METANOL merupakan sejenis alkohol yang biasa digunakan sebagai pelarut organik.
Metanol juga dikenali dengan nama lain iaitu metil alkohol, “wood alcohol” atau “spirit”.
Pada suhu bilik, metanol berbentuk cecair yang ringan, mudah meruap, tidak berwarna, mudah terbakar dan mempunyai bau yang unik iaitu sedikit manis dan ‘ringan’ daripada etanol (alkohol yang diminum).
Selain sebagai pelarut organik, dalam dunia industri, metanol juga digunakan untuk bahan pendingin anti beku, bahan pencuci cermin kereta, cecair karburetor, pencair cat, varnis, bahan bakar dan sebagai bahan aditif bagi industri etanol.
Penyebab
Keracunan metanol boleh disebabkan secara sengaja atau tidak disengajakan. Keracunan boleh disebabkan oleh meminum bahan mengandungi metanol dengan tujuan untuk membunuh diri, terdedah kepada metanol melalui persekitaran pekerjaan (melalui serapan pada anggota kulit atau saluran pernafasan) atau penyalahgunaan metanol sebagai bahan pembuat minuman keras.
Metanol digunakan tidak sebagai pengganti etanol kerana di samping harganya yang relatif lebih murah dan juga akibat bahaya yang dapat ditimbulkan oleh kedua-dua bahan tersebut, banyak yang beranggapan bahawa sifat dan fungsi metanol adalah sama.
Hal ini menyebabkan orang yang sudah ketagihan minuman keras dan tidak mampu untuk membelinya cenderung membuat atau membeli minuman keras yang tidak sah iaitu minuman keras yang dicampur dengan metanol.
Di dalam tubuh, metanol mudah diserap ke dalam badan, sama ada melalui kulit, saluran pernafasan atau oral. Metanol sendiri sebenarnya tidak berbahaya, yang berbahaya adalah hasil metabolitnya yang dapat menyebabkan masalah-masalah utama seperti pengumpulan asid di dalam darah (“metabolic acidosis”), kebutaan yang kekal serta kematian.
Gejala
Seseorang yang keracunan metanol mungkin tidak menunjukkan apa-apa gejala untuk tempoh satu hingga 72 jam. Gejala-gejala akan wujud dengan lebih cepat jika metanol diminum dalam kuantiti yang banyak dan adalah lebih lambat jika ia diminum dalam kuantiti yang sedikit atau ia diminum bersama dengan etanol.
Komplikasi seperti masalah buta boleh wujud walaupun dengan hanya meminum sebanyak lima hingga 10ml metanol dan berpotensi membawa maut jika diminum melebihi 30ml serta hampir pasti maut jika diminum melebihi 100ml.
Bagi kes keracunan metanol, berkemungkinan besar agak sukar untuk memperoleh diagnosisnya melalui riwayat pesakit, namun ia boleh disyaki jika seseorang pesakit itu mempunyai gejala-gejala seperti tidak sedarkan diri, masalah penglihatan atau masalah pengumpulan asid di dalam darah (“metabolic acidosis”) atau apabila seorang pesakit yang mempunyai pekerjaan yang berisiko tinggi terdedah kepada metanol.
Gejala-gejala awal adalah pesakit mempunyai masalah koordinasi dan imbangan badan, tahap kesedaran yang rendah dan kekeliruan. Selain daripada itu, pesakit boleh mempunyai gejala-gejala yang tidak spesifik seperti lemah tubuh badan, masalah pening, sakit kepala, rasa loya, muntah-muntah dan sakit perut.
Dalam kes yang serius, pesakit boleh datang dengan sawan dan dalam keadaan koma.
Lebih kurang 50 peratus pesakit akan mempunyai masalah penglihatan di samping dengan gejala-gejala di atas. Berkenaan dengan masalah penglihatan, pesakit akan mempunyai penglihatan yang kabur atau ternampak bintik-bintik kuning dalam penglihatan atau mempunyai sakit mata apabila melihat cahaya. Pesakit juga boleh datang dengan masalah kebutaan.
Komplikasi
Selain daripada gejala-gejala di atas, pesakit yang mengalami keracunan metanol boleh mendapat komplikasi seperti kegagalan pernafasan, kegagalan jantung dan kegagalan buah pinggang.
Prognosis keracunan metanol adalah berkait rapat dengan tahap keseriusan masalah pengumpulan asid di dalam darah (“metabolic acidosis”), tempoh untuk hadir ke hospital dan tempoh masa rawatan dimulakan iaitu dalam tempoh 8 jam daripada pengambilan metanol.
Prognosis lebih teruk jika pesakit datang dalam keadaan koma atau sawan.
Pesakit yang selamat boleh mempunyai masalah kebutaan yang kekal dan masalah saraf seperti masalah untuk berjalan dan bergerak (parkinsonisme), masalah saraf periferi, masalah untuk berfikir, masalah untuk menumpukan perhatian, masalah ingatan dan sawan.
Rawatan
Dalam apa-apa kes keracunan, perkara yang paling penting adalah memastikan fungsi pernafasan dan jantung stabil dan sempurna.
Jika pesakit terdedah kepada metanol, sama ada melalui mata, kulit atau oral, pastikan pesakit dialihkan ke tempat selamat dan jauh dari punca keracunan.
Jika terkena mata, mata perlu dicuci dengan air paip yang banyak dan berterusan selama paling kurang 15 minit dan segera untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Jika pesakit mengalami kesukaran bernafas, beri bantuan oksigen, guna alat bantuan pernafasan jika keadaan memerlukan dan dengan segera pergi dapatkan rawatan perubatan.
Jika pesakit terminum, jangan memaksa pesakit untuk muntah dan dengan segera pergi dapatkan rawatan perubatan.
Tujuan utama dalam rawatan keracunan metanol adalah untuk mengelakkan metanol diubah oleh badan kepada bahan yang berbahaya dan juga untuk menyahkan bahan yang berbahaya itu dari badan.
Bagi tujuan itu, penawar (“antidote”) yang efektif perlu diberikan kepada pesakit iaitu etanol atau fomepizole. Ia perlu diberikan secepat mungkin sebaik sahaja pesakit tiba di hospital bagi tujuan rawatan.
Rawatan hemodialisis digunakan untuk mempercepatkan proses menyahkan bahan yang berbahaya daripada badan.
Pencegahan
Menggunakan peralatan perlindungan diri yang lengkap apabila bekerja di persekitaran yang mengandungi metanol.
Menghapuskan penghasilan, penyeludupan dan penjualan minuman keras yang tidak sah dan tercemar melalui penguatkuasaan undang-undang.
Pendidikan yang berterusan dan efektif kepada pengguna berkenaan dengan bahayanya minuman keras yang tidak sah dan tercemar.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my