Undian versi media sosial untuk Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) mencatatkan jumlah yang luar biasa, dengan lebih 40,000 undian terkumpul dari pusingan 1 hingga 3. Pusingan akhir sahaja mencatatkan 32,000 undian. Undian melalui Instagram Story di Instagram rasmi TV3, @tv3malaysia ini berlangsung dari 22 hingga 30 Januari 2025.
Penting untuk diperjelaskan, undian versi media sosial ini hanya sebagai aktiviti keseronokan dan tidak akan mempengaruhi keputusan rasmi di AJL39. Namun, ia berjaya merancakkan perbualan di media sosial, sekaligus memberikan keterlibatan lebih tinggi daripada peminat muzik tempatan.
Yang paling mencuri tumpuan adalah Aina Abdul, yang meraih hampir 30,000 undian secara individu. Angka ini membuktikan betapa kuatnya pengaruh Aina di kalangan peminat dan mengukuhkan statusnya sebagai bintang vokal yang disegani di pentas AJL39.

Selain Aina, Nadeera, yang pertama kali muncul di AJL39, dilihat sebagai pesaing kuat dengan vokalnya yang mantap dan persembahan yang menarik. Dengan bakat yang menjanjikan, Nadeera pasti akan membawa persaingan sengit di pentas AJL39.
Untuk malam kemuncak AJL39, jangan lupa saksikan acara yang berlangsung pada 16 Februari 2025 (Ahad) di Axiata Arena, Bukit Jalil. Disiarkan secara langsung di TV3 dan Tonton, malam itu bakal menyaksikan 10 finalis terpilih mempersembahkan karya muzik terbaik mereka.
Pastikan anda tidak terlepas dan segera dapatkan tiket melalui laman web rasmi www.wowtix.com.my. Untuk perkembangan terkini, ikuti laman sosial TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram @tv3malaysia.