KUDIS buta ataupun lebih dikenali sebagai atau skabies, merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit.
Menyebabkan kudis, penyakit yang berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama itu juga dikenali sebagai ‘Sarcoptes Scabiei’.
Kutu itu pula merupakan sejenis parasit, iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk hidup lain dan merugikan hidupan yang ditumpangi.
Lebih tepat lagi, kutu yang membenamkan dirinya ke dalam kulit manusia dan mengakibatkan kudis buta itu adalah kutu betina spesis Sarcoptes scabiei.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2010 dianggarkan 130 juta penduduk dunia mengalami kudis buta.
Seramai 1.5 juta pesakit pula mengalami komplikasi tidak langsung seperti masalah jantung dan buah pinggang kesan daripada jangkitan kudis buta itu.
Mudahnya seseorang individu dijangkiti penyakit kudis buta sekiranya terdedah kepada kutu kudis walaupun tempoh masa yang singkat iaitu hanya dalam 15 hingga 20 minit!
Jika terdapat bilangan kutu kudis yang banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas, maka transmisi kutu kudis antara kulit juga boleh berlaku dalam jangka masa yang sangat cepat.
Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penyakit itu mampu mengundang komplikasi.
Pernah pada kejadian kes April tahun lalu, seramai 22 murid dan 11 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pekan, Kampar, Perak mengalami masalah kegatalan pada tangan dan kaki termasuk ada yang mengalami masalah kudis akibat serangan hama di sekolah berkenaan.
Akibat kejadian itu, murid yang berdepan masalah berkenaan dikuarantin di rumah mereka dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah sementara waktu.
Sejauh mana bahana kudis buta? Adakah semua dalam kalangan kita berisiko menghidapinya? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif minggu ini.
Kutu hidup di bawah kulit
SOFIA Abdullah, 39, sangat gusar berdepan keadaan anaknya, Hanif Alif Humaidi, 13, yang menghidap masalah gatal-gatal pada tubuh sejak seminggu lalu.
Akibatnya, remaja itu kerap menggaru terutamanya pada waktu malam. Hati ibu mana tidak risau melihat masalah kulit berbintik kemerahan pada si anak.
Ada garisan tertentu dan terdapat pula seakan ‘laluan’ berbentuk ‘S’ pada kulit yang terjejas.
“Hanif tidak tahan dengan keadaan gatal melampau yang ditanggung menyebabkan saya membawanya ke klinik. Doktor yang membuat pemeriksaan mendapati anak saya itu menghidap kudis buta.
“Padanlah seperti ‘ada benda’ pada kulitnya. Rupanya kutu ‘menumpang’ dan menjadi parasit hidup pada kulit,” cerita Sofia kepada Sihat:Aktif.
Beliau yakin Hanif mendapat jangkitan daripada rakannya kerana beberapa minggu sebelum itu terlibat dalam satu kem luar dan menghuni unit khemah yang sama.
Ya, penyakit kudis buta bukanlah kedengaran asing di cuping telinga kita.
Merupakan antara penyakit dermatologi (kulit) yang paling lazim di dunia, ia ‘popular’ khususnya di negara-negara membangun dan dunia ketiga seperti Malaysia.
Pada satu-satu masa, dianggarkan seramai 130 juta manusia menghidap keadaan itu.
Ramai bukan? Hakikatnya adakah semua kesan mengudis itu kudis buta?
Bagi menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Sihat:Aktif mendapatkan pandangan Pakar Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Adawiyah Jamil.
Membiak, bertelur
Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai scabies, merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan bintik merah seperti ruam terutama di tapak tangan dan kaki.
Penyakit kudis buta akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.
‘Istimewanya’ tentang penyakit itu, ia sangatlah mudah berjangkit dan dijangkiti melalui sentuhan langsung kulit seseorang dengan orang yang mengalami kudis buta.
Tidak hairanlah kita melihat seakan ada ‘makhluk’ menumpang pada kulit seseorang mempunyai kudis buta. Sebenarnya ia berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali sebagai ‘Sarcoptes Scabiei’.
Kutu tersebut merupakan parasit, iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada makhluk lain dan merugikan makhluk hidup yang ditumpanginya itu, kongsi Dr Adawiyah.
“Sarcoptes Scabiei perlu hidup di atas kulit manusia. Jika tidak berada di atas kulit manusia seperti jatuh ke lantai atau katil dan pakaian, ia hanya boleh hidup selama tiga hari dan kemudiannya akan mati.
“Bagaimanapun, jika pada kulit manusia, ia boleh hidup sehingga tiga bulan lamanya lalu membiak dan bertelur,” terangnya.
Boleh berlaku dan menjangkiti sesiapa sahaja, namun pasti ada sebabnya apabila penyakit kudis buta itu lebih tertumpu dalam negara-negara tidak membangun yang mempunyai iklim tropika yang panas.
