Amsyar Lee Wakili Malaysia Dalam Pertandingan Nyanyian Antarabangsa “Sing! Asia”

Penyanyi berbakat besar tanah air, Amsyar Lee, kini melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan realiti nyanyian serantau, Sing! Asia yang disiarkan menerusi platform penstriman popular, iQIYI.

Pertandingan yang menghimpunkan barisan peserta berpengalaman dari pelbagai negara seperti China, Jepun, Vietnam, Singapura, Thailand dan lain-lain ini menawarkan format kompetitif yang berbeza setiap minggu, termasuk cabaran menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin.

“Episod pertama baru sahaja ditayangkan, dan saya bersyukur menerima maklum balas positif daripada penonton. Banyak cabaran yang perlu ditempuhi, tetapi pengalaman yang diraih amat berharga. Saya anggap ini sebagai permulaan yang baik untuk kerjaya saya pada tahun ini, walaupun saingan sangat hebat dari pelbagai negara,” kata Amsyar.

Menurut Amsyar, sejak menerima tawaran menyertai program tersebut, beliau berasa amat teruja dan menganggap ini sebagai peluang untuk mencabar diri ke peringkat antarabangsa serta membuktikan kemampuan vokalnya di pentas yang lebih besar.

Meskipun pertandingan ini baru menemui penonton, proses rakaman telah dijalankan sejak Februari lalu melibatkan lokasi di beberapa negara termasuk China, Jepun, dan Hong Kong. Amsyar turut berkongsi bahawa cabaran terbesar yang dilaluinya adalah menyampaikan lagu dalam bahasa yang tidak dikuasainya.

“Nyanyian dalam bahasa Mandarin merupakan satu cabaran besar buat saya. Dari segi sebutan, emosi dan penyampaian, semuanya perlu dilakukan dengan lebih teliti. Lagu-lagu yang saya bawakan juga bukan mudah semuanya berat dan penuh emosi. Tapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan pada orang lain, tapi diri saya sendiri,” ujarnya.

Penyanyi lagu Belai itu turut mengakui bahawa rasa gemuruh dan kebimbangan apabila berada di atas pentas menjadi cabaran peribadi yang paling sukar diatasi.

“Saya ada stage fright dan anxiety, tapi saya lawan semua itu sebab saya tahu setiap langkah kecil ke depan adalah satu kemenangan buat diri saya. Saya tidak mahu sia-siakan peluang ini,” jelasnya.

Dalam tempoh rakaman di luar negara, Amsyar turut berdepan dengan cabaran cuaca, terutamanya ketika berada di China yang mengalami musim sejuk sehingga menjejaskan keselesaan tekak dan suaranya. Di samping itu, mencari makanan halal turut menjadi antara cabaran harian yang perlu diatasi.

“Keadaan cuaca yang sejuk memberi kesan kepada suara saya, dan saya perlu sangat berhati-hati dalam memilih makanan untuk kekal sihat sepanjang penggambaran,” katanya.

Namun begitu, pengalaman bekerja dengan produksi antarabangsa telah membuka mata dan memberikan nilai tambah buat Amsyar dari sudut teknikal dan ekspresi vokal.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan tenaga produksi luar negara yang sangat profesional dan berpengalaman. Mereka banyak membantu saya memperkemas persembahan,” tambahnya.

Sebagai wakil Malaysia, Amsyar berharap dapat melangkah ke peringkat akhir dan memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama negara.

“Saya mahu buka mata ramai bahawa suara ini adalah suara anak Malaysia. Walaupun ada yang kurang selesa dengan gaya persembahan saya, saya percaya setiap suara ada tempatnya. Perjalanan saya masih jauh, tapi selagi ada sokongan, doa dan semangat, saya akan terus melangkah ke depan,” katanya penuh semangat.