Alamanda Putrajaya Kekal Komited Dalam CSR, Raikan Ramadan & Syawal Bersama YAYAKEM

Sempena keberkatan Ramadan dan kemeriahan Syawal, Pusat Beli-belah Alamanda Putrajaya terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyebarkan kegembiraan kepada anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih (YAYAKEM).

Seramai 41 orang anak-anak YAYAKEM berusia 9 hingga 12 tahun diraikan dalam satu program istimewa yang memberi mereka peluang untuk memilih sendiri pakaian dan kasut raya baharu, ditaja oleh rakan niaga seperti Bata. Keceriaan mereka semakin bertambah apabila setiap seorang turut menerima sumbangan duit raya daripada Alamanda dan TUCZ.

Menjadikan acara lebih bermakna, anak-anak YAYAKEM turut diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama para media, tetamu kehormat serta pengurusan Alamanda, mencipta kenangan indah sempena Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Menurut Francis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, “Sebagai pusat beli-belah utama di Putrajaya, Alamanda komited untuk terus menyemai nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam komuniti. Kami berharap melalui inisiatif ini, anak-anak YAYAKEM dapat merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal, sama seperti kanak-kanak lain.”

Naib Yang Dipertua YAYAKEM, Encik Muhammad Hanafi Bin Jalalludin, turut menyampaikan penghargaan kepada Alamanda atas usaha murni ini yang membolehkan anak-anak di yayasan tersebut menikmati sambutan Aidilfitri yang lebih bermakna tahun ini.

Sebagai tambahan kepada program CSR, Alamanda turut memeriahkan suasana Aidilfitri dengan kempen Hari Raya 2025 bertemakan Maghribi. Hiasan menarik di Centre Court menampilkan gabungan rona biru diraja dan emas, mencipta suasana mewah dan eksklusif. Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian Zapin dan Tarian Arab pada hujung minggu serta aktiviti ‘Moroccan Glass Painting’ khas untuk ahli VIKids.

Bagi menambah keceriaan sambutan, pelanggan yang berbelanja RM700 dan ke atas layak menerima satu set Sampul Raya dan balang kuih kaca, manakala pembelian bernilai RM1,500 dan ke atas akan menerima tambahan e-Baucar Alamanda bernilai RM50.

Selain itu, kempen ini juga menyokong kesedaran kesihatan mental melalui jualan ‘Green Ribbon Pin’ yang tersedia sepanjang tempoh promosi. Untuk maklumat lanjut dan terkini, layari www.alamanda.com.my atau kunjungi www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre.