Bantu pelarian Syria menerusi tabung Rayuan Musim Sejuk

MUSIM sejuk mungkin agak asing bagi kita di Malaysia, namun tidak di Syria.

Cuaca sebegitu sesungguhnya boleh menyebabkan kematian terutama kepada kanak-kanak dan bayi.

Memetik laporan agensi berita Aljazeera, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak dan bayi baru lahir maut akibat cuaca sejuk melampau dan hipotermia di timur laut Syria pada bulan Januari lalu.

Bagi membantu mereka yang terkesan dengan ancaman cuaca berkenaan, sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan antarabangsa, Islamic Relief Malaysia (IRM) melancarkan kempen Rayuan Musim Sejuk baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pihaknya menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM1 juta hingga 31 Januari 2020 untuk disalurkan kepada pelarian Syria yang berada di utara negara itu dan di Gaziantep sempadan Turki, selain penduduk yang terjejas akibat gempa bumi di Mirpur, Pakistan baru-baru ini.

Katanya, dana berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada 795 keluarga pelarian di Syria, 800 keluarga pelarian Syria di Turki dan 140 buah keluarga di Pakistan.

“Bantuan yang akan diberikan meliputi barangan bukan makanan seperti jaket/baju sejuk, stoking, kasut, selimut, tilam, kayu api, arang, kanvas dan plastik penebat haba.

“Keperluan itu amat penting bagi membantu mereka menghadapi cuaca sejuk yang boleh menjunam hingga paras negatif satu darjah celsius,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Menerusi kempen itu, jelas beliau, sebanyak tiga pakej sumbangan disediakan iaitu Protect with Love, Comfort with Love dan Stay Warm with Love bermula serendah RM200 hingga RM350.

“Orang ramai boleh memilih mana-mana pakej mengikut kemampuan masing-masing. Namun, kami tidak menghalang jika ada yang ingin menyumbang kurang atau lebih daripada pakej yang disediakan,” katanya.

Zairulshahfuddin berkata, saban tahun, kempen Rayuan Musim Sejuk menjadi kelaziman dilaksanakan oleh IRM untuk disalurkan kepada negara-negara yang mengalami musim sejuk meliputi rantau Timur Tengah, Asia dan Eropah Timur.

“Pada tahun ini, IRM memfokuskan kepada pelarian Syria di dalam negara itu dan sempadan Turki kerana mereka masih kekal terperangkap dalam konflik yang tiada noktah.

“Sementara, Mirpur, Pakistan pula terpilih susulan insiden gempa bumi yang melanda kawasan itu pada September lalu,” jelasnya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *