Kolektif dan label AntiNRML secara rasmi memperkenalkan satu figura baharu yang sebelum ini diselubungi misteri, dikenali sebagai Riku. Kemunculan projek ini menandakan langkah terkini AntiNRML dalam memperluas spektrum muzik mereka dengan mengetengahkan eksplorasi Emo Rave yang sarat dengan identiti tersendiri. Elemen agresif dan eksperimental turut disuntik menerusi sentuhan HipDut yang menjadi ciri khas pendekatan AntiNRML.
Riku memulakan kemunculan rasminya pada tahun 2026 di bawah payung AntiNRML, digagas oleh JVSAN bersama kirohta sebagai sebuah ruang ekspresi emosi yang lebih gelap, liar dan berani. Projek ini hadir berbeza daripada karya-karya terdahulu, menampilkan sisi yang lebih konfrontasional dan bebas tanpa batasan genre konvensional.
Secara konsep, Riku merupakan alter ego bayangan kepada JVSAN, sebuah manifestasi kepada kemarahan, kekacauan dan intensiti emosi yang terpendam. Jika JVSAN dikenali melalui karya R&B yang bersifat soulful dengan tema kerapuhan dan patah hati, Riku pula tampil sebagai sisi gelap yang meledak, dipacu oleh bunyi terdistorsi, rentak berat serta melodi menghantui yang bertembung dalam satu landskap muzik yang kasar dan mentah.
Nama Riku diilhamkan daripada watak dalam siri Kingdom Hearts, iaitu seorang figura yang tenggelam ke dalam kegelapan dan beralih menjadi antagonis. Selari dengan simbolisme tersebut, Riku mencerminkan kejatuhan dalaman JVSAN ke dalam kekosongan emosi, menjelmakan refleksi gelap yang hidup melalui kemarahan, pemberontakan dan luahan emosi tanpa tapisan.

Jika karya JVSAN berbicara tentang kesedihan dan melankolia, muzik Riku pula hadir sebagai jeritan. Ia menjadi saluran katarsis buat individu yang sedang berhadapan dengan konflik dan demon peribadi, menzahirkan dualiti antara cahaya dan luka di satu sisi, serta amarah dan kegelapan di sisi yang lain. Kedua-duanya saling melengkapi dalam perjalanan artistik yang lebih luas.
Projek Riku merupakan sebahagian daripada pencarian kebebasan ekspresi JVSAN dalam dunia muzik. Ia menzahirkan kepercayaan untuk terus menghasilkan karya yang imaginatif, tidak konvensional dan jujur, walaupun berdepan risiko untuk tidak diterima sepenuhnya oleh arus perdana.
Sebagai pembuka tirai, Riku tampil dengan single sulung berjudul “STFU” yang dilancarkan pada tahun 2026. Lagu ini mengangkat realiti sikap segelintir individu yang gemar berbicara di belakang tanpa memahami fakta sebenar, menyebarkan naratif palsu serta menabur kebencian. Dengan pendekatan yang terus terang dan tanpa kompromi, mesej lagu ini disampaikan secara lantang dan jelas.
Melalui kolaborasi antara Riku dan kirohta, kemarahan diterjemahkan ke dalam susunan muzik yang brutal namun teratur. Komposisi dinamik kirohta bergabung dengan vokal Riku yang meledak, menghasilkan sebuah karya yang terasa seperti letusan emosi di tengah lantai rave. “STFU” bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya menjadi pernyataan sikap dalam menentang kebisingan, kepalsuan dan penghakiman yang lahir daripada ketidaktahuan.