AL-QURAN merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.
Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam ALLAH itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
ALLAH SWT berfirman: “Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (Surah al-Jathiyah, ayat 20)
Ketahuilah bahawa membaca al-Quran mengandungi fadilat besar yang sukar untuk ditolak oleh sesiapa pun.
ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka.
Bagaimana ukuran banyaknya pahala? Sebenarnya, pahala membaca al-Quran itu bukan hanya dikira berdasarkan keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap huruf itu diberikan ganjaran dengan 10 pahala.
Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipat gandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi)
Nilai Rahmah
Seperkara lagi, perlu diketahui bahawa dalam al-Quran terkandung pelbagai mesej dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang dapat dihayati oleh umat Islam.
Pemahaman terhadap nilai-nilai dan mesej RAHMAH itu akan dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha kita menterjemahkan Islam sebagai agama rahmah dalam kehidupan.
DALAM al-Quran juga mengandungi nilai-nilai rahmah yang boleh menjadi panduan kepada kehidupan kita.
Misalnya, ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama dan bertolak-ansur.
Islam juga agama yang mengajak supaya manusia bersikap adil dan ihsan kepada sesama manusia.
ALLAH SWT berfirman: “Dengan (al-Quran) itu ALLAH menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-NYA dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-NYA; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah, ayat 15)
Walaupun berdepan cabaran untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat kepada al-Quran, namun usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyarakat Islam bermula daripada keluarga kita sendiri.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, pelbagai inisiatif membudayakan al-Quran dalam kehidupan telah dilaksanakan.
Ia termasuklah melalui penganjuran secara Majlis Tilawah dan Mengafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan secara tahunan dan aktiviti-aktiviti kelas pengajian al-Quran sama ada di masjid atau surau seluruh Wilayah Persekutuan serta pendidikan awal di sekolah-sekolah agama peringkat rendah.
Usaha seperti itu begitu signifikan untuk memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam.
Aktiviti-aktiviti menyampaikan mesej keindahan Islam melalui penghayatan al-Quran itu juga boleh diperluaskan kepada masyarakat bukan Islam agar golongan berkenaan juga dapat menikmati keindahan dan nilai rahmah Islam.
Apapun, program penghayatan al-Quran perlu terus disemarakkan serta disebar luaskan kepada semua pihak dan golongan masyarakat dalam mendaulatkan kitab suci al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang Muslim.
Sesungguhnya, inisiatif berkenaan dapat mengembangkan lagi syiar Islam, malah al-Quran mampu menghidupkan jiwa, mendidik rohani dan membangunkan minda selari dengan fitrah manusiawi.
***Disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2020M pada 21-23 Januari 2020 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.