Aktiviti pasaran harta tanah turun 5.7 peratus suku pertama 2023

AKTIVITI pasaran harta tanah direkodkan menurun sebanyak 5.7 peratus pada suku pertama (S1) 2023, sekali gus menunjukkan pelancaran kediaman baharu juga berkurangan hampir 4,700 unit berbanding tahun sebelum ini.

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan Malaysia berkata, ia kerana faktor bermusim dalam pembelian rumah yang lazimnya rendah semasa awal tahun.

Ujarnya, selain itu, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang menurun pada S1 2023 iaitu 99.2 mata manakala S1 2022 pula 108.9 mata adalah antara faktor yang menyumbang kepada penurunan aktiviti pasaran kediaman khususnya.

“Lebih daripada 89,000 transaksi bernilai RM42.31 bilion direkodkan pada S1 2023. Ini menunjukkan penurunan aktiviti pasaran sebanyak 5.7 peratus berbanding S1 2022 tetapi jumlah nilai transaksi meningkat sedikit 0.8 peratus.

“Penurunan aktiviti di subsektor harta tanah kediaman dan pertanian masing-masing pada kadar 6.6 peratus dan 12.5 peratus berbanding tahun lalu memberi kesan ke atas prestasi pasaran harta tanah keseluruhan.

“Penurunan ini diimbangi oleh peningkatan aktiviti di subsektor perdagangan dan tanah pembangunan, masing-masing meningkat 14.5 peratus dan 2.8 peratus di dalam bilangan serta 22.1 peratus dan 30.4 peratus di dalam nilai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut agensi itu, penurunan pelancaran kediaman baharu itu adalah seiring dengan penurunan jumlah lesen pemaju, permit dan iklan jualan perumahan baharu serta pembaharuan yang diluluskan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.

Maklumnya, daripada 5,641 lesen (Januari dan Februari 2022) kepada 2,911 lesen (Januari dan Februari 2023).

“Johor mencatat jumlah pelancaran baharu tertinggi negara sebanyak 2,077 unit iaitu kira-kira 45 peratus daripada jumlah seluruh negara, dengan prestasi jualan 24.9 peratus. Selangor menawarkan jumlah kedua tertinggi (791 unit, 17.0 peratus syer) dengan prestasi jualan iaitu 37.0 peratus.

“Pelancaran baharu berharga RM300,000 dan ke bawah berjumlah 1,193 unit (25.6 peratus) mencatat prestasi jualan 20.2 peratus (242 unit) manakala RM500,000 dan ke atas berjumlah1,986 unit (42.6 peratus) merekodkan prestasi jualan lebih baik iaitu hampir 54.0 peratus,” katanya.

Sumber