Kuala Lumpur bakal menyaksikan ‘rampasan kuasa’ muzik terbesar tahun ini apabila kumpulan rock berpengaruh, Akim & The Majistret, tampil dengan konsert solo pertama mereka yang diberi judul Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur. Konsert yang amat dinantikan ini akan berlangsung pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Judul ‘Rampas Kuala Lumpur’ bukan sekadar gimik, tetapi diangkat terus daripada lagu hit mereka, Rampas, yang menjadi simbol semangat, kekuatan, dan keunikan muzik mereka. Dengan lebih 20 buah lagu bakal dipersembahkan secara langsung, konsert ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi satu deklarasi rasmi bahawa Akim & The Majistret bersedia untuk menakluk industri muzik tanah air.
Konsert ini menampilkan naratif artistik yang luar biasa, diinspirasikan oleh konsep rampasan kuasa muzik. Akim tampil sebagai Komander Akim, manakala anggota band yang lain berperanan sebagai Tentera Majistret – barisan pemuzik elit yang menyatukan kekuatan mereka dalam satu misi utama: merampas Kuala Lumpur dengan gelombang muzik rock. Menariknya, konsert ini mengangkat peminat sebagai sebahagian daripada pasukan melalui watak Perisik Majistret. Setiap pemegang tiket secara automatik dilantik sebagai Perisik Majistret yang akan membantu menjayakan misi rampasan dari dalam melalui sorakan, nyanyian dan penglibatan aktif semasa persembahan. Beberapa misi istimewa juga akan diumumkan kepada para Perisik menjelang tarikh konsert.
Sebagai rakan kreatif rasmi konsert, Racus Studio mengetengahkan pendekatan konsep ini bukan sahaja sebagai strategi promosi tiket, tetapi untuk mencipta pengalaman yang lebih mendalam dan berkesan. Melalui konsep ini, penonton bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi sebahagian daripada naratif utama konsert. Segala butiran persembahan termasuk susunan lagu, tema pentas, dan kejutan khas hanya akan didedahkan pada malam konsert eksklusif untuk mereka yang bergelar Perisik Majistret.
Harga tiket bagi konsert ini ditawarkan dalam tiga kategori iaitu CAT1 – Saksama (Rockzone) berharga RM189, CAT2 – Potret (VIP Seating) pada RM249 (telah habis dijual), dan CAT3 – Mewangi (Normal Seating) berharga RM159. Tiket boleh didapati di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/rampas dengan pelbagai pilihan pembayaran termasuk kad debit/kredit, perbankan internet (FPX), serta perkhidmatan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) melalui Atome dan SPayLater.
Akim & The Majistret merupakan kumpulan muzik ‘all-star’ yang dibarisi pemuzik terkenal tanah air seperti Akim Ahmad (vokalis), Wan dari 6ixth Sense (dram), Freddy dari Hyper Act (gitar), Fairuz dari Sofazr (bass), Afiez Azam dari New Boyz (keyboard), serta Gjie dan Zimi masing-masing dari 6ixth Sense dan Sofazr (gitar). Setiap anggota membawa latar belakang muzik tersendiri, menjadikan Akim & The Majistret sebuah kumpulan yang mantap dari segi persembahan dan susunan muzik.
Dengan kejayaan lagu-lagu ikonik seperti Potret, Mewangi, Obses dan Rampas, kumpulan ini telah mengukuhkan kedudukan mereka di persada muzik Malaysia. Kini, melalui konsert solo pertama ini, mereka bersedia untuk mempersembahkan karya-karya tersebut dalam bentuk yang lebih epik dan eksklusif terus kepada peminat.
Konsert Rampas Kuala Lumpur juga akan menjadi titik permulaan kepada siri jelajah yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Kuala Lumpur hanyalah langkah pertama dalam misi besar mereka untuk menyebarkan revolusi muzik rock Malaysia ke seluruh negara. Oleh itu, peminat disarankan untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan sejarah ini tercipta di pentas Mega Star Arena.
Peminat juga berpeluang merebut tiket percuma serta barangan eksklusif dengan mengikuti akaun rasmi penganjur di Instagram dan TikTok melalui @showtagasia. Pelbagai kejutan menanti, termasuk peluang untuk berinteraksi lebih dekat dengan Komander Akim dan Tentera Majistret dalam misi-misi khas menjelang konsert.
Konsert ini dibawakan khas oleh Juragan dan dianjurkan oleh Showtag Entertainment dengan sokongan kreatif daripada Racus Studio yang bertanggungjawab terhadap konsep, pemasaran dan barangan rasmi konsert. Rakan radio rasmi pula terdiri daripada Era, Sinar dan THR Gegar yang turut membantu menjayakan promosi acara berskala besar ini.
Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur bukan sekadar konsert biasa ia adalah pertempuran muzik sebenar. Tempat anda? Barisan hadapan. Jumpa di medan pada 28 Jun 2025!