Dunia Islam berbangga memiliki Tun Dr Mahathir Mohamad, Joko Widodo dan Recep Tayyip Erdogan sebagai pemimpin sejati yang sentiasa mencari pendamaian
TUN DR. MAHATHIR merupakan tokoh yang ampuh. Energi positif yang merajai diri dan keandalannya sebagai pemimpin menjadikan beliau sungguh luar biasa.
Kepada mereka yang menjangkau usia persaraan, sisa-sisa hidup mahu dimanipulasikan sebaiknya.
Namun, bagi Dr Mahathir, kalau duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa, ia seperti tidak kena. Lihat sahaja ucapan beliau sempena Aidilfitri tahun lalu. Figura itu memperlihatkan ketekunannya menerusi kata-kata yang bernilai: “Esok kita akan berhari raya tetapi hari terakhir ini, saya masih bertimbun kerja dan terpaksa kerja sampai petang. Tak boleh rehat.”
Sesungguhnya, teras dan prinsip itu payah untuk diduplikasi oleh sesiapa. Andai bumi terbelah dua sekalipun, tiada pemboleh ubah yang dapat menghalang negarawan bernama Dr Mahathir untuk terus berbakti. Beliau tidak bersendirian melakukan itu sebaliknya jutaan rakyat mengiringinya.
Jika mahu diselak risalah jasanya, memang sarat. Namun, simbolik kehadirannya sebagai pemimpin nombor satu negara sekali lagi pada usia 93 tahun, sudah cukup memberi justifikasi bermakna kepada kita rakyat Malaysia.
Beliau bersungguh. Beliau juga tidak mampu mencegah dirinya daripada terus berfikir demi tanah air tercinta. Dunia pula melihat beliau sebagai penyelamat dan hero rakyat.
Baru-baru ini, nama Dr Mahathir dijulang pada tahap tertinggi. Beliau dinobatkan sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia oleh penerbitan The 500 Most Influential Muslims edisi 2019 lantaran kecemerlangannya dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin.
The 500 Most Influential Muslims adalah penerbitan tahunan yang mengiktiraf tokoh-tokoh beragama Islam di seluruh dunia yang melakukan perubahan signifikan dari segi budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang-bidang lain.
Ia diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre yang berpusat di Jordan.
Memetik kenyataan Ketua Editornya, Prof S Abdallah Schleifer, Dr. Mahathir satu dalam sejuta.
Katanya, ketokohan dan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum sebanyak lima kali berturut-turut berjaya membawa Malaysia ke arah pemodenan serta pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Negara jiran pernah gerun dengan ledakan ekonomi negara (1981-2003) sehingga Dr Mahathir digelar ‘Harimau Asia’. Abdallah turut kagum dengan peranan Perdana Menteri dalam Dasar Ekonomi Baru yang menyaksikan keistimewaan orang Melayu terus terpelihara.
Naratif perjalanan Dr Mahathir terus membengkar. Masakan tidak, pada tahun 2017, beliau mendaftar parti baharu dan kemudian menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH). 8 Januari 2018, PH mengumumkan beliau sebagai calon Perdana Menteri. Tanggal 10 Mei 2018, hasrat itu direalisasikan.
“Beliau individu luar biasa dengan kerjaya politik penuh dinamik selama 70 tahun dan pengarang kepada 17 buku,” kata Abdallah dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh semua media antarabangsa.
Ya, Islam terus utuh pada era Dr Mahathir. Lihat ketegasan beliau untuk tidak membenarkan atlet Israel datang ke negara ini. Beribu-ribu helaian kertas rasanya untuk menulis tentang sumbangan ilmuan hebat ini terhadap Islam.
Namun, saya mengajak anda untuk menghayati frasa tentang komitmen Dr Mahathir ketika pertemuannya dengan 37 ulama dan cendekiawan Islam tahun lalu. Ucapnya: “Kita sudah tiada jalan lain untuk menjadi umat Islam yang berjaya melainkan membaca al-Quran.”
Adaptasi Jokowi
Rakan kepada Dr Mahathir, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi turut tersenarai lagi dalam The 500 Most Influential Muslims 2019.
Kepada Tribun News, Perdana Menteri pernah memberi komentar terhadap Jokowi dengan berkata: “Sekarang di bawah kepemimpinan Jokowi, Indonesia kali pertama lebih maju daripada Malaysia. Ini disebabkan kerana diurus oleh orang yang faham ekonomi. Indonesia bukanlah sebuah negara yang mudah, terdapat 17,000 pulau.”
