AGROBANK menampilkan Mini Bank Concept sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall sehingga Ahad ini.
Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, inilah masanya untuk pengunjung bertemu dengan pegawai Agrobank bagi mengetahui mengenai pembiayaan dan perkhidmatan yang ditawarkan untuk membantu mengembangkan bisnes agro.
“Kami bawa bank kepada anda. Di HPPNK 2019 kami ibarat membuka cawangan mini di sini malah kami turut berada di Laman Mekanisasi dan Automasi dengan membuka satu reruai sebagai kaunter pertanyaan.
“Kami juga berada di pavilion AgroBelia dengan menawarkan peluang pekerjaan di Agrobank. Ia khas untuk pengunjung HPPNK kerana kami ingin memudahkan anda berinteraksi bersama pegawai kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, terdapat pelbagai perkhidmatan yang disediakan seperti membuka akaun dan peluang melanggan produk takaful, selain aktiviti menarik di ruang pameran seperti permainan interaktif dan kuiz harian serta penampilan maskot Agrobank iaitu Lady Bug.
“Fokus Agrobank adalah untuk menyediakan produk pembiayaan dengan kadar kompetitif yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor pertanian.
“Selain itu, kita akan terus membantu agropreneur dalam membangunkan bisnes agro mereka menerusi pelbagai program latihan sebagai contoh menerusi program pembiayaan mikro Agro Nisaa’ khas untuk golongan wanita,” katanya.
Katanya, Agrobank ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) atau DFI yang diberikan mandat untuk membantu golongan unserved dan underserved.
Bantu agropreneur
Khadijah berkata, Agrobank menerapkan elemen Insan, Kelestarian dan Kemakmuran dalam aktiviti perniagaan bank antaranya tertumpu kepada pembangunan dan pemerkasaan komuniti, pelaburan dan pembangunan usahawan serta peningkatan dalam kelestarian alam sekitar.
“Sebagai DFI, produk yang dihasilkan Agrobank bukan berteraskan keuntungan semata-mata kerana yang penting kami dapat membantu agropreneur memajukan produk mereka.
“Sebagai contoh, produk mikro Agrobank iaitu Agrobakti memberi tumpuan kepada usahawan tani yang tidak mendapat perhatian iaitu golongan orang kurang upaya (OKU).
“Golongan ini sering dipinggirkan kerana kebiasaannya usahawan daripada golongan OKU boleh dikatakan berisiko. Oleh itu, Agrobank telah menyediakan pembiayaan mikro dengan maksimum sebanyak RM50,000 dan kadar keuntungan sebanyak 5.5 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, galakan Agrobank untuk menggalakkan lebih ramai usahawan OKU menceburi bidang pertanian juga ditonjolkan dengan menghargai mereka menerusi Anugerah Agropreneur Agrobank kategori OKU yang menampilkan agropreneur OKU berjaya dalam bidang masing- masing.
Menurutnya, ia adalah simbol komitmen berterusan Agrobank untuk membantu pesawah meningkatkan pendapatan melalui kaedah pembiayaan yang inovatif dan menyelesaikan masalah pembiayaan pesawah melalui pengurusan modal yang lebih efisien.
“Ia akan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada produktiviti ladang dan peningkatan hasil secara sepenuhnya. Peluang dalam bisnes agro sangat positif.
“Contohnya, pembiayaan Tabung Untuk Makanan (3F) khusus untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan mengurangkan import makanan serta menyediakan pembiayaan bagi projek-projek dalam sektor makanan hanya mengenakan kadar keuntungan sebanyak 3.75 peratus setahun.
“Usahawan tidak perlu khuatir dan takut untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian serta industri asas tani. Peningkatan permintaan makanan sentiasa ada terutama dengan peningkatan penduduk menjelang 2030,” katanya.
Remajakan pertanian modenPertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda dan walaupun peratusannya agak rendah daripada sasaran, Agrobank semakin bergerak ke arah itu.
Khadijah berkata, kelebihan anak muda ialah mereka berani mencuba perkara baharu dan menggunakan teknologi serta kaedah inovatif dalam aktiviti pertanian.“Setakat ini hanya 30 peratus anak muda bergerak secara aktif dalam pertanian terutama melibatkan penternakan dan fertigasi manakala sebanyak 60 peratus lagi masih didominasi orang tua iaitu bagi sektor penanaman padi. Jadi, kita perlu ambil pendekatan meremajakan pertanian moden.
“Antara perkara utama untuk merancakkan sektor pertanian negara khususnya bagi anak muda ialah mereka sendiri perlu mengubah mentaliti daripada konsep pertanian tradisional kepada pertanian moden,” katanya.
Khadijah berkata, antara insiatif lain adalah menerusi program pembiayaan khusus yang disediakan bagi membantu agropreneur muda yang dinamakan Program Agropreneur Muda pada kadar keuntungan yang sangat rendah iaitu sebanyak dua peratus.