CASUARINA@MERU & TNB METERAI KERJASAMA PACU INFRASTRUKTUR EV DI PERAK

Hotel Casuarina@Meru melakar sejarah baharu apabila menandatangani perjanjian strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di lokasi berprestij tersebut. Usaha ini bukan sahaja memacu inisiatif pelancongan hijau di Perak, malah memperkukuh agenda pembangunan mampan negeri selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Kerjasama ini dimeterai dalam satu majlis rasmi bertempat di Casuarina Convention Centre, disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak. Turut hadir barisan kepimpinan utama negeri dan korporat termasuk YB Teh Kok Lim, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (Presiden & CEO TNB), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak (Ketua Eksekutif PKNPk), serta Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd.

Di bawah perjanjian ini, TNB akan memasang satu unit pengecas pantas DC 120kW (dengan muncung berkembar CCS2) dan dua unit pengecas AC 22kW, lengkap dengan tempat letak kereta khas EV, sistem pembayaran digital, dan akses 24 jam. Fasiliti ini akan beroperasi di bawah jenama Elektron, jenama pengecas EV rasmi milik TNB.

Menurut Menteri Besar Perak, kerjasama ini menjadi lambang kesungguhan negeri dalam mendukung inovasi dan pelaburan hijau. “Projek ini sejajar dengan matlamat Flagship 12 – Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui, yang memacu ekonomi berteraskan kelestarian serta penciptaan peluang pekerjaan,” ujar beliau.

Sehingga kini, Perak telah menyediakan 149 petak pengecas EV di 56 lokasi strategik – mewakili hampir 30% daripada sasaran 500 pengecas menjelang akhir 2025. Inisiatif terkini bersama Hotel Casuarina@Meru dijangka mempercepatkan lagi pencapaian ini.

Pengerusi Casuarina Meru, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, berkata inisiatif ini turut memperkukuh posisi hotel sebagai pelopor hospitaliti hijau. “Fasiliti pengecas kami merupakan yang terpantas dalam kalangan hotel-hotel di Ipoh dan memberi nilai tambah kepada tetamu yang mementingkan pengalaman lestari,” jelas beliau.

Majlis turut menyaksikan demonstrasi pengecasan langsung menggunakan Proton e.MAS, model EV keluaran nasional. Demonstrasi ini memberi gambaran menyeluruh kepada para hadirin mengenai kesesuaian infrastruktur dan kebolehgunaan teknologi tempatan.

Kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2025, menyumbang kepada sasaran nasional untuk mencapai 10,000 pengecas EV. Setakat ini, 36% daripada sasaran tersebut telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq, berkongsi bahawa pihaknya turut mengambil langkah tambahan untuk menyokong kelestarian antaranya pemasangan panel solar di bumbung Casuarina Convention Centre serta lampu jalan solar di Bulatan Sultan Azlan Shah.

Dengan komitmen PKNPk, pelaksanaan oleh Perak Corporation Berhad, dan kerjasama strategik seperti ini, Perak berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai negeri contoh dalam pelaburan hijau dan pembangunan ekonomi berdaya tahan.