Kanak-kanak kecil dan golongan tua dalam komuniti-komuniti miskin di negara-negara tersebut antara mangsanya!
Seperkara menurut Dr Adawiyah, pesakit yang pertama kali dijangkiti scabies, simptom yang akan berlaku adalah seperti:
– Rasa gatal
– Ruam
– Mengalami kesan-kesan calar pada permukaan kulit antara dua hingga empat minggu setelah scabies ‘menghinggapi’ pada kulit.
Pun demikian, untuk jangkitan kali kedua dan seterusnya dapat dilihat simptom yang sama tidak mengambil masa lama. Justeru bagaimana untuk mendiagnosis penyakit kudis buta itu?
Jangan keliru dek kebiasaan tampaknya seperti ekzema. Ruam scabies biasanya melibatkan celah-celah jari tangan dan kaki, ketiak, pusat, kawasan pinggang, kemaluan dan celah paha, manakala sangat jarang melibatkan muka dan kepala.
Parasit berkenaan boleh dilihat melalui mikroskop.
Doktor akan mengikis sedikit lapisan atas kulit dan membuat pemeriksaan di bawah mikroskop.
Menurut Dr Adawiyah, lazimnya diagnosis kudis buta itu dapat diperhatikan hanya dengan melihat dan menilai ciri-ciri klinikal (simptom dan tanda-tanda) yang ada pesakit.
ANTARA simptom kudis buta adalah mengalami kegatalan yang keterlaluan, ruam dan kesan calar pada permukaan kulit.
“Terdapat juga beberapa cara untuk memastikan kewujudan kutu-kutu Sarcoptes Scabiei ini pada kulit pesakit. Justeru, pemeriksaan doktor penting bagi memastikan keadaan pesakit agar rawatan yang tepat dapat diberikan.
“Biasanya scabies mudah didiagnosa oleh mana-mana doktor, tetapi pesakit sendiri tidak faham cara melakukan rawatan yang betul supaya lebih berkesan,” katanya kepada Sihat:Aktif.
Rawatan
Justeru rawatan yang dimaksudkan Dr Adawiyah membabitkan penggunaan ubat dan juga pencegahan jangkitan semula.
Ubat yang sering digunakan dalam rawatan kudis buta adalah ubat topikal (ubat sapuan pada kulit).
Jelas beliau, sebagai langkah pencegahan, orang yang berhubung rapat dengan pesakit (contohnya ahli keluarga yang tinggal dalam satu rumah) juga perlu dirawat bersama.
“Tip yang boleh diamalkan mandi dan lap seperti biasa. Sapu ubat dari leher ke hujung jari kaki dan tangan, diikuti badan. Pastikan setiap inci kulit dari leher ke bawah disapu dengan ubat.
“Tumpukan perhatian di celah-celah jari, ketiak, pusat, punggung serta kemaluan. Jangka masa ubat perlu melekat di kulit bergantung kepada jenis ubat yang digunakan.
Elakkan berpeluh kerana ubat akan tanggal dari kulit,” kongsi Dr Adawiyah lagi.
Kepada persoalan sekiranya perlu membasuh mana-mana bahagian badan, menurutnya ubat sapu sama perlu diratakan semula di kesemua bahagian terbabit.
Pada hari yang sama, basuh semua cadar, sarung bantal, selimut, tuala serta pakaian yang dipakai dalam tiga hari yang lepas dalam air panas 60 darjah Celsius.
Komplikasi tidak dirawat
Jangan pandang enteng soal rawatan. Komplikasi akan berlaku sekiranya kudis buta tidak dirawat dengan segera.
Lebih parah sekiranya ia menyebarkan jangkitan kepada isi rumah yang akan mengakibatkannya berlarutan. Seperti keadaan kesihatan dan penyakit-penyakit lain, sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penularan kuman kudis itu juga mampu bertambah keruh dan mengundang komplikasi.
“Sekiranya penghidap menggaru bahagian-bahagian badan yang gatal, kesan berterusan tindakan ini akan menyebabkan kulit terganggu. Ia boleh menyebarkan jangkitan bakteria akibat luka garu tersebut.
“Dalam pada itu, gangguan semasa tidur juga akan berlaku kerana kegatalan yang terjadi pada permukaan kulit pesakit,” kongsinya lagi.
Apa yang disimpulkan pakar itu, penting untuk kita menyedari tanda dan simptom-simptom jangkitan kudis buta, memahami profil pembiakan serta penularan kutu jahat tersebut.
Kegagalan untuk mengenalpasti simptom dan tanda jangkitan akan menyebabkan berlakunya kelengahan dalam mendapatkan rawatan, ataupun kemungkinan untuk tidak mendapatkan rawatan langsung.