Suara hati Dr Mahathir itu memang indikasi tepat melambangkan anak tukang kayu yang berusia 58 tahun itu. Pada era pemerintahan Jokowi bermula pada 20 Oktober 2014, ekonomi Indonesia stabil. Kadar pengangguran lebih rendah dan peratusan kemiskinan merosot ke paras 10 peratus.
Berdasarkan satu penulisan, seorang grafologi telah menterjemahkan peribadi mantan Datuk Bandar Surakarta berdasarkan tulisan tangannya.
Grafologi itu, Kusuma Prabandari merumuskan, Presiden Indonesia ke-7 itu sebagai individu yang mudah beradaptasi. Jokowi juga disifatkan seorang yang kreatif, mempunyai intuisi yang tajam, memiliki emosi yang stabil, rendah hati, bekerja secara struktur serta menetapkan tujuan yang pasti dalam melaksanakan sesuatu.
Seperkara, beliau disifatkan berani berhadapan dengan masa depan. Pernyataan itu ada kebenarannya. Pertimbangan paling signifikan ialah kepimpinannya terhadap 250 juta penduduk Indonesia yang majoriti beragama Islam. Kata seorang sarjana Indonesia, pemilihan Jokowi dalam carta The 500 Most Influential Muslims 2019 menunjukkan beliau adalah pemimpin Islam yang diperakui dunia.
“Jokowi bukanlah seorang ulama tetapi jelas, apa yang dilakukan menunjukkan sumbangannya kepada kemajuan Islam. Dunia mengakui kepiawaiannya memimpin Indonesia. Penghargaan itu juga dengan tegas membantah persepsi sebahagian pihak yang menyatakan Jokowi anti-Islam,” katanya.
Terkini, Jokowi sedang mempergiatkan kempen pilihan raya Presiden Indonesia. Beberapa tinjauan menunjukkan beliau sedang mendahului pencabar tunggalnya, Prabowo Subianto. Keputusan rasmi akan diketahui pada 17 April depan.
‘Singa’ Islam
Seorang lagi pembela Islam yang tersenarai ialah Recep Tayyip Erdogan. Beliau digelar ‘Singa’ Islam. Kelantangannya bukan calang-calang. Siapa berani melawan cakap Donald Trump? Siapa lagi yang tidak gentar menghambat kecaman ke atas Israel? Erdoganlah orangnya.
TIME yang merupakan majalah terkemuka dunia pernah menyenaraikan beliau sebagai 100 pemimpin paling berpengaruh seantero dunia tahun 2016 dan 2011.
Langkah-langkah politik Erdogan begitu unggul. Barangkali kejadian dirinya mengkritik secara tajam Presiden Israel, Shimon Peres yang duduk bersebelahan dengannya pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland masih berbekas.
Kepada bekas Presiden AS, Barack Obama hingga ke Trump, Erdogan meminta agar AS mengakui hak berdaulat rakyat Palestin. Turki juga sanggup memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebaik Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu negara Israel.
Bukan itu sahaja, Erdogan, 65, tidak pernah tunduk dengan tekanan Trump untuk membebaskan paderi AS, Andrew Brunson yang ditangkap di Turki. Sebagai balasan, Turki dikejutkan dengan kejatuhan wang Lira sebaik Trump menaikkan cukai logam dan aluminium. Apabila Erdogan yakin ALLAH itu Maha Esa, ayat-ayat ini bercerita tentang keberaniannya. “Serangan ke atas ekonomi kami sama sekali tiada bezanya serangan terhadap bendera dan laungan azan. Bagi sesiapa yang berfikir mereka boleh membuatkan Turki tunduk dengan serangan ini, mereka sebenarnya silap.”
Selain Palestin, emosi Erdogan terusik dengan nasib etnik Rohingya yang ditindas. Mantan Datuk Bandar Istanbul itu dikatakan telah menghubungi Aung San Suu Kyi dengan mengutuk pelanggaran hak asasi kaum minoriti Myanmar itu.
Cubaan rampasan kuasa oleh Fethullah Gullen Terrorist Organization pada tahun 2016 membuktikan betapa lebih 80 juta rakyat Turki mengagumi Erdogan. Ankara dipenuhi dengan orang ramai yang mempertahankan kudeta berdarah dengan berbekal alatan dapur sebagai senjata.
Sesungguhnya, sama ada Erdogan, Dr Mahathir mahu pun Jokowi, ketiga-tiganya adalah refleksi kepada kebangkitan dan kekuatan Islam. Mereka bertiga tidak haus dengan kekuasaan. Kepimpinan mereka sama, berpaksikan kepada ajaran suci Islam. Berdoalah agar mekanisme dan kredibiliti mereka diwarisi oleh pemimpin dalam pembikinan bagi meneruskan membina legasi dan ketamadunan agama suci ini.