Astro memperkenalkan sebuah program realiti baharu berjudul Raise The Star Malaysia, sebuah pertandingan muzik digital pertama seumpamanya yang mengetengahkan pendekatan inovatif dalam pencarian bintang nyanyian masa depan. Program ini menggabungkan lima komposer ternama tanah air Ajai, Aina Abdul, Shila Amzah, Audi Mok dan Ikhwan Fatanna yang akan berperanan sebagai mentor dalam mencari suara terbaik bagi menghidupkan karya-karya asli mereka.
Daripada ribuan penyertaan yang diterima, hanya 30 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai pertandingan yang penuh cabaran selama lapan minggu. Peserta akan dinilai menerusi kombinasi markah juri profesional serta undian peminat secara dalam talian. Peserta dengan markah tertinggi berpeluang kekal sehingga ke pentas akhir dan berpeluang untuk dipilih menyanyikan lagu ciptaan eksklusif komposer-mentor masing-masing.
Uji bakat terbuka secara dalam talian telah bermula dari 1 hingga 8 Mei 2025 melalui media sosial dengan penggunaan tanda pagar rasmi #RaiseTheStarMY. Sementara itu, sesi uji bakat fizikal akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2025 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bermula jam 8 pagi. Uji bakat ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang memiliki bakat nyanyian dan personaliti menarik.
Raise The Star Malaysia akan mula bersiaran pada 22 Jun 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), serta boleh distrim menerusi Astro GO, On Demand, sooka dan platform digital Astro Gempak. Sepanjang pertandingan, peserta juga akan menerima tunjuk ajar secara langsung daripada barisan komposer yang akan bertindak sebagai mentor peribadi mereka.
Program ini turut disokong oleh penaja utama, U Mobile, yang komited dalam memperkasakan bakat baharu dalam dunia hiburan digital.Untuk maklumat lanjut dan cara menyertai uji bakat, sila layari: http://gempak.com/raisethestar