Auto Bavaria, pengedar sah terbesar bagi BMW Group di Malaysia, dikenali kerana komitmennya terhadap inovasi dan kecemerlangan. Syarikat automotif ini terus menyokong usaha negara dalam peralihan ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan pintar. Dengan kerjasama ini bersama AFFIN, sebuah institusi kewangan yang komited kepada pemuliharaan alam sekitar, Auto Bavaria bersedia untuk mempercepatkan dan memperluaskan capaian kemudahan pengecasan EV di seluruh negara.
Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, menyatakan, “Kami di Auto Bavaria percaya bahawa kenderaan elektrik akan memainkan peranan utama dalam pengangkutan masa depan. Kerjasama ini dengan AFFIN adalah bukti kesungguhan kami untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur EV dan menyokong peralihan Malaysia ke ekonomi rendah karbon. Bersama-sama, kami ingin memberi kuasa kepada pemandu untuk membuat pilihan pengangkutan yang lebih bertanggungjawab dan mengurangkan jejak karbon mereka dalam pemilikan kenderaan.”
Datuk Wan Razly Abdullah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, turut menyuarakan kegembiraannya dengan projek pengecasan EV yang bakal dilaksanakan. Beliau menekankan betapa pentingnya kerjasama jangka panjang dengan Auto Bavaria dalam mencapai matlamat kelestarian. “Kerjasama ini menunjukkan komitmen teguh AFFIN terhadap agenda ESG, yang memberi impak positif untuk masa depan, serta menawarkan pengalaman pelanggan yang memuaskan. Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Strategi AX28 kami, yang memfokuskan kepada ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ dan ‘Perbankan Bertanggungjawab dengan Kesan Bermakna’.”
Beliau menambah lagi, “Dengan menggunakan kepakaran kami dalam pembiayaan kenderaan, kami komited untuk menjadikan EV lebih mudah diakses. Pelanggan kini boleh meneroka pelbagai pilihan pembiayaan EV yang kami tawarkan, memudahkan proses pembelian dan memastikan EV lebih mampu dimiliki. Kami percaya ini akan memudahkan proses pemilikan EV dan membantu peralihan ke arah pengangkutan yang lebih lestari.”
Kerjasama ini akan menyaksikan pemasangan tujuh unit Pengecas AC dan satu unit Pengecas DC di stesen pengecas EV Menara AFFIN, Tun Razak Exchange, yang merupakan pusat kewangan antarabangsa di Malaysia. Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mesra alam, kedua-dua organisasi ini mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan yang lebih lestari dan gaya hidup pintar dalam kalangan rakyat Malaysia.