Cat Fashion Week: 8 ‘Meow-del’ Terbaik Sedia Gempur Runway Akhir di TV3

Senarai lapan finalis utama Cat Fashion Week telah diumumkan secara rasmi menerusi segmen khas dalam program NONA yang disiarkan Ahad lalu. Sebagai program realiti pertama di Malaysia yang mengetengahkan si bulus sebagai bintang utama pentas peragaan, Cat Fashion Week mencipta fenomena tersendiri dengan konsep unik yang menggabungkan elemen fesyen, kasih sayang dan keunikan hubungan antara pemilik serta haiwan peliharaan mereka. Program ini bukan sahaja mencuit hati penonton, malah turut mengukuhkan komuniti pencinta kucing di seluruh negara.

Daripada ratusan penyertaan yang diterima, hanya 20 ekor kucing berjaya ke pusingan pre-judging yang berlangsung baru-baru ini, memperagakan gaya menarik hasil kreativiti pemilik masing-masing. Dalam sesi penjurian yang ketat, juri profesional Yuen Wai menjelaskan bahawa aspek utama yang dinilai termasuklah rekaan busana, penampilan fizikal kucing serta keyakinan mereka di atas pentas. Tambahnya, keserasian antara kucing dan pemilik turut memainkan peranan penting dalam mencari juara yang seimbang dari segi gaya dan hubungan.

Kini, lapan pasangan akhir telah dikenal pasti untuk berentap di malam kemuncak Cat Fashion Week, masing-masing membawa karakter dan gaya tersendiri. Mereka ialah Nurul Izzah & Omey (Siberian), Nurul Awwal & Chibu (Domestic Long Hair), Nurmayani & Kristoff (Ragdoll), Siti Rohani & Goyem (Domestic Long Hair), Farahin Zakaria & Junny (Persian), Zakry Shazryl & Winter Notty (Munchkin), Anis Halyatie & Evian Evan (Ragdoll), dan Siti Khadijah & Mocha (Domestic Long Hair).

Menjelang pentas akhir, para finalis kini giat membuat persiapan rapi daripada rekaan busana eksklusif hinggalah latihan intensif untuk membina keserasian di pentas. Dalam episod NONA terdahulu, salah satu finalis, Mocha yang dimiliki oleh Siti Khadijah, mencuri perhatian ramai dengan kecomelannya yang manja di rumah namun berani di luar. Menurut pemiliknya, penyertaan ini bermula sekadar suka-suka, namun kini menjadi pengalaman manis yang penuh bermakna.

Untuk mengenali lebih dekat setiap finalis, penonton boleh mengikuti segmen khas Cat Fashion Week dalam program NONA setiap Ahad jam 2 petang di TV3. Bermula 27 Julai 2025, TV3 juga akan menayangkan kapsul eksklusif selama tiga minggu berturut-turut setiap Ahad jam 7.50 malam, memaparkan cabaran dan kisah di sebalik tabir dunia peragaan si comel.

Pentas akhir Cat Fashion Week akan berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9 malam, menyaksikan siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara utama dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000. Selain itu, tiga anugerah khas turut dipertandingkan iaitu Anugerah Felix, Si Bijak dan Si Lincah yang memberi penghargaan kepada keunikan dan kecerdasan kucing peserta.

Cat Fashion Week mendapat sokongan penaja utama Felix serta rakan media rasmi iaitu Hot FM dan SAYS, menjadikan acara ini antara rancangan paling dinanti di kaca televisyen. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai ratu runway kucing pertama dalam sejarah televisyen Malaysia? Saksikan detik bersejarah ini hanya di TV3 “Meow Menyala, Gaya Membara!”. Untuk maklumat terkini mengenai program dan kandungan menarik di TV3, layari laman sosial rasmi Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram di @TV3Malaysia.