, saya buat alat muzik gendang Marwas dan Jidur. Saya suka memerhati, dan dari situ mula berminat buat gambus,” katanya yang tinggal bersama Pak Hassan sejak berusia tiga tahun.

    TEMPOH penyiapan gambus bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan.

    TEMPOH penyiapan gambus bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan.

    Meskipun tidak mahir memainkan alat muzik gambus, namun Halidan menggunakan teknik sukat dan ukur bagi mendapatkan bunyi atau ‘suara’ gambus yang betul ketika proses pembuatannya.

    Beliau juga sering berdampingan dengan pemuzik-pemuzik gambus bagi mendapatkan maklum balas.

    “Pemuzik gambus ini tahu apa yang mereka mahu. Kalau ada kekurangan, saya boleh tahu dan belajar.

    “Bila kita duduk dalam dunia gambus, kita akan dapat mempelajari teknik dan menjiwainya,” katanya yang turut mengajar cara membuat gambus kepada penuntut di Aswara.

    Jauh di sudut hati Halidan tersimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah buku mengenai pembuatan gambus.

    “Perlu ada sebuah buku tentang cara untuk membuat gambus. Kita juga boleh lakukan kajian yang lebih terperinci mengenai latar belakang sejarah gambus,” katanya yang sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mendokumentasikan proses pembuatan gambus agar legasi itu terus dihargai.

    Demi melestarikan alat muzik gambus, kerajaan Johor turut mengabadikan visual gambus pada logo Tahun Melawat Johor 2020 dengan menjadikan gambus sebagai elemen utama pada huruf ‘J ‘ logo berkenaan.

    “Kelemahan kita adalah dari segi dokumentasi. Kalau orang luar boleh datang dan rakamkan pembuatan gambus, kenapa kita tidak boleh lakukan?” katanya sambil berharap warisan Johor itu dapat terus menjadi khazanah berharga buat Johor.

    Sumber

  • Trend jaket mesra bajet persis jenama mewah

    Trend jaket mesra bajet persis jenama mewah

    BARANGKALI fesyen lebih santai dan klasik jaket bomber kembali trending apabila menjadi pilihan golongan Adam untuk terampil menakjubkan pada tahun 2020.

    Nampaknya, tumpuan jenama mewah dunia seperti Dolce & Gabbana, Gucci, Ralph Lauren dan Balenciaga kini beralih untuk memperbaharui koleksi jaket lelaki dengan sentuhan serba baharu.

    Jika melihat koleksi fesyen yang dikongsikan dalam luxe.digital, bukan sahaja jenama besar turut mengikut trend terkini bahkan Springrain dan AOWOFS juga mencipta jaket klasik mesra bajet buat golongan muda.

    Boleh jadi, fesyen jaket bomber yang ditawarkan jenama alternatif mampu milik boleh mengisi koleksi almari si jejaka tanpa perlu berbelanja besar.

    Jaket kulit Dolce & Gabbana yang dijual di pasaran pada harga AS $1,440 (RM5923.73) dalam pasaran dalam talian.

    Jaket kulit Dolce & Gabbana yang dijual di pasaran pada harga AS $1,440 (RM5923.73) dalam pasaran dalam talian.

    Seandainya mahu bergaya dengan jaket kulit persis Dolce & Gabbana, mungkin boleh mempertimbangkan jenama Springrain pada harga lebih murah.

    Dengan bajet kecil pun mampu bergaya seperti memakai jenama mewah. Masakan tidak, jika tidak mampu membeli jaket Polo Ralph Lauren Suede Bomber, si dia boleh mempertimbangkan jaket AOWOFS Brown Motorcycle Bomber sebagai alternatif.

    JAKET kulit lelaki Springrain yang dijual pada harga mampu milik iaitu AS $59.99 (RM246.41).

    JAKET kulit lelaki Springrain yang dijual pada harga mampu milik iaitu AS $59.99 (RM246.41).

    Sumber

  • Terarium obsesi Nazrol Ikhwan – Sinar Harian

    Terarium obsesi Nazrol Ikhwan – Sinar Harian

    ASALNYA beliau hanya sukakan aktiviti bertanam pokok unik. Siapa sangka, daripada hobi masa lapang, terarium yang dicipta mampu menjana wang sampingan buat Nazrol Ikhwan Che Nordin.

    Bagi mereka yang asing dengan nama itu, terarium adalah ekosistem miniatur tumbuhan yang diletakkan bunga dan hiasan comel sama ada dalam keadaan tertutup atau terbuka. Biasanya ia dijadikan perhiasan.

    Bagi anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu, hobi unik berkenaan tercetus apabila terlihat satu video dalam media sosial mengenai terarium menggunakan pelbagai jenis lumut menghiasi bekas kaca tertutup.

    “Mulanya saya pelik melihat reka bentuk moss (lumut) yang cantik dibina secara berlapis-lapis mengikut landskap yang dicipta. Perasaan ingin tahu meluap-luap. Jadi saya lihat dan belajar daripada video tersebut.

    “Sebenarnya sudah lama minat tanam pokok minimalis seperti kaktus, bunga unik dan jarang ada. Mungkin sebab dari kecil melihat emak dan ayah suka berkebun, jadi ia datang secara semula jadi,” bicaranya.

    TERARIUM yang menggunakan pokok succulents mengikut kesesuaian saiz balang terbuka.

    TERARIUM yang menggunakan pokok succulents mengikut kesesuaian saiz balang terbuka.

    Pemuda berusia 37 tahun tersebut tidak menafikan kebanyakan bahan mentah dan peralatan diimport dari negara luar. Tidak ramai mereka yang membuat terarium di Malaysia.

    Kebanyakan video atau tutorial ditinjaunya juga dari negara luar dan hanya beberapa laman pemilik tempatan di Facebook yang menjadi rujukannya.

    “Minat buat terarium ini sejak 2017 lagi. Saya ambil masa lebih setahun untuk belajar.

    “Hanya belajar daripada video di YouTube dan mula-mula buat memang tak jadi. Tanah jadi kering dan moss berkulat. Ada ketikanya anak pokok yang ditanam mereput dan tanah jadi berbau,” ceritanya dengan nada kecewa.

    Akan tetapi, kakitangan syarikat swasta itu tidak berputus asa. Nazrol Ikhwan belajar daripada kesilapan termasuk mengkaji struktur tanah, jenis lumut dan hiasan sesuai.

    “Tanaman tidak menjadi dan gagal tahan lama biasanya disebabkan tanah ‘tidak bersih’. Kena buat pembersihan tanah supaya bebas daripada telur cacing, bakteria atau alga.

    Peralatan seperti tweezers, berus dan sudu amat penting supaya terarium lebih kemas dan cantik.

    Peralatan seperti tweezers, berus dan sudu amat penting supaya terarium lebih kemas dan cantik.

    Lebih 100 terarium

    “Terpaksa ambil masa dan komitmen diri. Bila jumpa satu page kedai terarium yang terletak di USJ, saya lega sebab boleh beli balang atau peralatan lain di situ dengan mudah,” katanya yang seronok berpeluang mempelajari cara membuat terarium daripada pemilik kedai terbabit.

    Biarpun awalnya hobi dilakukan hanya untuk mengisi masa lapang, begitupun, apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang datang rumah dan tertarik dengan hasil kerja tangannya, ramai pula yang berminat membelinya.

    Ada juga yang meminta Nazrol menghasilkan terarium khas untuk insan tersayang.

    “Saya memang tak ambil tempahan dan hanya buat jika ada masa terluang sahaja,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

    Anak ketiga daripada lima beradik itu turut berkongsi tip mengenai pemilihan pokok, lumut dan hiasan dalaman balang kaca sama ada tertutup atau terbuka untuk hiasan lebih tahan lama.

    “Sebenarnya banyak jenis moss yang perlu kita pelajari. Saya biasa guna pokok fittonia sebab sukakan warna yang pelbagai. Pemilihan balang juga penting untuk tempoh pembesaran pokok.

    “Kalau mahu kekalkan saiz pokok renek, kena pandai adun tanah dengan baja supaya boleh membesar sehingga empat inci,” ujarnya yang memaklumkan pokok tersebut boleh dikerat mengikut kesesuaian saiz pembesaran.

    PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

    PEMILIHAN pokok, hiasan dalaman dan moss penting untuk menjadikan terrarium cantik serta tahan lama.

    Mengulas lebih lanjut mengenai tempoh membuat terarium, Nazrol Ikhwan tidak menafikan agak rumit untuk menanam lumut di celahan batu atau kayu yang disusun dalam landskap.

    “Tetapi kerana minat, saya sanggup habiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan satu terarium. Memang puas hati walaupun penat. Mungkin sebab kita minat, semuanya jadi senang.

    “Kalau dulu, saya ambil masa empat hingga lima jam, itu pun tak siap. Sebabnya kalau salah potong, moss boleh terburai dan jadi rapuh. Jika potong terlalu pendek pun, tidak boleh juga,” katanya.

    Namun begitu, kini jelasnya, set terarium yang ringkas boleh disiapkannya dalam tempoh tidak sampai satu jam.

    Sebaliknya, jika lapisan kontur landskap lebih kompleks, kemungkinan masa perlu diambilnya melebihi tiga jam untuk hasil yang memuaskan.

    “Setakat ini, lebih 100 terarium sudah disiapkan untuk kenalan mengikut saiz pada harga RM50 sehingga RM250 sahaja,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Teknologi Maklumat Multimedia itu.

    Penyusunan tanah dan hiasan penting untuk tapak landskap yang kukuh dan tahan lama.

    Penyusunan tanah dan hiasan penting untuk tapak landskap yang kukuh dan tahan lama.

    Sumber