Kudis buta boleh berjangkit semula.
Justeru amatlah penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut.
Kongsi barangan peribadi punca kudis buta
RATA-RATA daripada kita mesti selesa untuk berkongsi apa sahaja dengan teman rapat.
Baik makanan, pakaian, baju, dan semuanya boleh dikongsi.
Pun begitu, bukan semua benda boleh digunapakai bersama.
Secara peribadinya, hanya anda seorang sahaja boleh menggunakan satu tuala tanpa berkongsi dengan sesiapa pun.
Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kuala Lumpur, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim berkata, kuman sememangnya boleh berpindah melalui perkongsian tuala.
Keadaan itu akan lebih berisiko dan berbahaya jika seseorang itu sudah dijangkiti kuman kudis buta.
“Tuala adalah barangan peribadi yang sememangnya tidak boleh dikongsi sama ada dengan sahabat baik, keluarga mahupun sesiapa sahaja.
“Perbuatan perkongsian tuala boleh menyebabkan pemindahan kuman antara seorang individu kepada individu yang lain,” jelasnya kepada Sihat:Aktif.
Menurutnya, kutu kudis juga boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti cadar, selimut dan pakaian antara individu yang terjejas dengan yang lain.
Penyakit kudis buta juga boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung antara kulit ke kulit. Itu kerana kutu kudis yang berada di permukaan kulit tidak mampu terbang atau melompat dari permukaan kulit seseorang.
Oleh yang demikian, bahagian tangan merupakan bahagian yang pertama untuk dijangkiti kutu kudis.
Sekiranya terdedah kepada kutu kudis, seseorang individu boleh dijangkiti walaupun dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya dalam 15 ke 20 minit.
Jika terdapat bilangan kutu kudis yang banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas, maka transmisi kutu kudis antara kulit boleh berlaku dalam jangka masa lebih cepat.
Malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung-patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot. “Jadi, semua tanpa mengira peringkat umur boleh terdedah kepada jangkitan ini,” tambah Dr Sabeera lagi.
Katanya, kumpulan berisiko termasuk kanak-kanak berumur kurang 2 tahun, orang tua, pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah, pesakit yang tidak boleh bergerak atau lumpuh dan pesakit yang tinggal di pusat-pusat jagaan tertentu seperti rumah orang tua.
Menurutnya lagi, wabak jangkitan scabies biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti taska dan tadika, sekolah, asrama dan pusat-pusat penjagaan yang mana orang ramai kerap berhubungan dan berinteraksi antara satu sama yang lain.
Bagaimanapun, kutu kudis hanya mampu berkekalan dan terus hidup selama 24 hingga 36 jam setelah berpisah daripada makhluk yang ditumpangi. Kebanyakan kuman tidak boleh memasuki kulit yang normal.
Namun kuman tersebut akan berkumpul di permukaan kulit dan menunggu untuk berpindah kepada individu lain jika kita masih mengamalkan perbuatan ‘berkongsi’.
ANEKDOT
Cara merawat kudis buta:
Terdapat dua jenis rawatan:
1. Penggunaan losen khas.
Kudis buta hendaklah dirawat dengan membunuh punca kepada penyakit itu iaitu parasit Sarcoptes Scabiei.
Ubat yang selalu digunakan adalah dengan menggunakan losen antiscabies iaitu:
– Permetherin
– Benzyl benzoate
– Permethrin
Pesakit perlu menggunakan ubat itu sebelum tidur untuk selama beberapa hari.
Ia bertujuan untuk membunuh kuman tersebut. Pada waktu pagi, pesakit boleh membasuh kawasan yang disapu losen berkenaan.
Lakukannya selama satu minggu untuk membunuh semua parasit yang berada pada kulit pesakit.
Perlu diingatkan ahli keluarga ataupun kawan-kawan pesakit juga perlu dirawat untuk mengelakkan masalahnya merebak.
2. Penggunaan antibiotik.
Jika kawasan ruam tersebut telah dijangkiti, pesakit perlulah mengambil antibiotik untuk membunuh bakteria di kawasan tersebut.
Beberapa tanda bahawa terdapat jangkitan kudis terbabit:
– Kulit merah daripada biasa.
-Rasa sakit di kudis.
– Keluar nanah dari kudis.
– Demam yang tinggi jika bahagian jangkitan tersebut besar.
Faktor menyebabkan kelewatan penyembuhan:
– Sapuan losen yang tidak rata dan tidak meliputi semua kawasan kulit terlibat.
– Sapuan yang sedikit.
– Dijangkiti semula daripada orang terdekat yang mempunyai masalah sama.
– Parasit mungkin telah kebal dengan ubat yang digunakan.
Sumber: www.thediagnosa.com